"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Di mana zakat fitrah perlu dibayar ?

*

Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :


إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.


Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]?


Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada].


[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada].


Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.


Huraian:


Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.


Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).


Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu.


Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.


Ittifaq ulama


Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni. Beliau mencatatkan :


فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد

الذي سببها فيه

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.


Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.



Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر


Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).


Keliru 2 zakat :


Adapun 'pendapat' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah pendapat yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.


Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.


Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.


Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).


Wallahu a'lam.


*

Popular Posts