"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Sayangi Ibu Bapa

*
"Redha Allah tergantung pada redha ibu dan bapa, dan murka Allah bergantung pada murka ibu dan bapa mereka." (HR al-Hakim)

"Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?" Beliau menjawab, "Ya, masih ada iaitu mensolatkankan jenazahnya, memintakan ampun buat keduanya, melaksanakan janji-janjinya setelah keduanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh disambungnya kecuali dengan keduanya, dan memuliakan sahabat keduanya." (HR Abu Daud)

Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, "Manakah amal yang lebih utama?", Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab; "Solat dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah." - Sahih Bukhari

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah bersabda: Ibumu.Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah  bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ayahmu.

Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, maksudnya; "Seseorang anak tidak dapat membalas jasa orang tuanya sehingga dia mendapati orang tuanya menjadi hamba sahaya kemudian dibeli dan dimerdekakan mereka." - (HR Muslim dan Abu Daud).

"Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan ditambah rezekinya maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya serta menyambungkan silaturrahim." - (Riwayat Ahmad).

"Memohon keampunan untuk ibu bapa yang meninggal dunia daripada seorang anak, termasuk perbuatan berbakti." - (Riwayat Ibnu Najar).

"Sesungguhnya seseorang akan diangkat darjatnya di syurga maka dia berkata: Wahai Tuhanku, dari manakah semua ini untukku?" Maka dijawab: "Daripada permintaan keampunan anakmu untukmu." - (HR Ahmad, Ibnu Majah dan Baihaqi).

"Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau seorang daripada mereka pada setiap Jumaat, nescaya akan diampunkan dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti (kepada ibu bapanya)." - (Riwayat Tabrani).

"Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat kepada wajah ibu bapa, al-Quran dan kepada laut." - (HR Abu Nuaim) dan ditambah dengan lafaz "Melihat kepada Kaabah adalah ibadah". - (HR Abu Daud).

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: Apakah saya mesti meminta izin ibu saya jika masuk ke dalam biliknya?" Baginda menjawab: "Ya." Dia bertanya lagi: "Tidak ada lagi selain saya yang melayaninya." Jawab baginda: "Apakah kamu suka melihat ibumu tidak berpakaian?" Lelaki itu menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka minta izinlah kepada ibumu." - (Riwayat Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

"Aku belum pernah melihat seorang pun yang wibawa dan kelakuannya seperti Rasulullah terhadap Fatimah puterinya. Jika masuk kepada Rasulullah, dia bangkit kepadanya, menciumnya dan mempersilakannnya duduk di tempat duduk baginda. Dan jika nabi masuk kepadanya dia bangkit daripada tempat duduknya, mencium baginda dan mempersilakan baginda duduk di tempat duduknya." - (HR Abu Daud, Nasai dan Termizi).

"Siapa yang menjadikan ibu bapanya redha, maka dia menjadikan Allah redha dan siapa yang menjadikan ibu bapanya marah maka dia telah menjadikan Allah marah (kepadanya)." - (HR Ibnu Najar dalam Tarikh Baghdad).

"Sesiapa yang membayar hutang ibu bapanya sesudah mereka meninggal dunia dan menunaikan nazar mereka dan tidak menyebabkan cela bagi mereka, maka dia ditulis sebagai orang yang berbakti walaupun dia adalah orang yang pernah menderhakai ibu bapanya." - (HR Ibnu Asakir).

"Sesungguhnya orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat adalah orang yang membunuh nabi atau orang yang dibunuh oleh nabi atau membunuh seorang daripada ibu bapanya dan pembuat patung serta orang berilmu yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya." - (HR Baihaqi)

Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Cara berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia

Jangan Derhaka Kepada Ibu Bapa

Doakan ibu dan bapa





*

Popular Posts