"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Cara Hadapi Godaan Nafsu Dan Syaitan

*

Diceritakan bahawa ada seorang murid yang telah tamat pengajian dengan seorang guru. Maka sebelum dia berangkat pulang ke kampung halaman, si murid meminta tawsiyah (nasihat) dari gurunya tentang bagaimana cara menghadapi godaan nafsu & syaitan.

Si guru berfikir kemudian menjawab dengan memberikan sebuah perumpamaan. Dia menjawab soalan muridnya itu dengan melontarkan soalan: "Anakku, cuba bayangkan jika engkau diundang untuk bertamu di rumah seseorang. Ketika engkau tiba di depan pintu rumahnya, kau mendapati ada seekor anjing sedang menghalang engkau dari memasuki rumah itu. Katakan kepadaku apa yang akan engkau perbuat dengan anjing itu pada ketika itu?"

Jawab si murid: "Akan aku ambil batu dan lempar ke arah anjing itu agar aku mengusirnya".

Tanya gurunya lagi: "Tapi jika setelah itu, dia datang lagi di hadapan pintu itu?" "Akan aku lempar lagi dengan batu yang kedua" jawabnya. Dan setiap kali gurunya bertanya soalan itu, dia memberikan jawapan yang sama.

Maka sang guru pun berkata: "Kalau begitu, engkau akan menghabiskan masa dengan melempar batu dan anjing itu akan tetap kembali lagi. Engkau akan tertinggal jamuan yang engkau diundang kepadanya oleh si tuan rumah." Dengan kehairanan, muridnya pun bertanya: "Kalau begitu, bagaimana yang harus aku lakukan pada menurutmu, wahai guruku?"

Dengan tenang si guru memberikan suatu penyelesaian yang tidak terfikir oleh si murid tadi: "Bukankah anjing itu kepunyaan tuannya? Kenapa tidak engkau memanggil si tuan rumah untuk mengusir anjingnya itu. Si anjing pasti akan segera patuh kepada perintah tuannya tanpa perlu engkau bersusah payah mengusirnya dengan daya usahamu".

Si murid termenung sejenak memikirkan jawapan gurunya. Gurunya menerangkan: "Begitulah hendaknya engkau ketika berhadapan dengan godaan nafsu dan syaitan. Nafsu & syaitan itu adalah ibarat anjing tadi. Ketika engkau sudah diundang untuk bertaubat kepada Allah, engkau akan mendapatkan anjing syaitan dan nafsumu di depan pintu rahmat Tuhanmu. Janganlah kau menghabiskan segenap tenaga untuk mengusir godaan-godaan itu. 

Mohonlah kepada Allah Yang Maha Menciptakan syaitan dan nafsumu itu agar diusir mereka, dan engkau akan dengan mudah dapat memasuki ke pintu rahmat dan keampunan Allah dengan pertolongan Allah سبحانه وتعالى

Itulah jawapanku bagi soalanmu tadi." Terima kasih, Guru!

Cerita di atas ini dipetik dari pengajian ringkasan Kitab Ihya' yang disampaikan oleh Tuan Guru kami, Al-Habib Umar Bin Hafiz (semoga kami mendapat manfaat dengan ilmunya)

Benarlah ungkapan para Ulama:
لولا المربي ما عرفت ربي
Lau-lal mu-rab-bi ma 'a-raf-tu Rab-bi

Kalau tidak kerana guru yang mendidikku, nescaya tidak akan aku kenal Tuhanku!

Dicopy dari: http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151731449441999

*

Popular Posts