Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Bolehkah Gabung Puasa Sunat 6 Syawal & Puasa Qadha ?

*

Oleh:
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/


Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini :
Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian
_________

*Tambahan

  • (Mazhab Syafie)
Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.
Imam as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).

  •  Imam Jalaluddin as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.

  • MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:

"Alhamdulillah. Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat mengqadha puasa...... Mudah-mudahan (moga2) anda mendapat 2 ganjaran sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat, dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha' puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya."

 
  • AKAN TETAPI, 
jika terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari didalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan pandangan yang lebih kepada kebenaran.

[Sharh al-Mumthi' 6/448].

  • Berkenaan persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu BERTURUT-TURUT SELEPAS HARI RAYA ATAU TIDAK? 
Jawapan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi dalam persoalan ini seperti berikut:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).


 Wallahualam.

 





Link pilihan:

Kenapa isteri perlu izin suami untuk berpuasa sunat ?



*

Kenapa isteri perlu izin suami untuk berpuasa sunat ?

Kenapa perlu izin suami ?

Dua hadis sahih sebagai nas:

1. HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud: Seorang isteri tidak boleh berpuasa selagi suaminya ada di rumah, kecuali atas keizinannya.

2. HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah: Janganlah seorang wanita itu berpuasa walau satu haripun jika suaminya berada di rumah tanpa izinnya, kecuali puasa Ramadhan.

Di sini ada khilaf ulamak.

Pertama: Kebanyakan ulamak berpendapat keizinan suami hanya terbatas kepada puasa sunat, manakala puasa nazar, puasa qadha’ dan puasa Ramadhan tidak perlu izin suami. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim Jld 7 pg 115.

Kedua: Sebahagian ulamak berpendapat wanita perlu meminta izin utk berpuasa selain puasa ramadhan. Ini bermakna jika puasa itu selain puasa Ramadhan, dia perlu mendapat izin suami. Sayyid Sabiq berpendapat demikian.

Ketiga: Isteri tidak perlu mendapat keizinan suaminya utk berpuasa apabila suaminya musafir, atau sakit atau uzur yang mana dia tidak mampu mengadakan hubungan seks. Ini adalah pandangan majoriti ulamak berdasarkan hadis dalil di atas. Ini juga pandangan Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah)

Rasional kenapa perlu mendapat keizinan suami sebelum berpuasa.

Imam Nawawi menjelaskan: suami berhak mengajak isterinya jima’ bila-bila masa dan pada hari apa sahaja, dan haknya itu wajib dipenuhi oleh isterinya ketika itu juga, dan tidak boleh ditangguhkan oleh kerana amalan sunat.

al Imam al Hafidz dalam kitab al Fath: hak suami ke atas isterinya lebih kuat daripada amalan sunat dan kebajikan yang lain. Kerana itu hak suami wajib dipenuhi, maka kewajipan harus didahulukan daripada hal-hal sunat.

Komentar Syaikh Muhammad Ali Qutb (Tuhfatul ‘Aris wal ‘Arus): Islam memberi perhatian yang serius terhadap hubungan seks antara suami-isteri, lantas Islam melarang isteri menentukan sendiri kegiatan yang dapat menghalang keinginan seksual suaminya sekalipun kegiatan itu berupa ibadah sunat. Maka Islam mewajibkan para isteri mendahului hubungan sek yang diminta suami daripada ibadat sunat.

Sebagai balasan atas hak yang diberikan kepada suami, Islam memberi hak kepada isteri yang wajib dipenuhi oleh suaminya, iaitu suami tidak boleh melakukan kegiatan yang sangat meletihkan atau menyebabkan kelemahan pada jasmaninya kerana dengan keletihan itu si isteri telah kehilangan hak untuk menikmati hubungan seks dengan suaminya.

Sumber: http://darululumonline.wordpress.com/2011/08/29/hukum-isteri-minta-izin-suami-untuk-ibadat



Link pilihan:

Kelebihan Puasa Enam Hari di bulan Syawal


*


Salam Aidil Fitri



Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilham.

Salam 'idil Fitri dari Lenggang Kangkung sekeluarga.

Maaf Zahir dan batin.

Taqabbalallahu minna wa minkum. (Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).

Tazkirah Hari Raya

Menghidupkan Malam Hari Raya
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)
Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

Orang perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya. Jika tidak boleh solat, dapat dengar khutbah.
Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah saw. memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

Makan dahulu sebelum pergi solat 'idil Fitri.
Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi saw keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya.
Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

Bertakbir
Nabi S.A.W bertakbir pada 'idil fitri bermula dari keluar dari rumah sehingga sampai di tempat solat hari raya. (HR Baihaqi)

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilham.

*

Mawaddah wa rahmah

*
Firman Allah: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, maka ALLAH ciptakan untuk kamu (kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu perasaan mawaddah dan rahmah. (al-Rum, ayat 21)





Klik -> Falsafah Perkahwinan dalam Islam

Klik -> Pernikahan dalam Islam

*

Kelebihan Solat Tarawih

Hukum mengerjakan solat tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi
dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan
sama ada secara berseorangan atau berjemaah.

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan
mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Sahih Muslim)

Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malam bulan Ramadan dengan mengerjakan solat.

*


-> Fadilat Tarawih Palsu

*

Sedekah di bulan Ramadan

*
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit". (HR al-Tirmizi)

Diceritakan oleh Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, "Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dan kemuncak sifat dermawan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." (HR Bukhari)

*


Popular Posts