"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Kelebihan Ibu Bapa

*


"Redha Allah bergantung pada redha ibu dan bapa, dan murka Allah bergantung pada murka ibu dan bapa mereka." (HR. Hakim)

Dari Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As Sa'idy ra. berkata: suatu ketika kami duduk di hadapan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam kemudian tiba-tiba datanglah seorang laki-laki dari Bani Salimah dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?" Baginda menjawab, "Ya, masih ada iaitu solatkan jenazahnya, memintakan ampun buat keduanya, melaksanakan janji-janjinya setelah keduanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh disambungnya kecuali dengan keduanya, dan memuliakan sahabat keduanya." (HR. Abu Daud)

Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, "Manakah amal yang lebih utama?", Rasulullah menjawab; "Solat dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah." (HR. Bukhari)

Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, belia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” (HR. Bukhari dan Muslim)

"Seseorang anak tidak dapat membalas jasa orang tuanya sehingga dia mendapati orang tuanya menjadi hamba sahaya kemudian dibeli dan dimerdekakan mereka." - (HR. Muslim dan Abu Daud).

"Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan ditambah rezekinya maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya serta menyambungkan silaturrahim." - (HR. Ahmad).

"Memohon keampunan untuk ibu bapa yang meninggal dunia daripada seorang anak, termasuk perbuatan berbakti." - (HR. Ibnu Najar).

"Sesungguhnya seseorang akan diangkat darjatnya di syurga maka dia berkata: Wahai Tuhanku, dari manakah semua ini untukku?" Maka dijawab: "Daripada permintaan keampunan anakmu untukmu." - (HR. Ahmad, Ibnu Majah dan Baihaqi).

"Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau seorang daripada mereka pada setiap Jumaat, nescaya akan diampunkan dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti (kepada ibu bapanya)." - (HR. Tabrani).

"Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat kepada wajah ibu bapa, al-Quran dan kepada laut." - (HR. Abu Nuaim) dan ditambah dengan lafaz "Melihat kepada Kaabah adalah ibadah". - (HR. Abu Daud).

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: Apakah saya mesti meminta izin ibu saya jika masuk ke dalam biliknya?" Baginda menjawab: "Ya." Dia bertanya lagi: "Tidak ada lagi selain saya yang melayaninya." Jawab baginda: "Apakah kamu suka melihat ibumu tidak berpakaian?" Lelaki itu menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka minta izinlah kepada ibumu." - (HR. Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Diriwayatkan oleh Aisyah, katanya: "Aku belum pernah melihat seorang pun yang wibawa dan kelakuannya seperti Rasulullah terhadap Fatimah puterinya. Jika masuk kepada Rasulullah, dia bangkit kepadanya, menciumnya dan mempersilakannnya duduk di tempat duduk baginda. Dan jika nabi masuk kepadanya dia bangkit daripada tempat duduknya, mencium baginda dan mempersilakan baginda duduk di tempat duduknya." - (HR. Abu Daud, Nasai dan Termizi).

Seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan anak tetapi ayahku ingin menguasai hartaku." Dijawab, "Kamu dan hartamu milik ayahmu." - (HR Ibnu Majah).

"Seorang lelaki datang mengadu mengenai bapanya maka dia berkata: Sesungguhnya dia (bapaku) mengambil hartaku." Rasulullah menjawab: "Kamu dan hartamu daripada hasil jerih payah ayahmu." - (HR. Tabrani dalam Al-Kabir).

"Siapa yang menjadikan ibu bapanya redha, maka dia menjadikan Allah redha dan siapa yang menjadikan ibu bapanya marah maka dia telah menjadikan Allah marah (kepadanya)." - (HR. Ibnu Najar dalam Tarikh Baghdad).

"Sesiapa yang membayar hutang ibu bapanya sesudah mereka meninggal dunia dan menunaikan nazar mereka dan tidak menyebabkan cela bagi mereka, maka dia ditulis sebagai orang yang berbakti walaupun dia adalah orang yang pernah menderhakai ibu bapanya." - (HR. Ibnu Asakir).

"Sesungguhnya orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat adalah orang yang membunuh nabi atau orang yang dibunuh oleh nabi atau membunuh seorang daripada ibu bapanya dan pembuat patung serta orang berilmu yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya." - (HR. Baihaqi)

Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Cara berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia

Jangan Derhaka Kepada Ibu Bapa

Doakan ibu dan bapa





*

Antara sifat cela

*
1) SYARHUL THAA'AM ; ertinya gemar kepada makan atau makan terlalu banyak.

2) SYARHUL KALAM ; ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak berfaedah kepada dunia dan akhiratnya.

3) GHA'DHAB ; ertinya bersifat dengan sifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku pada perkara yang kecil.

4) BUKHL ; ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

5) HASAD ; ertinya dengki akan ni'mat yang ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan, melebihi dari dirinya.

6) HUBBUL JAH ; ertinya cintakan kepada kemegahan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

7) HUBBUN DUNYA ; ertinya cintakan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

8) KIBR ; ertinya bongkak atau sombong, dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi dari orang lain.

9) UJUB ; ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga ia terlupa segalanya, adalah ni'mat dari Allah.

10) RIA' ; ertinya menunjuk-nunjuk dengan amal ibadatnya, beramal untuk mendapat pujian dan sanjungan untuk dipandang mulia oleh manusia bukan kerana Allah.

*

Kehebatan doa

*


"Qada' Allah tidak dapat ditukar, melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan." (HR At Tirmizi)

"Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari Kiamat." (HR al-Bazzar, at-Tabrani dan al-Hakim)

Sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam : "Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Ditanya baginda : Apa itu tergopoh-gapah ?. Sabda baginda : Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti dan meninggalkan doa". (HR Muslim).

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulannya, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (HR Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la)

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai” (HR At Tirmizi)


*

Mencari nafkah adalah ibadah

*


Pernah sahabat Nabi sallallahu `alaihi wa sallam merungut apabila melihat seorang yang badannya kasar kerana kuat bekerja dan berkata: "..Alangkah baiknya jika dia menggunakan kekuatan tubuhnya itu untuk berjihad pada jalan Allah" Mendengar itu Rasulullah pun bersabda: "Jika dia bekerja mencari nafkah untuk anak-anaknya yang kecil adalah Fi Sabilillah, jika dia bekerja untuk kedua ibu bapanya pun Fi Sabilillah, jika dia bekerja mencari nafkah untuk dirinya sendiri juga dikira Fi Sabilillah, tetapi jika dia bekerja dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan riak, maka itu adalah Fi Sabili syaitan (pada jalan syaitan). (HR. Bukhari dan Muslim dan Tirmidzi)

*

Lima pesanan Syaikh Al-Balkhi

*



Ambil oleh mu lima perkara kemudian amalkan :

1) Sembahlah Allah sebanyak keperluanmu kepadaNya.

2) Ambil apa-apa dari dunia menurut keperluan selama umurmu di dalamnya.

3) Lakukanlah maksiat kepada Allah menurut kemampuan kamu untuk memikul azabNya.

4) Persiapkan bekal di dunia untuk selama kamu tinggal didalam kubur.

5) Beramallah untuk syurga, menurut lamanya masa yang kamu inginkan untuk tinggal di dalamnya."

Wallahu a'lam.

*

Isti'jal - Gopoh

*

Satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya dan boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal). Mengikut Imam al-Ghazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopog-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat.

Umpamanya, jika berbicara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan. Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah. Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.

Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.

Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.

Menurut Imam al-Ghazali : Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.

Wallahu a'lam.

Penulis : MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI


*

Link pilihan:

Bersikap Tenang, Jangan Tergesa-gesa

Mencari Ketenangan





*

Hakikat Dosa

*

Seorang hamba Allah, dikira berdosa, apabila dia tidak melakukan kerja atau tindakan taat kepada Allah Taala.

Sesorang hamba Allah itu dikatakan tidak melakukan kerja taat kepada Allah apabila tidak mengerjakan suruhan Allah atau melakukan kerja haram (perbuatam maksiat, kemungkaran atau sebarang larangan dalam agama Islam).

Setiap hamba Allah yang berdosa akan ditimpakan pembalasan seksaan (azab) daripada Allah s.w.t sama ada di akhirat, maupun di dunia.

Hamba Allah yang perbuatan dosanya tidak / belum mendapat keampunan Allah Taala atau dalam proses keampunan, sedang dalam pengkifaratan dosa misalnya, akan menerima pembalasan awal (terdekat) di dunia yang merupakan seksaan atau kecelakaan. Pembalasan dosa akan membinasakan diri, seterusnya menjejaskan iman dan melupuskan takwa.

Berkata Imam al-Ghazali, maksudnya : Perbuatan maksiat itu adalah sebagai makanan yang memudharatkan badan manusia. Dosa-dosa yang terkumpul dalam diri manusia akhirnya meracuni jiwa keimanannya. Perbuatan dosa akan mengakibatkan kegelapan dalam hati kerana dosa itu menjadi kotoran atau karat di hati.

Karat dosa ini, jika tidak dikikis dengan taubat, lama-kelamaan akan bertambah tebal lalu menutup pintu hati dan sukar atau tidak mungkin dihapuskan lagi. Orang yang demikian hatinya, jika tidak mendapat rahmat Allah, akan hidup dan mati dalam kesesatan. Na'uzu billahi min zalik.

Demikianlah dosa itu akan menjadi hijab yang mendindingi perhubungan seseorang dengan Allah Taala, terjauh daripada rahmat Allah, tidak mendapat taufik dan hidayah-Nya untuk berbuat amal kebajikan. Orang yang banyak dosa dan berterusan dengan perlakuan dosa itu sehingga berkarat tebal adalah sukar untuk kembali ke jalan yang benar, malah sukar juga untuk memulakan taubat. Sebaliknya, dosa itu akan mendorong kepada perbuatan dosa yang lain, sama ada dilakukan dengan anggota badan (dosa zahir) atau dengan hati (dosa batin). Dosa yang baru ini mungkin lebih besar kecelakaannya. Secara lambat atau segera, hamba Allah yang berdosa itu akan menerima pembalasan di dunia :
(a) ditimpa penyakit,
(b) ditahan rezeki,
(c) merasakan diri terlepas daripada sebarang pembalasan kerana masih berterusan mendapat kemewahan dan keni'matan hidup, walaupun berterusan melakukan dosa, akan tetapi semuanya ini merupakan tindakan istidraj (pembalasan secara perlahan, sedikit demi sedikit) daripada Allah Taala yang tidak disedari oleh hamba Allah yang berkenaan.

Demikianlah kecelakaan akibat dosa yang perlu diketahui. Berkata Imam al-Ghazali, "Apabila kita dapat memahami semuanya ini, nescaya akan timbul di dalam hati rasa takut. Jika perasaan takut telah bertakhta di hati, akan mudahlah kita menanggung kesabaran dengan berkatnya. Pertolongan Allah Taala dan taufik-Nya akan menyusul sesudah itu".

Wallahu a'lam.

Penulis: Muhammad Isa al-Jambuli
muhd_isa@tm.net.my

*

Manhiyyat

*

Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa. Ia lambang kekukuhan iman. "Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang paling kuat beribadah." (Hadis - Abu Ya'la)

Biasanya, suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan apa yang dilarang. Justeru itu kita mudah bertemu dengan orang yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Mampu mengeluarkan sedekah dalam perjalanan ke kasino untuk memuaskan nafsu. Solat tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat. Sentiasa memegang tasbih untuk berzikir tetapi mengabaikan pembayaran hutang.

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama. Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."




*

Syarat melakukan maksiat

*

Suatu hari seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. 'Wahai Aba Ishak! Saya selalu melakukan maksiat, tolong berikan aku nasihat'.

Ibrahim berkata, 'Jika kamu mau menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh terus melakukan maksiat.'

1. Jangan makan rezeki Allah.
Lelaki itu seraya berkata, 'Aku mau makan dari mana? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
Ibrahim berkata, 'Kamu makan rezekiNya, tapi mahu melanggar larangan-Nya?'

2. Jangan tinggal di bumi Allah.
Apakah kau layak tinggal di bumi-Nya, sementara kamu melanggar larangan-Nya?

3. Carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh Allah.

4. Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Tangguhkan kematianku. Aku mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'.
Apakah kamu masih ingin berlaku maksiat apabila mengetahui maut boleh datang bila-bila masa sahaja.

5. Bila malaikat Zabaniyah datang hendak menggiringmu ke neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau mau ikut bersamanya. Dia berkata, 'Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.'

Wallahu a'lam.


*

Popular Posts