"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Kelebihan Tanah Haram Makkah

*
"Sesiapa yang menunaikan haji dari Makkah sambil berjalan kaki (yakni menuju ke Mina, Muzdalifah dan `Arafah) sehingga dia kembali ke Makkah, maka Allah SWT menulis baginya untuk setiap langkahnya 700 kebajikan dan setiap kebajikan itu adalah seumpama kebajikan-kebajikan yang dilakukan dalam Tanah Haram. Lalu baginda ditanya oleh sahabat, " Apakah kebajikan Tanah Haram itu (yakni apakah keistimewaan kebajikan Tanah Haram) ?" Baginda menjawabnya dengan bersabda: "Bagi setiap kebajikan itu diganda dengan 100,000 kebajikan." (HR. al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Wallahu a'lam.



Link pilihan:

Tanah Haram Makkah Dan Batasan-Batasannya

Keistimewaan Tanah Haram Makkah


Apa itu Tanah Haram dan Tanah Suci ?


Sebutan HIM dan HEM

*

Mari semak sebutan kita.

HIM (sebutan nipis).
HEM (sebutan tebal).

Encik Ibrahim - kebanyakkan masyarakat Malaysia akan menyebut Encik IbraHEM.

Encik Rahim - kebanyakkan masyarakat Malaysia akan menyebut Encik RaHEM.

Bismillahir rahma nir rahim - kebanyakkan masyarakat Malaysia akan menyebut Bismillahir rahma nir raHIM.

Di dalam surah al-Fatihah:

shiro tol lazi na 'an am ta 'alai HEM - SILAP.
shiro tol lazi na 'an am ta 'alai HIM - BETUL.

ghairil magh dhu bi 'alai HEM - SILAP.
ghairil magh dhu bi 'alai HIM - BETUL.

Di dalam tasyahhud / tahiyyat :

kamaa sollai ta'ala ibraHEM - SILAP.
kamaa sollai ta'ala ibraHIM - BETUL.

Mari betulkan sebutan kita.




*


Jari Telunjuk Masa Tahiyyat

*

Sejak dahulu lagi, para ulama telah berbeza pendapat mengenai ketika/waktu mengangkat jari telunjuk dan samada digoyang-goyangkan atau digerak-gerakkan jari telunjuk ketika bacaan tasyahhud/tahiyyat semasa solat.

Pendapat-pendapat yang masyhur ialah:
1. Mengangkat jari telunjuk dari awal bacaan tasyahhud tanpa digerak-gerakkan.
2. Mengangkat jari telunjuk dari awal bacaan tasyahhud serta digerak-gerakkan.
3. Mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah, di tengah bacaan tasyahhud tanpa digerak-gerakkan.

Majoriti umat Islam di Malaysia yang bermazhab Syafi'i akan mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah semasa bacaan tasyahhud dan tidak digoyang-goyangkan atau digerak-gerakkan jari telunjuk tersebut.

Imam an-Nawawi, seoarang ulama mazhab Syafi’iyah, mengatakan : “Dan mengangkat telunjuknya pada saat mengucapkan إلاالله (“illallah”) dan tidak menggerakkannya”. ( An-Nawawi, Minhaj al-“al-Thalibin, dicetak pada hamisy Qalyubi wa Umairah, Dar Ihya al-Kutub al-Arabiyah, Indonesia. Juz.I, Hal. 164)

Imam an-Nawawi menyatakan bahawa beliau berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat bagi hal ini. Dan sama sekali tidak mencaci atau mentohmah di antara satu sama lain.

Wallahu 'alam.




Link pilihan:

Arah Pandangan Mata Ketika Solat


*













Lebih Baik Dari Kerajaan Nabi Sulaiman

*

Satu kisah yang diceritakan oleh Imam al-Qalyubi rahimahullah dalam karya beliau "an-Nawaadir" pada kisah yang ke-194 di halaman 174, bahawa satu ketika Nabi Sulaiman bin Daud `alaihimas salam lalu dengan tunggangannya di hadapan seorang penggembala kambing. Maka terluncurlah daripada mulut si penggembala akan kata-kata: "Raja Sulaiman telah dianugerahkan dengan kerajaan yang besar." Kata-kata si penggembala tadi dibawa angin ke telinga Nabi Sulaiman, maka turunlah baginda daripada tunggangannya lalu baginda datang kepada si penggembala itu. Baginda bersabda kepada si penggembala: "Wahai penggembala, sesungguhnya satu ucapan tasbih dalam lembaran amal seseorang hamba itu lebih afdhal di sisi Allah daripada kerajaan Sulaiman, kerana kerajaan itu bakal binasa sedangkan ucapan tasbih tersebut akan kekal bagi si pembacanya dan akan bermanfaat baginya pada hari kiamat nanti."


Sumber: http://bahrusshofa.blogspot.sg/2012/02/lebih-baik-dari-kerajaan.html

*

Orang Yang Kaya

*

4 perkara jika kamu pelihara sebaiknya maka kamu adalah orang yang kaya walaupun banyak kemegahan dunia tidak kamu miliki iaitu:
1. memelihara amanah,
2. berkata jujur,
3. baik akhlak,
4. dapat mengawal diri daripada makan terlalu lahap.
(HR Ahmad dan Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Kaya itu bukanlah lantaran banyak harta, tetapi kaya adalah kaya jiwa (hati)." (HR Muslim)



Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Orang Yang Berjaya





*

Selamat Hari Raya

*

Tazkirah Hari Raya.

Mendoakan agar amalan kita di bulan Ramadhan diterima Allah.
Al-Imam Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani رحمه الله berkata: ” Saya meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang hasan dari Jubair bin Nafir, dia berkata:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم إِذَا الْتَقُوْا يَوْمَ الْعِيْدِ يَقُوْلُ بَعْضَهُمْ لِبَعْضٍ:تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ
“Para  sahabat Rasulullah صلي الله عليه وسلم  apabila bertemu pada hari raya, mereka mengatakan kepada yang lain: TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKA (Moga ALLAH terima amalan kami dan amalan kamu)". (Fathul Bari, 2: 446)

Menghidupkan Malam Hari Raya
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)
Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

Perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya. Jika tidak boleh solat, dapat dengar khutbah.
Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

Makan dahulu sebelum pergi solat 'idil Fitri.
Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya.
Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

Bertakbir
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bertakbir pada 'idil fitri bermula dari keluar dari rumah sehingga sampai di tempat solat hari raya. (HR Baihaqi)


Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Walillah hilham.

Taqab balallahu minna wa minkum.


Salam 'idil Fitri dari Lenggang Kangkung sekeluarga.

 
Maaf Zahir dan batin.

*

Khuatir Amalan Tidak Diterima

*

Para ulama salaf terdahulu sangat bersemangat untuk menyempurnakan amalan mereka, kemudian mereka berharap agar amalan tersebut diterima oleh Allah dan sangat khuatir jika tertolak.

Ibnu Diinar mengatakan, “Tidak diterimanya amalan, lebih ku khuatirkan daripada banyak beramal.”

Abdul Aziz bin Abi Rawwad berkata, “Saya menemukan para salaf begitu semangat untuk melakukan amalan solih. Apabila telah melakukannya, mereka merasa khuatir apakah amalan mereka diterima atau tidak.”

‘Umar bin ‘Abdul Aziz berkata semasa beliau berkhutbah pada hari raya Idul Fitri, “Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian pun telah melaksanakan solat tarawih setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon pada Allah agar amalan kalian diterima. Namun sebagian salaf malah bersedih ketika hari raya Idul Fitri. Dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini adalah hari penuh kebahagiaan.” Mereka malah mengatakan, “Kalian benar. Akan tetapi aku adalah seorang hamba. Aku telah diperintahkan oleh Rabbku untuk beramal, namun aku tidak mengetahui apakah amalan tersebut diterima atau pun tidak.” (Lathaif Al Ma’arif, 368-369).

 Ada yang mengatakan para salaf biasa memohon kepada Allah selama enam bulan agar dapat berjumpa dengan bulan Ramadhan. Baki lagi enam bulan, mereka memohon kepada Allah agar amalan mereka diterima.

Wallahu a'lam.

Taqobbalallahu minna wa minkum. (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian)




Link pilihan:

Khauf dan Raja' (Harap-harap cemas)



*



Cara Hadapi Godaan Nafsu Dan Syaitan

*

Diceritakan bahawa ada seorang murid yang telah tamat pengajian dengan seorang guru. Maka sebelum dia berangkat pulang ke kampung halaman, si murid meminta tawsiyah (nasihat) dari gurunya tentang bagaimana cara menghadapi godaan nafsu & syaitan.

Si guru berfikir kemudian menjawab dengan memberikan sebuah perumpamaan. Dia menjawab soalan muridnya itu dengan melontarkan soalan: "Anakku, cuba bayangkan jika engkau diundang untuk bertamu di rumah seseorang. Ketika engkau tiba di depan pintu rumahnya, kau mendapati ada seekor anjing sedang menghalang engkau dari memasuki rumah itu. Katakan kepadaku apa yang akan engkau perbuat dengan anjing itu pada ketika itu?"

Jawab si murid: "Akan aku ambil batu dan lempar ke arah anjing itu agar aku mengusirnya".

Tanya gurunya lagi: "Tapi jika setelah itu, dia datang lagi di hadapan pintu itu?" "Akan aku lempar lagi dengan batu yang kedua" jawabnya. Dan setiap kali gurunya bertanya soalan itu, dia memberikan jawapan yang sama.

Maka sang guru pun berkata: "Kalau begitu, engkau akan menghabiskan masa dengan melempar batu dan anjing itu akan tetap kembali lagi. Engkau akan tertinggal jamuan yang engkau diundang kepadanya oleh si tuan rumah." Dengan kehairanan, muridnya pun bertanya: "Kalau begitu, bagaimana yang harus aku lakukan pada menurutmu, wahai guruku?"

Dengan tenang si guru memberikan suatu penyelesaian yang tidak terfikir oleh si murid tadi: "Bukankah anjing itu kepunyaan tuannya? Kenapa tidak engkau memanggil si tuan rumah untuk mengusir anjingnya itu. Si anjing pasti akan segera patuh kepada perintah tuannya tanpa perlu engkau bersusah payah mengusirnya dengan daya usahamu".

Si murid termenung sejenak memikirkan jawapan gurunya. Gurunya menerangkan: "Begitulah hendaknya engkau ketika berhadapan dengan godaan nafsu dan syaitan. Nafsu & syaitan itu adalah ibarat anjing tadi. Ketika engkau sudah diundang untuk bertaubat kepada Allah, engkau akan mendapatkan anjing syaitan dan nafsumu di depan pintu rahmat Tuhanmu. Janganlah kau menghabiskan segenap tenaga untuk mengusir godaan-godaan itu. 

Mohonlah kepada Allah Yang Maha Menciptakan syaitan dan nafsumu itu agar diusir mereka, dan engkau akan dengan mudah dapat memasuki ke pintu rahmat dan keampunan Allah dengan pertolongan Allah سبحانه وتعالى

Itulah jawapanku bagi soalanmu tadi." Terima kasih, Guru!

Cerita di atas ini dipetik dari pengajian ringkasan Kitab Ihya' yang disampaikan oleh Tuan Guru kami, Al-Habib Umar Bin Hafiz (semoga kami mendapat manfaat dengan ilmunya)

Benarlah ungkapan para Ulama:
لولا المربي ما عرفت ربي
Lau-lal mu-rab-bi ma 'a-raf-tu Rab-bi

Kalau tidak kerana guru yang mendidikku, nescaya tidak akan aku kenal Tuhanku!

Dicopy dari: http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151731449441999

*

Iktikaf

*

Daripada Aisyah R.A (Isteri Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam) bahawa Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selalu beriktikaf pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan hingga diwafatkannya oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepasnya oleh para isterinya. (Muttafaq 'Alaih).

Daripada Abi Hurairah R.A, ia berkata : Adalah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selalu beriktikaf pada tiap-tiap Ramadhan sepuluh hari terakhir. Manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf dua puluh hari. (Sahih Bukhari)

Dengan itu, nyatalah bahawa iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunnah yang diamalkan secara berkekalan oleh Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para isterinya, juga oleh para sahabatnya.

Telah bersepakat di antara imam-imam mazhab yang empat bahawa hukum iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat Muakkadah, kerana mengikut sunnah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan menuntuti Lailatul Qadar. (Syarah Sohih Muslim li An-Nawawi 8/67, Fathul Bari li Ibni Hajar As-Asqolani 4/272).

Manakala hukum iktikaf pada lain daripada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat (istihbab).

"Dan sesiapa yang iktikaf satu hari kerana mencari keredhaan Allah, nescaya Allah jadikan di antaranya dan di antara api neraka, tiga buah parit, di mana jarak di antara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin". (HR. At-Tabrani dan Al-Hakim)

Wallahu a'lam.



Link pilihan:

Panduan Iktikaf

Pedoman Iktikaf

Kelebihan Malam Lailatul-Qadar 
 
Kelebihan Pergi Masjid 


*

Jom pergi masjid

*

Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan malam menuju masjid dengan cahaya yang akan diperolehnya pada hari kiamat.” (HR. Abu Daud)

“Sesiapa yang pergi menuju masjid untuk solat maka satu langkah akan menghapuskan satu kesalahan dan satu langkah lainnya akan ditulis sebagai satu kebajikan untuknya, baik ketika pergi mau pun pulang.” (HR. Ahmad)

Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Sesiapa bersuci di rumahnya lalu pergi ke masjid untuk menunaikan solat yang telah Allah wajibkan kepadanya, maka setiap langkahnya menghapus satu dosa dan langkah yang satunya mengangkat satu tingkat derajatnya.” (HR. Muslim)

Wallahu a'lam.





Link pilihan:


Hukum Solat Berjama'ah

Kelebihan Solat di Masjid 

Iktikaf  



*

Popular Posts