Allahumma inni 'a'u zubika min fitnatil masi khid dajjal - Ya ALLAH, aku pohon perlindungan MU daripada fitnah Dajjal..

Syaitan kalah dengan orang yang ikhlas.

*

Di dalam Mikhtashar Minhaj al Qosidhin disebut satu riwayat sebuah kisah, ada satu pokok yang sering disembah oleh penduduk kampung. Maka ada seorang lelaki mengatakan,”Aku akan tebang pokok itu yang telah menyebabkan ramai manusia menjadi syirik”. Lelaki itu pun mengambil kapak dan pergi ke pokok tersebut untuk menebangnya.

Syaitan yang menyerupai manusia menunggu di pokok itu dan berkata,”Apa yang kau ingin lakukan ?" Lelaki itu menjawab,’Aku ingin tebang pokok ini. Ramai telah syirik kerana menyembah pokok ini". Syaitan itu berkata, "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk menebang pokok ini". Lalu terjadilah pergelutan dan lelaki itu berjaya mencekik syaitan yang menyerupai manusia itu. Syaitan berkata, "Aku mengaku kalah dan kau boleh tebang pokok ini. Tetapi dengar dulu cadangan aku. Kau tidak akan dapat apa-apa faedah pun jika kau tebang pokok ini. Orang kampung akan cari pokok lain untuk mereka sembah. Jika kau setuju untuk tidak tebang pokok ini, aku akan berikan dua dinar di bawah bantal kau pada setiap pagi." Lelaki itu bersetuju dengan tawaran tersebut.

Pada keesokan harinya dia mendapati ada dua dinar dari bawah bantalnya. Kemudian pada esok harinya lagi dia tengok tidak ada dua dinar seperti yang dijanjikan. Lelaki itu merasa marah lalu mengambil kapak dan pergi untuk tebang pokok itu. Setiba di pokok itu, syaitan telah sedia menunggu. ”Apa yang kau ingin lakukan ?". Lelaki itu menjawab,’Aku nak tebang pokok ini. Hari ini tidak ada 2 dinar seperti yang kau janjikan. Kau telah tipu aku". Syaitan itu berkata, "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk tebang pokok ini".

Lalu terjadilah pergelutan dan kali ini lelaki itu kalah, syaitan telah berjaya mencekik lelaki itu" Syaitan berkata,”Tahukah kamu siapa aku?" Syaitan memberitahu dia sebenarnya adalah syaitan". Lelaki itu bertanya, mengapa hari itu aku dapat kalahkan kau tetapi kali ini aku tidak dapat kalahkan kau?" Syaitan menjawab, "Kali pertama kau datang, niat kau ikhlas semata-mata kerana Allah sehingga aku tidak berdaya mengalahkan kau. Tetapi kali ini kau datang kerana kau marah tidak dapat dua dinar dan apabila kau tidak ikhlas kerana Allah maka aku berjaya mengalahkan kau".



Link pilihan :

Pengertian Ikhlas



*

Siapa yang mencipta ALLAH ?

*

Bersendirian selalu mendatangkan pelbagai persoalan dalam diri kita.
Di antara sedar dan tidak sedar kita terfikir siapa yang menciptakan alam ini.
Siapa yang menciptakan manusia, siapa yang menciptakan bumi, bintang, langit, dan apa yang ada disekeliling kita. Perasaan itu datang kerana sifat manusia yang ingin tahu. Seterusnya fikiran melayang jauh sehingga tidak sedar kita bertanya dengan diri kita SIAPA YANG MENCIPTA ALLAH!!

Awas!! ini adalah bisikan dari syaitan! syaitan yang dilaknat!

Dari Aisyah, Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya syaitan akan datang kepada seseorang diantara kamu lalu ia berkata: "Siapa yang menciptakan kamu?" Lalu dia menjawab: 'Allah', kemudian syaitan akan bertanya lagi: Siapakah yang mencipta Allah?" Apabila seorang di antara kamu mendapati hal semacam itu, maka hendaklah dia berkata “aman tu billahi wa rasulih” (aku beriman kepada Allah dan RasulNya) dan dengan ucapan itu syaitan itu akan pergi dari dirinya." (HR. Ahmad dengan sanad hassan)

*

Gangguan Syaitan Ketika Solat

*
“Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Oleh itu, apabila kamu terasa ingin menguap, maka hendaklah berusaha menahannya.” (HR At-Tirmizi).

Abu Hurairah r.a berkata: "Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muadzin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamat dikumandangkan, ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya: "Ingatlah apa yang tadinya kamu tidak ingat!", sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat dia solat". (HR Bukhari)

Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda, "Jika salah seorang dari kamu solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai dia tidak tahu berapa rakaat yang dia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kamu mengalami hal itu, hendaklah dia sujud dua kali (sujud sahwi)." (HR Bukhari dan Muslim)


Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Doa Sebelum Solat



*

Cukuplah Allah menjadi Penolong

*
Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. (Ali Imran: 173)

Ketika Nabi Ibrahim 'alaihi salam dilempar ke dalam api, baginda mengucapkan hasbunallahu wani’ mal wakil, lalu Allah menjadikan api yang panas menjadi dingin sehingga Nabi Ibrahim terselamat dari api yang membara itu.

Mari lazimkan membaca kalimah ini, hasbunallahu wani’ mal wakil.

Moga ada manfaat


*

Jangan Banyak Ketawa


“Janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)


*

Hukum Cukur Cabut Kening

*
Majoriti ulama berpendapat, hukum mencabut atau mencukur bulu kening adalah haram.

Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Allah melaknat wanita yang mencukur atau mencabut bulu kening atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Itu perbuatan mengubah ciptaan Allah". (HR Muslim)



*

Tutuplah Aurat

*


Menutup aurat adalah perintah Allah.

Tidak menutup aurat dengan sempurna adalah berdosa dan merupakan suatu maksiat yang akan dibalas dengan siksaan yang pedih di akhirat kelak jika tidak sempat bertaubat.

Bertaubatlah sebelum terlambat.


Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Wahai anakku Fatimah! Ada pun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya di dalam neraka adalah mereka yang tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya”. (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Ada dua golongan penduduk neraka yang keduanya belum pernah aku lihat: (1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (penguasa yang zalim). (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang (tidak menutup aurat), berjalan dengan berlenggok-lenggok, mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka bagaikan punuk unta. Wanita-wanita tersebut tidak akan dapat masuk syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau syurga. Pada hal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.” (HR Muslim)


Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Video - Kenapa Perlu Tutup Aurat

Syarat Diterima Taubat

Suara Wanita Aurat ? 

Tabarruj



*

Dosa

*

Dosa akan terjadi jika larangan Allah (perkara haram) dilakukan.
Dosa juga akan terjadi jika perintah Allah (perkara wajib) ditinggalkan.

Manusia boleh berdosa kepada Allah.
Manusia juga boleh berdosa kepada manusia.

Dosa boleh dipadamkan dengan keampunan.

Jika berdosa kepada Allah, kita boleh bertaubat dan memohon maaf kepada Allah. Allah maha pemberi rahmat dan maha pemurah lagi maha pengampun.

Berdosa kepada manusia lain, hanya boleh dimaafkan oleh orang tersebut sahaja.

Moga Allah menerima taubat dan mengampunkan dosa yang telah kita dilakukan.

Moga Allah melimpahkan rahmatNya, melembutkan hati orang yang kita berdosa kepada mereka, agar memaafkan dosa kita.

Moga Allah selamatkan kita dari dosa dan neraka.




Link pilihan:

Syarat diterima taubat

Bahaya Dosa

Dosa terbesar dari dosa-dosa besar

Dosa sesama manusia




*

Manusia yang paling berhak untuk kita berbuat baik

*

Seorang datang berjumpa Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam dan bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk saya berbuat baik? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah menjawab : Bapamu. (HR Muslim No.4621)



Link pilihan:

Cara berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia



*

Tabarruj

*



Dari Abdullah bin ‘Amr, “Umaimah bintu Ruqaiqah berjumpa Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam untuk berbaiat kepadanya untu masuk islam, maka Nabi sallallahu `alaihi wa sallam berkata, "Aku membaiatmu untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anakmu, tidak membuat-buat kedustaan yang kamu kerjakan dengan kedua tangan dan kakimu, tidak meratap dan tidak tabarruj seperti dilakukan wanita jahiliyyah”. (HR. Ahmad)

Ibn Katsir mengatakan, tabarruj ialah wanita yang meletakkan selendang atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan perhiasannya termasuklah rantai di lehernya.

Ibn Manzur mengatakan tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki bukan mahram.

Abu Ubaidah berpendapat tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang boleh membuatkan orang lelaki ghairah.

Tabarruj boleh terjadi walaupun wanita itu menutup aurat.

Tabarruj ialah wanita yang bersolek atau menampakkan perhiasaan dan kecantikannya atau memakai wangian, yang mampu menarik perhatian lelaki bukan mahram.

“Wanita yang berhias bukan untuk suaminya adalah bagaikan kegelapan pada hari kiamat, tidak ada cahaya baginya.” (HR. Abu Daud)



Link pilihan:

Sebab ramai wanita masuk neraka

Panduan menjadi isteri solehah



*

Zikir yang paling utama

*


“Zikir yang paling utama adalah Laa ilaa ha il lallah". [HR Tirmizi]

Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang akhir ucapannya sebelum mati,  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه , dia akan dapat masuk syurga”. [HR Abu Daud 3/190. Sahih Al-Jami' 5/432].





Link pilihan:

la ila ha illallah




*

Tutup Aib Sesama Muslim

*
Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim)

"Sesiapa yang mendengar saudaranya diumpat tetapi dia tidak membelanya padahal dia mampu, maka dia ikut menanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat. (Hadith Asfahani)

"Sesiapa menutupi suatu kesalahan orang lain, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seorang anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (HR Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban)

"Sesiapa dari kalangan orang Islam yang tidak membela orang Islam lain apabila kehormatannya dicerobohi dan nama baiknya dicacati maka niscaya Allah membiarkan nasibnya ketika dia sangat memerlukan pertolongan Allah. Dan mana-mana orang Islam yang menolong orang Islam lain ketika nama baiknya dan kehormatannya diceroboh niscaya Allah akan menolongnya ketika dia sangat-sangat memerlukan pertolonganNya. " (HR Abu Daud)

"Sesiapa yang mempertahankan maruah saudaranya ketika saudaranya itu tidak ada di hadapannya maka wajiblah Allah melepaskannya dari siksa neraka. " (HR Ahmad)


"Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang muslim maka Allah menutupi kesalahannya di dunia dan di akhirat. (HR Ibn Majah)

Moga ada manfaat.



Link pilihan:

Jangan cerita aib orang

Berbaik-baik Sesama Islam



*

Berbaik-baik Sesama Islam

*

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Tiada sempurna iman seorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." [HR Bukhari dan Muslim]

Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya". [HR Bukhari & Muslim]

Dari Abu Ayub al-Ansari ra. katanya, Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda,"Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya". [HR Bukhari & Muslim]

Dari Hurairah ra. katanya, Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara". [HR Bukhari & Muslim]

Dari Abu Darda ra. katanya, Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Tidak seorang Muslim mendoakan kebaikkan bagi saudaranya sesama Muslim yang berjauhan melainkan malaikat mendoakannya, mudah-mudahan engkau beroleh kebaikkan pula." [HR Muslim]

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Tolonglah saudaramu, baik dia orang yang menganiaya ataupun yang dianiaya. Bertanya seorang sahabat: "Ya Rasulullah, kami mengerti tentang menolong orang yang teraniaya tetapi bagaimana kami menolong orang yang menganiaya ?". Nabi sallallahu `alaihi wa sallam menjawab: "Cegahlah dia". [HR Bukhari]



Moga ada manfaat.




Link pilihan:

Jangan CARI Salah Orang

Jangan CERITA Aib Orang

TUTUP Aib Sesama Muslim




*

Jangan Ungkit

*

Dari Abu Hurairah ra. Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Tiga orang yang tidak akan Allah ajak bicara pada hari kiamat, tidak pula Allah melihat kepada mereka dan juga tidak mensucikan mereka, serta bagi mereka azab yang pedih.” Abu Hurairah berkata, “Rasullullah mengulanginya tiga kali”. Abu Zar berkata, “Sungguh rugi, siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Musbil (lelaki melabuhkan pakaiannya melebihi mata kaki (sifat megah diri)), orang yang mengungkit-ungkit kebaikannya dan orang yang menjual barang dagangannya dengan sumpah palsu.” (HR Muslim)

“Tiga orang yang tidak akan masuk syurga, “Anak yang derhaka kepada ibu atau bapanya, orang yang terus-menerus minum arak dan orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya.” (HR Baihaqi)


*

Ayat Seribu Dinar

*
Ayat seribu dinar biasanya dikenali sebagai pelaris atau pemurah rezeki.

Ramai peniaga yang mengantung ayat ini di permis perniagaan agar perniagaannya maju.

Ramai juga yang membacanya setiap hari agar rezeki bertambah.

Keberhasilan murah rezeki bukan hanya pada menggantung ayat ini, juga bukan hanya pada membacanya, tetapi pada MEMAHAMI MAKSUD DAN MENGAMALKAN kandungan ayat ini.

*
Ayat Seribu Dinar adalah ayat suci Al-Quran yang dipetik dari surah Al-Talaaq, dari ayat dua dan tiga :


Terjemahannya :
Sesiapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.


Kesimpulannya, jika ingin murah rezeki dan mendapat rezeki yang tidak di sangka-sangka, caranya ialah jadilah orang yang TAQWA dan TAWAKKAL kepada ALLAH.


Wallahhu a'lam (Allah lebih mengetahui).



-> Makna TAQWA



*

Makna TAQWA

*


Taqwa itu berkaitan dengan sikap kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah dan RasulNya, baik perintah itu berupa suruhan atau larangan.

Secara ringkas orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah.

Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga makna:
- Pertama, bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah).
- Kedua, bermakna taat.
- Ketiga, mengandungi maksud menyucikan hati daripada dosa.

Mengikut para ulamak: "Takwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat".

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan : Bahawa takwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Ada pun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah "bertakwa".

Definisi taqwa yang terindah adalah yang diungkapkan oleh Thalq Bin Habib Al’Anazi:

العَمَلُ بِطَاعَةِ اللهِ، عَلَى نُوْرٍ مِنَ اللهِ، رَجَاءَ ثَوَابِ اللهِ، وَتَرْكِ مَعَاصِي اللهِ، عَلَى نُوْرٍ مِنَ اللهِ، مَخَافَةَ عَذَابِ اللهِ

“Taqwa adalah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil), mengharap ampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil), dan takut terhadap azab Allah”. (Siyar A’lamin Nubala, 8/175)


*

Doa kekal hidayah

*
Robbana la tu ziq qulu bana bak da iz hadai tana wahab lana mil ladunka rahmah innaka antal wahhab.

Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.





Link pilihan:

Mati Dalam Keadaan Islam


*

Popular Posts