"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Panjang angan-angan

*

MENGIKUT ulamak, kalbu manusia mempunyai kira-kira 90 ciri yang terpuji dan 90 ciri yang terkeji. Antara ciri-ciri kalbu yang terkeji itu ialah : panjang angan-angan (thulul-amal), takutkan mati, cintakan dunia.

Panjang Angan-angan : Maksud "panjang angan-angan" di sini ialah: "Menaruh anggapan bahawa maut masih lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan berlaku bila-bila masa sahaja".

Anggapan ini dikira sebagai penyakit kalbu - Penyakit Panjang Angan-angan.
Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit kalbu yang kronik. Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia yang fana ini, sehingga terlupa kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di akhirat yang abadi.

Ulamak mengatakan, orang yang panjang angan-angan dikuasai keinginan untuk hidup dalam jangka waktu yang panjang. Malah seolah-olah merasakan dirinya akan hidup selama-lamanya dan merasakan dia pasti berjaya mencapai angan-angannya itu. Dia tidak memikirkan tentang kemungkinan dia akan mati bila-bila masa sahaja. Kata-kata dan tindak tanduknya mencerminkan, bahawa dia akan terus hidup berpanjangan. Dengan yang demikian, dia dikira melakukan maksiat.

Ulamak membahagikan panjang angan-angan itu kepada dua jenis:
angan-angan am, angan-angan khas.

Angan-angan Am :
Angan-angan ini adalah angan-angan orang awam yang ingin hidup lama dan lupa kepada kematian dirinya. Tujuan hidupnya semata-mata untuk menumpul harta dunia dan bersedap-sedap dengan ni'mat duniawi. Hal ini juga dikatakan sebagai perbuatan maksiat.

Panjang angan-angan dalam pengertian tersebut akan mendatangkan sekurang-kurangnya empat kesan buruk :

Pertama, hilang atau amat kurang ketaatan beribadat atau segan mengamalkannya. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku akan melakukan taat (ibadat) juga kemudian nanti. Hari esok masih ada, masa masih panjang. Pasti tidak akan terluput aku daripada
mengerjakannya!". Mengikut ulamak : Angan-angan seperti ini memutuskan segala kebajikan. Sesiapa yang panjang angan-angannya, maka buruklah amalannya.

Kedua, enggan bertaubat atau menangguhkannya. Orang yang berkenaan akan berkata, "Aku akan bertaubat nanti apabila ada kelapangan masa. Sekarang aku masih muda. Masa masih panjang untuk aku bertaubat nanti". Oleh kerana hatinya didedahi oleh penyakit panjang angan-angan, tidak terlintas langsung di hatinya, kemungkinan nyawanya akan disambar maut bila-bila masa sahaja sebelum dia bertaubat. Ketiga, menjadi tamak dan haloba dalam mengumpul harta dan sibuk dengan urusan duniawi sehingga terlupa kepada urusan (kewajipan) ukhrawi. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku takut jadi papa
apabila tua dan tidak terdaya lagi bekerja. Oleh sebab itu harta yang lebih perlu dikumpul sekarang untuk bekalan hari tua nanti". Sekali imbas, kata-katanya itu baik, tetapi sebenarnya dia kehilangan keyakinan terhadap peruntukan rezeki daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kata-katanya itu mengandungi rasa tamak terhadap harta dunia, sedang harta (rezeki) yang telah dimilikinya sudah mencukupi. Seterusnya, orang berkenaan akan menjadi cuai beribadat dan menjadi bakhil (satu lagi unsur penyakit hati yang dikira sebagai maksiat). Sufian al-Tsauri pernah bermadah: "Jangan engkau loba kepada dunia agar engkau menjadi orang yang memelihara agama Allah".

Keempat, menjadi keras hati, lupakan mati dan akhirat. Seterusnya, apabila sudah keras hati dan lupakan mati, maka amat kuranglah melakukan kerja taat kepada Allah, lambat bertaubat dan banyaklah melakukan kemungkaran dan kerja-kerja maksiat yang lain.

Angan-angan Khas : Angan-angan jenis yang kedua ini ialah angan-angan para ulamak yang memerlukan hidup lama untuk mengerjakan amal kebajikan. Bagaimana pun, dalam berangan-angan demikian, ulamak akhirat masih merasakan diri mereka di dalam ancaman bahaya. Mereka khuatir kalau-kalau amalan mereka tidak akan menghasilkan kebajikan kepada mereka, kerana kadang-kadang dalam melaksanakan satu-satu kebajikan itu mereka mungkin terjatuh ke dalam maksiat batin yang membinasakan kebajikannya itu, iaitu apabila kalbu mereka diserang oleh penyakit riyak, ujub, hasad dan sebagainya. Hamba Allah yang mengerjakan solat, puasa, zakat, haji atau sebagainya itu belum pasti dia mendapat kebajikan atau sebaliknya. Kepastiannya termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib yang segala manusia tidak mengetahuinya. Hukum penentuan, sama ada baik atau jahat, semuanya daripada Allah Taala.Sebab itu hamba Allah dianjurkan supaya menguatkan azam dan menaruh niat terpuji (al-niyatul-mahmudah) apabila mengerjakan ibadat.

Niat terpuji (al-niatul-mahmudah) : Para ulamak mengatakan: Niat yang terpuji itu merupakan keazaman untuk melaksanakan amal ibadat dengan menyerahkan kejayaan, kesempurnaan dan kebajikannya kepada Allah. Niat yang terpuji ini penting, kerana sebelum kita memulakan amalan itu belum ada apa-apa kebimbangannya. Semasa mengerjakannya atau selepasnya baharulah ada kebimbangannya.

Ada dua kebimbangan di kalbu semasa atau selepas mengerjakan amalan, iaitu: sama ada pelaksanaan amalan itu berjaya atau gagal . sama ada hasil pelaksanaannya akan mendatangkan kebajikan atau akasnya. Justeru, sebelum memulakan sesuatu amalan, wajib kita meletakannya di bawah andaian dan kekecualian (istitsnak) yang tertakluk kepada qudrat-iradat Allah Taala dengan melafazkan ucapan "insyaAllah ...." di samping pasrah kepada Allah (tafwid). Dengan yang demikian, maka tumbuh dan suburlah niat terpuji tersebut dan sekali gus terselamatlah daripada penyakit panjang angan-angan. Lalu sihat dan segar dalam keadaan pendek angan-angan.

Pendek Angan-angan: Lawan kepada panjang angan-angan ialah pendek angan-angan. Sikap, kecendrungan dan tindak-tanduk orang yang pendek angan-angan tidak seperti orang yang panjang angan-angan itu. Malah, sebaliknya. Angan-angannya, kalau ada, dikaitkannya dengan hukum istitsnak yang tertakluk kepada kehendak dan takdir Allah. Umpamanya, panjang pendek umurnya, hidup ataumatinya bergantung kepada takdir Allah. Dia mengatakan, "Insya Allah, aku akan hidup lagi"; atau "Hidup atau matiku, panjang atau pendek umurku, adalah di dalam ilmu Allah". Dengan itu, sekiranya seluruh hidupnya untuk tujuan kebajikan, dengan azam yang berasaskan niat terpuji, maka dia disifatkan sebagai pendek angan-angan. Pegangan hati dan tindak-tanduk zahir dan batin oang yang pendek angan-angan berkecenderungan kepada keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Mereka tidak mengabaikan hidup di samping tidak melupakan mati. Mereka menghadapi dunia di samping tidak membelakangi akhirat. Mereka merasakan kematian hampir berlaku ke atas diri mereka. Mereka senantiasa sedar bahawa kematian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Kematian mengejut yang berlaku di kalangan saudara mara dan kawan-kawan mereka dijadikan iktibar. Mereka senantiasa sedar, ramai orang yang tak sempat menghabiskan masa sehari untuk terus hidup dan ramai pula yang menanti kedatangan esok, tetapi tiada esok baginya.

Nabi Allah 'Isa a.s bersabda : Adapun dunia ini tiga hari sahaja, iaitu semalam yang telah berlalu tanpa suatu apa di tanganmu, hari ini yang engkau sedang berada di dalamnya dan esok yang tidak pasti engkau dapat menemuinya.

Seorang sahabat Rasulullah, Abu Dzar, pernah bermadah: "Dunia ini tiga jam sahaja, iaitu satu jam yang lalu, satu jam yang engkau sedang berada di dalamnya dan satu jam lagi yang tidak pasti engkau dapat menemuinya. Jadi, pada hakikatnya, engkau tidak memiliki dunia melainkan satu jam sahaja, kerana maut itu bergerak terus saat demi saat".

Antara ulamak ada yang mengatakan, "Dunia ini tiga nafas sahaja, iaitu nafas yang telah berlalu, nafas yang sedang engkau jalani dan nafas selepasnya yangtidak pasti akan dapat engkau alaminya. Ramai orang yang sedang menjalani satu nafas, tiba-tiba mati sebelum mengalami nafas seterusnya. Jadi, pada hakikatnya, engkau hanya hidup satu nafas sahaja". Apabila menyedari semuanya itu, maka orang tidaklah terlalu sibuk dan ghairah mengejar razeki yang berlebihan, memburu kemewahan hidup di dunia sampai sanggup melupakan kehidupan yang kekal di akhirat.

Apalah ertinya merebut razeki berlebihan untuk hidup, kalau hidup itu hanya untuk satu hari atau satu jam atau satu nafas sahaja? Di atas kesedaran itu juga, dalam satu nafas yang sedang dijalani itu, orang mengambil kesempatan untuk bertaubat dan mengerjakan taat kepada Allah dengan harapan, mudah-mudahan, apabila mati pada nafas berikutnya, matinya dalam bertaubat.

Untuk menjamin kemantapan hati dalam keadaan pendek angan-angan itu, maka kita dianjurkan supaya senantiasa mengingati : mati (zikrul-maut); kemungkinan maut akan datang secara mendadak; kedatangan maut tidak boleh ditolak, ditentang, dijauhi, ditangguh atau disegerakan.

Apabila ketiga-tiga perkara tersebut senantiasa di dalam ingatan, insya Allah kalbu kita akan teguh dengan pendek angan-angan, sekali gus kita terselamat daripada serangan penyakit panjang angan-anagan. Mudah-mudahan dengan itu kita akan dikurniakan taufik oleh Allah Taala.

Pendek angan-angan tidak dapat dipertahankan, sekiranya kita senantiasa:
* terpesona dengan godaan atau terpukau kepada sihir dunia yang menyebabkan kita mejadi lengah, lalai dan seterusnya mengalami kelumpuhan iman.
* melakukan pembaziran waktu dengan perebualan, umpatan, cacian, hiburan, nyanyian yang melalaikan atau perdebatan yang sia-sia.

Barangkali ada orang mengatakan, orang yang pendek angan-angan itu tidak bercita-cita tinggi, tidak punya visi. Tetapi sebenarnya, orang yang pendek angan-angan itulah yang paling tepat dikatakan bercita-cita tinggi dan berwawasan, kerana bukan kebahagiaan di dunia sahaja ingin dicapainya, tetapi juga kebahagiaan di akhirat.

Orang yang panjang angan-anagn itulah sebenarnya yang tidak bercita-cita tinggi, kerana dia hanya ingin mencapai kebahagiaan dan kemewahan di dunia ini semata-mata, manakala kebahagiaan di akhirat langsung tidak atau amat kurang diminatinya.

Wallahu a'lam.


Penulis: Muhammad Isa al-Jambuli


*

Gurauan

*

Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan berjenaka.

Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai 'al-mizah'. Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus Salikin: 170).

Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa. Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh 'menanggalkan' hati. Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun."

Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa.

*

Iman yang paling afdal

*

"Iman paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahwa Allah selalu menyertaimu di mana pun kamu berada." (HR Ath-Thobari)



*

Sabar & Syukur

*

Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Iman terbagi dua, separuh dalam sabar dan separuh dalam syukur". (HR Al-Baihaqi)

Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Sungguh beruntung orang yang beriman, karena segala perkara adalah kebajikan. Jika dia mendapatkan kenikmatan, dia bersyukur (dia mendapat pahala kebajikan) dan jika dia ditimpa musibah, dia sabar (dia mendapat pahala kebajikan juga)." (HR. Muslim)






Link pilihan:


Pengertian Sabar

Pengertian Syukur


*

Kelebihan Ibu Bapa

*


"Redha Allah bergantung pada redha ibu dan bapa, dan murka Allah bergantung pada murka ibu dan bapa mereka." (HR. Hakim)

Dari Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As Sa'idy ra. berkata: suatu ketika kami duduk di hadapan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam kemudian tiba-tiba datanglah seorang laki-laki dari Bani Salimah dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?" Baginda menjawab, "Ya, masih ada iaitu solatkan jenazahnya, memintakan ampun buat keduanya, melaksanakan janji-janjinya setelah keduanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh disambungnya kecuali dengan keduanya, dan memuliakan sahabat keduanya." (HR. Abu Daud)

Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, "Manakah amal yang lebih utama?", Rasulullah menjawab; "Solat dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah." (HR. Bukhari)

Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, belia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” (HR. Bukhari dan Muslim)

"Seseorang anak tidak dapat membalas jasa orang tuanya sehingga dia mendapati orang tuanya menjadi hamba sahaya kemudian dibeli dan dimerdekakan mereka." - (HR. Muslim dan Abu Daud).

"Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan ditambah rezekinya maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya serta menyambungkan silaturrahim." - (HR. Ahmad).

"Memohon keampunan untuk ibu bapa yang meninggal dunia daripada seorang anak, termasuk perbuatan berbakti." - (HR. Ibnu Najar).

"Sesungguhnya seseorang akan diangkat darjatnya di syurga maka dia berkata: Wahai Tuhanku, dari manakah semua ini untukku?" Maka dijawab: "Daripada permintaan keampunan anakmu untukmu." - (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Baihaqi).

"Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau seorang daripada mereka pada setiap Jumaat, nescaya akan diampunkan dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti (kepada ibu bapanya)." - (HR. Tabrani).

"Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat kepada wajah ibu bapa, al-Quran dan kepada laut." - (HR. Abu Nuaim) dan ditambah dengan lafaz "Melihat kepada Kaabah adalah ibadah". - (HR. Abu Daud).

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: Apakah saya mesti meminta izin ibu saya jika masuk ke dalam biliknya?" Baginda menjawab: "Ya." Dia bertanya lagi: "Tidak ada lagi selain saya yang melayaninya." Jawab baginda: "Apakah kamu suka melihat ibumu tidak berpakaian?" Lelaki itu menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka minta izinlah kepada ibumu." - (HR. Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Diriwayatkan oleh Aisyah, katanya: "Aku belum pernah melihat seorang pun yang wibawa dan kelakuannya seperti Rasulullah terhadap Fatimah puterinya. Jika masuk kepada Rasulullah, dia bangkit kepadanya, menciumnya dan mempersilakannnya duduk di tempat duduk baginda. Dan jika nabi masuk kepadanya dia bangkit daripada tempat duduknya, mencium baginda dan mempersilakan baginda duduk di tempat duduknya." - (HR. Abu Daud, Nasai dan Termizi).

Seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan anak tetapi ayahku ingin menguasai hartaku." Dijawab, "Kamu dan hartamu milik ayahmu." - (HR Ibnu Majah).

"Seorang lelaki datang mengadu mengenai bapanya maka dia berkata: Sesungguhnya dia (bapaku) mengambil hartaku." Rasulullah menjawab: "Kamu dan hartamu daripada hasil jerih payah ayahmu." - (HR. Tabrani dalam Al-Kabir).

"Siapa yang menjadikan ibu bapanya redha, maka dia menjadikan Allah redha dan siapa yang menjadikan ibu bapanya marah maka dia telah menjadikan Allah marah (kepadanya)." - (HR. Ibnu Najar dalam Tarikh Baghdad).

"Sesiapa yang membayar hutang ibu bapanya sesudah mereka meninggal dunia dan menunaikan nazar mereka dan tidak menyebabkan cela bagi mereka, maka dia ditulis sebagai orang yang berbakti walaupun dia adalah orang yang pernah menderhakai ibu bapanya." - (HR. Ibnu Asakir).

"Sesungguhnya orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat adalah orang yang membunuh nabi atau orang yang dibunuh oleh nabi atau membunuh seorang daripada ibu bapanya dan pembuat patung serta orang berilmu yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya." - (HR. Baihaqi)

Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Cara berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia

Jangan Derhaka Kepada Ibu Bapa

Doakan ibu dan bapa





*

Antara sifat cela

*
1) SYARHUL THAA'AM ; ertinya gemar kepada makan atau makan terlalu banyak.

2) SYARHUL KALAM ; ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak berfaedah kepada dunia dan akhiratnya.

3) GHA'DHAB ; ertinya bersifat dengan sifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku pada perkara yang kecil.

4) BUKHL ; ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

5) HASAD ; ertinya dengki akan ni'mat yang ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan, melebihi dari dirinya.

6) HUBBUL JAH ; ertinya cintakan kepada kemegahan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

7) HUBBUN DUNYA ; ertinya cintakan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

8) KIBR ; ertinya bongkak atau sombong, dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi dari orang lain.

9) UJUB ; ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga ia terlupa segalanya, adalah ni'mat dari Allah.

10) RIA' ; ertinya menunjuk-nunjuk dengan amal ibadatnya, beramal untuk mendapat pujian dan sanjungan untuk dipandang mulia oleh manusia bukan kerana Allah.

*

Kehebatan doa

*


"Qada' Allah tidak dapat ditukar, melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan." (HR At Tirmizi)

"Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari Kiamat." (HR al-Bazzar, at-Tabrani dan al-Hakim)

Sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam : "Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Ditanya baginda : Apa itu tergopoh-gapah ?. Sabda baginda : Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti dan meninggalkan doa". (HR Muslim).

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulannya, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (HR Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la)

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai” (HR At Tirmizi)


*

Mencari nafkah adalah ibadah

*


Pernah sahabat Nabi sallallahu `alaihi wa sallam merungut apabila melihat seorang yang badannya kasar kerana kuat bekerja dan berkata: "..Alangkah baiknya jika dia menggunakan kekuatan tubuhnya itu untuk berjihad pada jalan Allah" Mendengar itu Rasulullah pun bersabda: "Jika dia bekerja mencari nafkah untuk anak-anaknya yang kecil adalah Fi Sabilillah, jika dia bekerja untuk kedua ibu bapanya pun Fi Sabilillah, jika dia bekerja mencari nafkah untuk dirinya sendiri juga dikira Fi Sabilillah, tetapi jika dia bekerja dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan riak, maka itu adalah Fi Sabili syaitan (pada jalan syaitan). (HR. Bukhari dan Muslim dan Tirmidzi)

*

Lima pesanan Syaikh Al-Balkhi

*



Ambil oleh mu lima perkara kemudian amalkan :

1) Sembahlah Allah sebanyak keperluanmu kepadaNya.

2) Ambil apa-apa dari dunia menurut keperluan selama umurmu di dalamnya.

3) Lakukanlah maksiat kepada Allah menurut kemampuan kamu untuk memikul azabNya.

4) Persiapkan bekal di dunia untuk selama kamu tinggal didalam kubur.

5) Beramallah untuk syurga, menurut lamanya masa yang kamu inginkan untuk tinggal di dalamnya."

Wallahu a'lam.

*

Isti'jal - Gopoh

*

Satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya dan boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal). Mengikut Imam al-Ghazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopog-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat.

Umpamanya, jika berbicara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan. Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah. Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.

Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.

Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.

Menurut Imam al-Ghazali : Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.

Wallahu a'lam.

Penulis : MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI


*

Link pilihan:

Bersikap Tenang, Jangan Tergesa-gesa

Mencari Ketenangan





*

Hakikat Dosa

*

Seorang hamba Allah, dikira berdosa, apabila dia tidak melakukan kerja atau tindakan taat kepada Allah Taala.

Sesorang hamba Allah itu dikatakan tidak melakukan kerja taat kepada Allah apabila tidak mengerjakan suruhan Allah atau melakukan kerja haram (perbuatam maksiat, kemungkaran atau sebarang larangan dalam agama Islam).

Setiap hamba Allah yang berdosa akan ditimpakan pembalasan seksaan (azab) daripada Allah s.w.t sama ada di akhirat, maupun di dunia.

Hamba Allah yang perbuatan dosanya tidak / belum mendapat keampunan Allah Taala atau dalam proses keampunan, sedang dalam pengkifaratan dosa misalnya, akan menerima pembalasan awal (terdekat) di dunia yang merupakan seksaan atau kecelakaan. Pembalasan dosa akan membinasakan diri, seterusnya menjejaskan iman dan melupuskan takwa.

Berkata Imam al-Ghazali, maksudnya : Perbuatan maksiat itu adalah sebagai makanan yang memudharatkan badan manusia. Dosa-dosa yang terkumpul dalam diri manusia akhirnya meracuni jiwa keimanannya. Perbuatan dosa akan mengakibatkan kegelapan dalam hati kerana dosa itu menjadi kotoran atau karat di hati.

Karat dosa ini, jika tidak dikikis dengan taubat, lama-kelamaan akan bertambah tebal lalu menutup pintu hati dan sukar atau tidak mungkin dihapuskan lagi. Orang yang demikian hatinya, jika tidak mendapat rahmat Allah, akan hidup dan mati dalam kesesatan. Na'uzu billahi min zalik.

Demikianlah dosa itu akan menjadi hijab yang mendindingi perhubungan seseorang dengan Allah Taala, terjauh daripada rahmat Allah, tidak mendapat taufik dan hidayah-Nya untuk berbuat amal kebajikan. Orang yang banyak dosa dan berterusan dengan perlakuan dosa itu sehingga berkarat tebal adalah sukar untuk kembali ke jalan yang benar, malah sukar juga untuk memulakan taubat. Sebaliknya, dosa itu akan mendorong kepada perbuatan dosa yang lain, sama ada dilakukan dengan anggota badan (dosa zahir) atau dengan hati (dosa batin). Dosa yang baru ini mungkin lebih besar kecelakaannya. Secara lambat atau segera, hamba Allah yang berdosa itu akan menerima pembalasan di dunia :
(a) ditimpa penyakit,
(b) ditahan rezeki,
(c) merasakan diri terlepas daripada sebarang pembalasan kerana masih berterusan mendapat kemewahan dan keni'matan hidup, walaupun berterusan melakukan dosa, akan tetapi semuanya ini merupakan tindakan istidraj (pembalasan secara perlahan, sedikit demi sedikit) daripada Allah Taala yang tidak disedari oleh hamba Allah yang berkenaan.

Demikianlah kecelakaan akibat dosa yang perlu diketahui. Berkata Imam al-Ghazali, "Apabila kita dapat memahami semuanya ini, nescaya akan timbul di dalam hati rasa takut. Jika perasaan takut telah bertakhta di hati, akan mudahlah kita menanggung kesabaran dengan berkatnya. Pertolongan Allah Taala dan taufik-Nya akan menyusul sesudah itu".

Wallahu a'lam.

Penulis: Muhammad Isa al-Jambuli
muhd_isa@tm.net.my

*

Manhiyyat

*

Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa. Ia lambang kekukuhan iman. "Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang paling kuat beribadah." (Hadis - Abu Ya'la)

Biasanya, suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan apa yang dilarang. Justeru itu kita mudah bertemu dengan orang yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Mampu mengeluarkan sedekah dalam perjalanan ke kasino untuk memuaskan nafsu. Solat tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat. Sentiasa memegang tasbih untuk berzikir tetapi mengabaikan pembayaran hutang.

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama. Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."




*

Syarat melakukan maksiat

*

Suatu hari seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. 'Wahai Aba Ishak! Saya selalu melakukan maksiat, tolong berikan aku nasihat'.

Ibrahim berkata, 'Jika kamu mau menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh terus melakukan maksiat.'

1. Jangan makan rezeki Allah.
Lelaki itu seraya berkata, 'Aku mau makan dari mana? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
Ibrahim berkata, 'Kamu makan rezekiNya, tapi mahu melanggar larangan-Nya?'

2. Jangan tinggal di bumi Allah.
Apakah kau layak tinggal di bumi-Nya, sementara kamu melanggar larangan-Nya?

3. Carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh Allah.

4. Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Tangguhkan kematianku. Aku mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'.
Apakah kamu masih ingin berlaku maksiat apabila mengetahui maut boleh datang bila-bila masa sahaja.

5. Bila malaikat Zabaniyah datang hendak menggiringmu ke neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau mau ikut bersamanya. Dia berkata, 'Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.'

Wallahu a'lam.


*

Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya

*


1. Jangan Syirik. 

 "Dan (Ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar". (Luqman: 13)

2. Allah Maha Mengetahui.

"(Luqman berkata): "Hai anakku, Sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui." ( (Luqman: 16)

3. Dirikan solat.

"Hai anakku, Dirikanlah solat...." ( (Luqman: 17)

4. Mengajak kepada kebaikan.

"...dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik...." (Luqman: 17)

5. Mencegah Kemungkaran.

"...dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar...." (Luqman: 17)

6. Sabar Terhadap Musibah yang Menimpa.

"...dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)." (Luqman: 17)

7. Tidak bersikap sombong terhadap orang lain.

"Dan janganlah kamu memalingkan muka mu dari manusia (kerana sombong)...." (Luqman: 18)

8. Tidak Angkuh.

"...dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Luqman: 18)

9. Menyederhanakan Cara Berjalan.

"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan...." (Luqman: 19)

Waqsid fii masyika, Yakni berjalanlah dengan cara jalan yang pertengahan, tidak dengan langkah yang lambat dan tidak pula dengan langkah yang terlalu cepat, namun dengan langkah yang pertengahan antara lambat dan cepat. (Ibnu Katsir jilid III : 1990 : 430).

10. Melunakkan Suara

"...Dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai." (Luqman: 19)

Menurut Ibnu abbas ra, waghdud min shautik, yakni rendahkanlah suarmu dan janganlah bersuara dengan keras (tanpa alasan yang baik).

Menurut al-Maraghi, waghdud min shautik, yakni kurangilah dari nada suara dan ringkaslah dalam berbicara, dan janganlah meninggikan suaramu ketika tidak ada keperluan apapun untuk meninggikannya, karena hal itu adalah tindakan yang dipaksakan oleh yang berbicara dan dapat mengganggu diri dan pemahaman orang lain.

Wallahu a'lam.


*

Ucapan & Situasi

*


1 – Perkataan SUBHANALLAH

Ertinya ialah : ” MAHA SUCILAH ALLAH “

Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib . Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan . Tujuan kita mengucapkan “ SUBHANALLAH “ iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita : “ Wah ! hebatnya orang itu , tak cedera langsung . Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan kehendak Allah Ta’ala “ .

Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah. Contohnya kita ucapkan SUBHANALLAH apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala . Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata : “ Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu “ . 

Lihat penggunaan “ SUBHANALLAH “ ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini :

Ertinya : “ Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam ( Israk ) dari Masjid al-Haram ( di Mekkah al-Mukarramah ) ke Masjid al-Aqsa ( di Palestin ) yang telah Kami berkati sekitarnya , agar Kami menunjukkan kepadanya ( Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam) beberapa tanda kekuasaan Kami . Sesungguhnya Dia ( Allah ) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat “ . ~ Surah al-Israk , ayat 1 .

Peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat , namun sehebat-hebat peristiwa itu , lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu , Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat , Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya . Dan Maha Sucilah Allah drp segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia .

Ucapan “ SUBHANALLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TASBIH “ .


2 – Ucapan “ ALHAMDULILLAH “

Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah “ atau pun “ Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah “.

Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala ni'mat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita.

Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji , contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita , lalu kita pun menjawab : “ Alhamdulillah , saya berjaya “ ( Diucapkan ucapan “ Alhamdulillah “ agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita , ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak dikehendaki oleh Allah Ta’ala ).

Ucapan “ ALHAMDULILLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TAHMID “.


3 – Ucapan “ ALLAHU AKBAR “

Ertinya : “ Allah Maha Besar “ .

Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi :

1 – Apabila berada di tempat yang tinggi .
2 – Apabila berada di dalam ketakutan .
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala .
4 – Sebagai “ pembakar semangat “ para pejuang Islam .
5 – Ketika azan , takbiratul ihram dan takbir hari raya .

Ucapan ini dikenali juga sebagai “ TAKBIR “ .


4 – Ucapan “ LA ILAHA ILLALLAH “

Ertinya : “ Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah“.

Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan .

Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam . Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih ( seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.

Ia dikenali juga dengan gelaran “ TAHLIL “ .


5 – Ucapan “ BISMILLAH “

Ertinya : “ Dengan Nama Allah “

Ucapan ini dikenali sebagai “ BASMALAH “

Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya .

Ertinya di sini ialah : “ Bismillah “ digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja . Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad : “ Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya “ .

Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang , maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala . 

Contohnya :

A – Membaca “ Bismillah “ untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar , untuk “membuka gelanggang silat “ , untuk “ menyemah “ rumah, untuk “ menjamu “ penunggu dan jin dan sebagainya .

B – Membaca “ Bismillah “ untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita .

C – Membaca “ Bismillah “ untuk “ tikam “ nombor ekor , toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian .

D – Membaca “ Bismillah “ ( supaya selamat konon-kononnya ) untuk mengintai orang mandi .

E – Membaca “ Bismillah “ untuk makan dan minum apa-apa yang haram .

F – Membaca “ Bismillah “ kuat-kuat ( agar didengar oleh orang ramai ) ketika membuka warong demi melariskan jualan .


6 – Ucapan “ MA SYAALLAH “

Ertinya : “ Apa yang Allah Kehendaki “

Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah .

Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat ( sama seperti Tasbih )

Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang , contohnya menyebut “ MA SYA ALLAH “ ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna “ Apa-apa yang Allah kehendaki “ , sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya . Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihat pelakon-pelakon yang seksi-seksi di TV .

Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini !!! .

Ucapan ini diistilahkan sebagai : “ AL-MASYIAH “


7 – Ucapan “ A’UZUBILLAHI MINASY SYAITONIR RAJIM “

Ertinya : “ Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam ( terkutuk ) “ .

Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan , sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana .

Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim .

Ucapan ini digelar sebagai “ AT-TA’AWWUDZ “ .


8 – Ucapan “ LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH “

Ertinya : “ Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan ( yang sebenar / yang terutama ) melainkan dengan kehendak Allah “ .

Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu .

Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HAUQOLAH “ .


9 – Ucapan “ INSYA ALLAH “

Ertinya : “ Jika dikehendaki Allah “

Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang . Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “ INSYA-ALLAH “ , tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya , maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini . ~ [ Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom , Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia ].

Ucapan ini dikenali sebagai “ TAWAKKUL “ ( Tetapi masyarakat Melayu menyebutnya sebagai tawakkal )


10– Ucapan “ BARAKKALLAHU FIK “

Ertinya : “ Semoga Allah memberkati engkau “ .

Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya .

Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AT-TABARRUK “ .


11 – Ucapan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN “

Ertinya : “ Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan “

Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang .

Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak “ .

Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik ) .

Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan “ JAZAKALLAHU “ ( Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa ??? . Ayat ini jadi ayat tergantung ! .

Apabila kita diucapkan sedemikian rupa , maka respon kita pula ialah : “ JAZANA WA IYYAK “ . Erti respon itu ialah : “ Semoga Allah juga membalas ( kebaikan yang kau ucapkan tadi ) kepada kita semua dan juga kepada dirimu“.

Ianya dikenali sebagai kalimah “ ASY-SYUKR “


12 – Ucapan “ INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN “

Ertinya : “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “.

- Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir , kemalangan , kecurian dan seumpamanya . ( Tetapi orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang ) .

Ucapan ini dikenali sebagai “ LIL ISTIRJAA’ / TARJIE’“


13 – Ucapan “ HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL “

Ertinya : “ Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung / penolong “ .

Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap ( bertawakkal ) kepada Allah Ta’ala semata-mata . Dan ia juga merupakan ucapan “ pembakar “ semangat keberanian orang-orang yang beriman. Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh.

Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HASBANA “.




Wallahu A’alam Bis Sowab.


*

Amalan bila bayi baru lahir

*


1. Mengazankan dan mengiqomahkan ke telinga anak.

Azan di telinga kanannya. Iqomah di telinga kirinya. Dalilnya ialah hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.: Dari Abu Rafi’, katanya: Aku melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam mengumandangkan azan di telinga al-Hasan bin Ali ketika ibunya (Fatimah) melahirkannya. (HR Abu Daud & At-Tarmizi).

Dari al-Hasan bin Ali dari Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, baginda bersabda: Sesiapa yang anaknya baru dilahirkan, kemudian dia mengumandangkan azan ke telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya `ummu shibyan’. `Ummu shibyan’ ialah angin yang dihembuskan kepada anak, jadi anak itu takut kepadanya. Ada juga yang berkata bahawa ia adalah `qarinah’, iaitu jin.

Mengapa azan? Adalah wajar anak ini diazan dan diiqamatkan agar kalimah pertama yang didengarnya dan tembus ke gegendang telinganya adalah kalimah seruan Yang Maha Agung. Kalimah yang mengandungi persaksian (syahadah) terhadap keesaan Allah dan persaksian terhadap kerasulan Muhamad bin Abdullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Anak yang baru menghirup udara dunia ini telah diajarkan dengan aqidah dan syariat Islam, sebagaimana seseorang yang akan mati diajarkan dengan kalimah tauhid `La ilaha illallah’. Agar pengaruh azan ini dapat meresap ke dalam diri anak ini.

Azan ini ialah untuk mengusir syaitan yang memang menanti-nanti kelahiran bayi ini. Azan dikumandangkan ke telinga bayi agar seruan dakwah kepada Allah dan agamanya dapat mendahului seruan jahat syaitan.

Azan dan iqomah yang diperdengarkan akan dirakam oleh bayi berkenaan yang menjadi sebahagian dari pendidikan tauhid, syariat dan akhlak.

2. Tahnik iaitu menggosok langit-langit bayi dengan kurma.

Caranya: Kurma yang dikunyah diletakkan di atas jari, kemudian memasukkan jari berkenaan ke dalam mulut bayi. Gerak-geraknya ke kanan dan ke kiri dengan lembut hingga rata.

Jika sukar untuk memperoleh kurma, boleh diganti dengan manisan lain.

Dan yang lebih utama, `tahnik’ ini hendaklah dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sifat taqwa dan soleh. Ini adalah sebagai suatu penghormatan dan harapan agar anak ini juga akan menjadi seorang yang taqwa dan soleh.

Hadis Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dari Abu Burdah, dari Abu Musa r.a., katanya: Aku telah dikurniakan seorang anak. Lalu aku membawanya kepada Nabi dan baginda menamakannya dengan Ibrahim, men`tahnik’nya dengan kurma serta mendoakannya dengan keberkatan. Kemudia baginda menyerahkannya kembali kepadaku. (HR Bukhari & Muslim)

3. Cukur semua rambut dikepala anak pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian bersedekah kepada orang-orang fakir dengan nilai perak seberat timbangan rambutnya itu.

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan perkara ini, antaranya ialah: Dari Ja’far bin Muhamad dari ayahnya, dia berkata: Fatimah r.a. telah menimbang rambut kepala Hasan, Husin, Zainab dan Ummu Kalsom. Lalu dia sedekahkan perak seberat timbangan rambut berkenaan. (HR Imam Malik)

Yahya bin Bakir meriwayatkan dari Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menyuruh agar dicukur kepala al-Hasan dan al-Husin pada hari ketujuh dari kelahiran mereka. Lalu dicukur kepala mereka, dan baginda menyedekahkan perak seberat timbangan rambut berkenaan.


4. Memberi nama yang baik. 

Dari Abu Darda’ r.a., bersabda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: Sesungguhnya pada hari kiamat nanti kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh itu, berilah nama yang baik untuk kamu. (HR Abu Daud)

Waktu memberi nama: Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, ada yang menunjukkan pada hari pertama kelahirannya. Ini berdasarkan hadis riwayat Muslim dari Sulaiman bin al-Mughirah dari Thabit dari Anas r.a., katanya Rasulullah . bersabda: Malam tadi telah lahir seorang anakku. Kemudian aku menamakannya dengan Ibrahim.

Ada juga hadis yang menunjukan pada hari ketujuh berdasarkan riwayat Samirah, katanya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan dicukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)

Dapat disimpulkan dari hadis-hadis berkenaan bahawa Islam memberi kelonggaran terhadap tempoh pemberian nama anak. Boleh pada hari pertama, boleh dilewatkan pada hari ketiga, dan boleh ada hari ketujuh.

5. Beraqiqah atau sembelih akikah.

Hadis Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam: Samirah, katanya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan dicukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)

Berdasarkan hadis di atas dan hadis-hadis lain bahawa aqiqah dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Namun begitu berdasarkan pendapat imam Malik bahawa penentuan hari ketujuh seperti yang dilihat pada zahir hadis hanyalah berbentuk anjuran sahaja.

6. Memberi ucap selamat dengan mendoakan kesejahteraan anak dan ibubapanya, serta turut sama bergembira.

Dari Abu Bakar al-Munzir, bahwa dia berkata: Telah meriwayatkan kepada kami dari al-Hasan al-Basri bahawa seorang lelaki telah datang kepadanya, dan di sisinya ada seorang lelaki yang baru dianugerahi seorang anak kecil. Lelaki itu berkata kepada orang yang mempunyai anak itu: "Selamat bagimu atas kelahiran seorang penunggang kuda." Hasan al-Basri berkata kepada lelaki itu: "Apakah kamu tahu, apakah dia seorang penunggang kuda atau penunggang keldai?" Lelaki itu bertanya: "Jadi bagaimana cara kami mengucapkannya?" Hasan al-Basri menjawab: "Katakanlah, semoga kamu diberkati di dalam apa yang diberikan kepadamu. Semoga kamu bersyukur kepada yang memberi. Semoga kamu diberi rezeki dengan kebaikannya, dan semoga dia mencapai masa balighnya."

Begitulah secara asasnya beberapa sunnah menyambut kelahiran bayi. Sunnah-sunnah ini masih belum terasa janggal untuk diamalkan kerana ramai yang beramal dengannya. Oleh itu, kita juga perlu sama-sama beramal dengannya, semoga ia menjadi sebahagian dari tahap pendidikan ke arah mewujudkan genarasi muslim yang berakhlak mulia serta bertaqwa kepada Tuhannya.

Sekian. Wallahu a’lam.




*

Link pilihan :

Aqiqah





*

Nabi membawa rahmat

*


Sabda Nabi sallallahu `alaihi wa sallam, "Setiap nabi-nabi ada doa yang dimakbulkan Tuhan. Maka semua nabi-nabi itu bersegera mengajukan permohonannya. Tetapi saya menyimpan doa saya itu untuk memberi syafaat kepada umatku di hari kiamat nanti. Dan ia akan mencapai insya-Allah orang yang mati tanpa mempersekutukan Allah." (Hadis riwayat Imam Muslim no: 199)

Wallahu 'alam.




Link pilihan:

Syafa'at Nabi Muhammad

Jahanamiyyun

Kelebihan Berselawat





*

Selawat Syifa'

*
Terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan bacaan Selawat Syifa’. 

Mereka mengatakan bahawa mengamalkan selawat ini boleh membawa kepada syirik.

Untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah menerangkan dengan panjang lebar. Anda patut mendengar penjelasan ini dan untuk mendengarnya anda boleh muat turun di bawah ini :



Dalam buku Doa & Rawatan Penyakit yang di karang bersama oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Haron Din & YB. Dr. Amran Kasimin menterjemahkan makna Selawat Syifa’ seperti berikut;


Terjemahan:
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”

Dalam terjemahan makna ini ada sedikit timbul kekeliruan kerana menyebut “Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati”. Persoalannya siapa yang memberi kesembuhan. Dalam terjemahan ini jika dibaca secara langsung memang ada sedikit kekeliruan kerana seolah-olah nabi Muhammad yang menyembuhkan hati-hati.

Dalam persoalan Selawat Syifa ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut; di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat” atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi’ iaitu menyembuhkan.

Dengan itu kalau diterjemahkan ِiaitu “Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati”

‘Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT. sahaja yang boleh memberi kesembuhan. Kesembuhan hanya milik Allah SWT.

Semoga Allah SWT. sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepada-Nya.

Wallahhu ‘alam

Sumber: http://www.darussyifa.org/PenjelasanSelawatSyifa.php

*

Dilarang bermusuhan sesama Islam

*


Dari 'Aisyah ra katanya: Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan." (Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. [Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Sesungguhnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.[Riwayat Bukhari & Muslim]

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda: "Adakah kamu tahu siapakah orang papa (muflis) pada Hari Kiamat?" Jawab sahabat, "Orang papa yang kami tahu ialah orang yang habis wang dan harta bendanya. "Baginda bersabda lagi: "Sesungguhnya orang yang papa pada hari itu ialah orang yang mengerjakan solat, puasa dan berzakat, di samping itu mereka suka mencaci atau memaki hamun, menuduh dengan sewenang-wenang, memakan harta orang lain, membunuh manusia dengan kejam dan memukul orang yang tidak bersalah. Segala amal kebajikannya yang dikerjakannya akan digunakan bagi menampung kesalahan dan kejahatan yang dilakukannya. Sekiranya kebajikannya tidak cukup, maka baki kesalahannya akan dicampur dengan kesalahan orang yang dianiaya lalu dibebankan kepadanya, kemudian dia dicampakkan kedalam neraka." (Riwayat Muslim)

Wallahu a'lam.



*

Popular Posts