Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)

Salam 'idil Fitri


Menghidupkan Malam Hari Raya
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)
Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

Orang perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya. Jika tidak boleh solat, dapat dengar khutbah.
Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah saw. memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

Makan dahulu sebelum pergi solat 'idil Fitri.
Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi saw keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya.
Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

Bertakbir
Nabi S.A.W bertakbir pada 'idil fitri bermula dari keluar dari rumah sehingga sampai di tempat solat hari raya. (HR Baihaqi)

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilham.

Taqabbalallahu minna wa minkum. (Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).

Salam 'idil Fitri dari Lenggang Kangkung sekeluarga.
Maaf Zahir dan batin.

*

Zakat Fitrah

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu segantang kurma atau gandum.” (HR Muslim)

Menurut jumhur ulama, zakat fitrah mesti dibayar dalam bentuk makanan asasi pada suatu negeri. Jadi di Malaysia, zakat fitrah dibayar dalam bentuk beras.

Apakah zakat fitrah boleh dibayarkan dalam bentuk wang?
Menurut ulama Hanafiyah, boleh dibayarkan dengan nilainya (qiimatuhu), iaitu dalam bentuk wang yang setara nilainya dengan makanan.
Mana kala menurut ulama jumhur (Malikiyah, Syafi’iyah, Hanabilah), tidak boleh dibayar dengan nilainya. Zakat fitrah mesti diberi dalam bentuk makanan (beras).

Biasanya amil atau pusat pungutan zakat menerima bayaran zakat fitrah dalam bentuk wang tetapi menyampaikannya kepada yang berhak dalam bentuk beras.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah dan memerintahkan agar ia dibayar sebelum solat Aidil Fitri. [HR al-Bukhari]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin.[HR Abu Daud]

*

Solat Tahajjud

Allah berfirman maksudnya, “Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung atau orang-orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, dalam keadaan takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah ” Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui ? Sesungguhnya hanya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar : 9)

Allah berfirman maksudnya, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (Al-Muzammil : 1-9)

Allah berfirman maksudnya, “Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu menempatkan kamu di kedudukan yang terpuji". (Al Isra : 79).

Nabi saw. bersabda, “Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (tahajud).” (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Allah swt. sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis Riwayat: Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, “Sesungguhnya di syurga itu ada bilik yang luar boleh dilihat dari dalam, dan dalamnya boleh dilihat dari luar. Disediakan untuk mereka yang memberi makan orang-orang yang memerlukannya, mereka yang menyebarkan salam, serta mereka yang mendirikan solat tahajud pada saat manusia lain sedang tidur". (HR. At Thabrani dan Al Hakim).

Nabi saw. bersabda, “Wahai manusia sebarkanlah salam, bagilah makan dan sembahyang malam ketika manusia tidur nescaya kamu akan masuk syurga dgn selamatnya.” (HR at-Tirmizi)

Dari Salman Farisi, Nabi saw. bersabda, “Hendaklah kamu melazimkan (qiamulail) sembahyang malam. Sebab ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia mendekatkan kamu kepada tuhan, menghapuskan dosa, mencegah diri dari maksiat dan menyembuhkankan penyakit.” ( Riwayat At-Tabrani )


*

Lailatul Qadar

“Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadar, ayat 3)

Dari Aisyah Radiallahuanha, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan". (HR Bukhari)

Aisyah Radiallahuanha mengatakan, “Rasulullah s.a.w. beriktikaf (duduk di dalam masjid) pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan ramadhan”. (HR Bukhari)

Aisyah Radiallahuanha mengatakan, “Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (HR Bukhari dan Muslim)

"Sesiapa berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar matahari kelihatan lemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat al-Bazzar)

Daripada Aisyah r.a., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, jikalau saya mengetahui bila lailatul-qadar itu, apakah yang harus saya ucapkan pada malam itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ucapkanah: "Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni" (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku). (HR Termidzi)

Hikmah Allah menyembunyikan pengetahuan tentang bila terjadinya lailatul qadar di antaranya adalah agar terbeza antara orang yang sungguh-sungguh untuk mencari malam tersebut dengan orang yang malas.

*

Rugi Ramadan berlalu tanpa amal

Rugi dibiarkan Ramadan berlalu tanpa amal.
Rugi dibiarkan masa berlalu tanpa amal.


Kalau malas solat sunat 20 rakaat, boleh solat sunat 8 rakaat.

Kalau malas solat sunat, boleh buka dan baca alQuran.

Kalau malas buka alQuran, boleh baca ayat alQuran yang telah dihafal.

Kalau malas baca alQuran, boleh istighfar (minta ampun) ucapkan astagfirullah, astagfirullah, astagfirullah ..

Kalau malas istighfar, boleh zikir baca sebut.. la ila ha il lallah.. la ila ha il lallah.. la ila ha il lallah..

Kalau malas zikir sebut, tak payah sebut, baca dalam hati.. la ila ha il lallah.. la ila ha il lallah.. la ila ha il lallah..

Kalau malas zikir panjang dalam hati.. la ila ha il lallah.. pendekkan sedikit, zikir dalam hati.. ALLAH, ALLAH, ALLAH ..

Rugi dibiarkan masa berlalu tanpa amal.
Rugi dibiarkan Ramadan berlalu tanpa amal.


*

Syukur

"Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman, maka mengapa mereka tidak bersyukur?". (Yaasin: 73)

"Dan Allah mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), tetapi sedikit antara manusia yang bersyukur." (As-Sajadah: 9)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah ni'mat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih. (Ibrahim: 7)

Hadis Nu'man bin Basyir r.a., bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda "barangsiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak; barangsiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala."

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah SAW. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa. Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak mengenang jasa.

Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kakinya bengkak-bengkak. Aisyah ra. bertanya kepada Baginda: Mengapa melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang ? Baginda menjawab: Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?” (HR Bukhari).

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yang bertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.


Solat Witir

Bersabda Nabi saw, “Jadikan penghabisan (penutup) solatmu pada waktu malam dengan solat witir.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang bimbang tidak bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada awal malam, dan sesiapa yang ingin bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada akhir malam. (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Allah menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta merah (unta yang terbaik). Itulah Solat Witir. (Hadis Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah)

"Solat witir adalah benar. Sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah daripada golongan kami", Rasulullah mengulangi sebanyak tiga kali. (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim).

*

Bersikap dermawan di bulan Ramadan

Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah, sama ada laki-laki mau pun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat-gandakan ganjaran kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Al Hadid: 18)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi, disahihkan Al Albani dalam Sahih At Tirmidzi, 614)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (HR. Thabrani, disahihkan Al Albani dalam Sahih At Targhib, 873)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit". (HR al-Tirmizi)

Diceritakan oleh Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, "Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dan kemuncak sifat dermawan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." (HR Bukhari)

*

Doa di bulan Ramadan

Daripada Aisyah r.a., katanya: "Saya bertanya, "Ya Rasulullah, jika saya tahu bila lailatul-qadar itu, apakah yang harus saya ucapkan pada malam itu?" Nabi s.a.w. menjawab: "Berdoalah, "Allahumma innaka ‘afu wun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni" (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku). (HR Tirmidzi)

*

Berbuka puasa secara sederhana


Firman Allah yang bermaksud: " Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak suka orang yang berlebih-lebihan." (al-'Araf : 31).

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" (al-Isra' : 27).


*

Kelebihan bersahur

Nabi saw. bersabda, "Perbezaan antara puasa oang Islam dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." (HR al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (HR Ibnu Hibban & Baihaqi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." (HR Ahmad)

*

Doa buka puasa

1.
allahumma laka sumtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin

Maksudnya, "Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang."

Dari Mu’adz bin Zuhrah, bahwasannya telah sampai kepadanya, sesungguhnya Nabi saw apabila berbuka puasa baginda mengucapkan, "Allaahumma Laka Shumtu wa ‘alaa Rizqika Afthartu”.
(Hadis riwayat Abu Daud #2358, Al-Albani mengatakan hadis ini Daif di dalam Daif Abi Daud).


2. Ibn Umar berkata, Nabi saw. ketika telah berbuka puasa mengucapkan, "Zahabaz zama'u wab tal latil 'u ruu qu wa sa batal ajru InsyaAllah."
Maksudya, "Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat dan telah tetap pahala, insya Allah." (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud #2357, Al-Daaraquthni #25, Ibn Hajar dalam al-Talhis al-Habiir (2/202)] Al-Daaraquthni mengatakan bahawa hadis ini hasan)

*
Kedua-dua doa boleh diamalkan.

*

Buka puasa dengan tamar


"Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan minum beberapa teguk air." (HR Tirmidzi)

Rutab adalah buah kurma yang masak dan belum dikeringkan.
Tamar adalah buah kurma yang telah dikeringkan.

*

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...