Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)

Minyak Sapi Ghee TIDAK Halal

JAKIM telah meluluskan kembali status HALAL Minyak Sapi Ghee berkuatkuasa 1 Novenber 2010 setelah selidikan semula dilakukan.

Sumber: http://halalmedia.my/jakim-clears-qbb-ghee

*

Nuzul al-Quran


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya: ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


Oleh
Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

*

Solat witir


Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Albakri

Solat witir merupakan solat sunat terakhir atau solat penutup didalam satu malam. Sabda nabiْ “Jadikanlah solat terakhir pada malam sebagai solat witir” [HR Muslim].

Solat witir ialah solat yang ganjil bilangan rakaatnya sama ada satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan 11 rakaat. Ia dinamakan dengan witir kerana ditamatkan dengan satu rakaat dan berbeza dengan solat yang lain.

Hukumnya adalah sunat muakkad di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama tetapi menjadi wajib di sisi mazhab Hanafi.

Antara kelebihan solat sunat witir ialah Allah mengasihinya. Sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia telah melaksanakan apa yang disukai oleh Allah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a berkata: Solat sunat witir tidak wajib sebagaimana solat fardu tetapi ia adalah sunat. Kenyataan tersebut sebagai hujah dan dalil bahawa witir bukanlah wajib seperti solat fardu yang lima.

Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu ganjil dan suka kepada yang ganjil-ganjil. Oleh itu, witirlah kamu wahai ahli al- Quran. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`ie, Ibn Majah dan Ibn Khuzaimah).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa eratnya ahli al-Quran dengan solat witir kerana al-Quran merupakan kitab Allah dan witir itu merupakan ketunggalan Allah. Justeru digabungkan antara al-Quran dan witir. Kemungkinan juga kerana al-Quran kebiasaannya dibaca pada waktu malam dan ketika solat. Justeru amat sinonim hubung kait dan ikatan antara solat witir dengan pembaca al-Quran.

Hadis seterusnya yang bermaksud: Solat sunat witir dikurniakan kepada kita oleh Allah, dan ia satu solat yang lebih baik daripada unta merah. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Ini menggambarkan kedudukan sebenar solat witir yang begitu tinggi di sisi Allah. Sehingga Rasulullah s.a.w membandingkan kelebihannya lebih daripada unta merah yang amat bernilai di sisi pengembala unta dan orang-orang Arab yang kaya.

Demikian juga Rasulullah s.a.w menegur dan berlepas diri daripadanya orang yang meninggalkannya dengan sabdanya yang bermaksud: Solat sunat witir adalah benar melaksanakannya justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah daripada golongan kami, Rasulullah mengulangi sebanyak tiga kali. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim).

Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh memelihara solat sunat witir sehingga baginda menyeru agar sesiapa yang khuatir tidak dapat mendirikannya pada lewat malam supaya mendirikannya pada awal malam.

Hal ini sebagaimana hadis daripada Jabir r.a berkata, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesiapa yang bimbang tidak dapat mendirikannya pada tengah malam maka berwitirlah pada awal malam, tetapi siapa yang mampu mendirikannya pada tengah malam itu dipersaksikan dan yang demikian itu adalah lebih baik.

Bilangan rakaat witir sekurang-kurangnya satu rakaat dan makruh melakukan satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat witir ialah tiga rakaat. Iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Namun, yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak 11 rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.

Adapun waktu solat witir ialah selepas solat Isyak hingga masuknya waktu solat Subuh. Solat witir boleh dilakukan secara berjemaah dan menjadi sunat pada bulan Ramadan dilakukannya bersama imam selepas terawih.

Solat witir tidak boleh dilakukan dua kali pada satu malam. Ini kerana apabila diwitirkan dua kali nescaya menjadi genap. Seterusnya, witir amat digalakkan perlaksanaannya pada akhir malam dan penutup bagi segala solat sunat. Walaupun begitu jika seseorang sudah berwitir dan ingin solat sunat yang lain juga dibolehkan. Disebabkan arahan pada hadis tersebut ditafsir dengan maksud seelok-eloknya bukan sebagai satu kewajipan. Ini berdasarkan kepada perbuatan Nabi yang solat selepas solat witir dan inilah juga yang difatwakan oleh Syeikh Abd al-Aziz bin Baz.

Bagi yang melakukan solat witir diberi pilihan sama ada melakukan pada awal malam selepas solat Isyak jika dibimbangi tidak bangun pada malam tersebut atau pada akhir malam jika diyakini dapat bangun pada malam tersebut. Ini lebih baik dan afdal. Hal ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti di atas.

Semoga kita menjadi ahli witir dan qiamullail bukan hanya terbatas pada bulan Ramadan sahaja tetapi terus berlangsung selagi hayat dikandung badan.

*
Bolehkah solat witir 3 rakaat dengan 1 salam ?

Bolehkah lakukan solat sunat lain selepas solat witir ?

*

Doa Jibril menjelang Ramadan

*
Ini BUKAN HADIS

"Doa Malaikat Jibril Menjelang Ramadhan "

Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
- Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
- Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami istri;
- Tidak berma'afan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali."

Setelah diteliti oleh ahli hadits, do’a Malaikat Jibril tersebut tidak ditemui asalnya, bahkan di kumpulan hadits palsu atau dlo’if pun tidak ada. Tidak ditemui sebarang tanda yang boleh membawa kita menilai darjatnya.

Sumber: http://soaljawab.wordpress.com


Yang di bawah ini hadis sahih :

Dari Abi Hurairah Ra, Rasulullah naik ke atas mimbar, kemudian beliau berkata : “Amin..amin. .amin..”.
Kemudian ditanyakan (para sahabat), kepada beliau : “Wahai Rasulullah, saat Engkau naik ke atas mimbar, Engkau mengatakan Amin 3kali, apakah sebabnya?”
“Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Sesiapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan, tetapi dia tidak dapat ampunan Allah, maka dia dimasukkan kedalam api neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah :Amin” . Kemudian aku mengaminkannya.
“Dan sesiapa yang dapat bersama orang tuanya (ketika keduanya masih hidup), atau salah satu di antara kedua orang tuanya masih hidup, padahal dia mampu berbuat baik untuk kedua atau salah satu di antara keduanya, tetapi dia TIDAK berbuat baik kepada keduanya, atau salah satu di antara keduanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka, dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka aku katakan : Amin”
“Dan sesiapa yang namaku disebutkan di hadapannya , kemudian dia tidak berselawat untukku, maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka katakanlah (wahai Muhammad SAW) (amin), maka aku katakan “Amin”. (H.R Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya 3:188)

*

Minum air waktu sahur


Bersahur itu sangatlah dituntut kepada kita para Saim (orang-orang yang berpuasa).

Diriwayatkan Ahmad dari Abu Sa'id bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yng maksudnya: "Bersahur itu adalah suatu keberkatan. Maka janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan hanya meneguk air seteguk,kerana Allah dan para Malaikat berselawat atas orang-orang yang bersahur."

Sunah bersahur ini membezakan puasa cara Islam dengan puasa agama dan bangsa lain di dunia ini. Diriwayatkan oleh Muslim dari Amer ibn 'Ash, bahawa Rasulullah sa..w bersabda yang bermaksud: "Yang menceraikan antara puasa kita dengan puasa Yahudi Nashara (ahlikitab) ialah makan sahur."

Begitu kuat penekanan dari Rasulullah s.a.w kepada kita agar bersahur sehingga kalau rasa tidak boleh makan kerana kenyang atau lain-lain sebab cukuplah dengan hanya seteguk air.

Apa Fungsi Air kepada kita?

Penekanan tegas Nabi agar seteguk air pun baik untuk bersahur jika kita rasa tidak hendak makan menunjukkan bahawa kehadiran air dalam tubuh kita telah diketahui sangat pentingnya oleh Rasulullah s.a.w.. Dan sains perubatan telah lama mencatitkan ini dalam buku-buku perubatan.

Air dan Fungsinya.

Air sangat penting kepada tubuh. Air boleh berfungsi sebagai pelarut dan juga sebagai 'pengakutan nutrien' tak organik. Air diperlukan dalam pembentukan struktur tisu seperti darah sempurna, otot dan tulang.

Minum Air waktu Sahur

Penyejatan air dari kulit dan penghembusan keluar air ke udara dari peparu penting untuk pengawal aturan suhu tubuh. Air memindahkan suhu dari satu bahagian tubuhkebahagian lain; di mana perpindahan air ini menstabilkan suhu tubuh.Tubuh menggunakan air untuk membolehkan buah pinggang berfungsi secara normal. Kebanyakan bahan kumuhan tubuh dikumuhkan melalui buah pinggang. Cecair tubuh menjadi medium (pengantara) untuk enzim dalam keadaan larut, hormon dan koenzim. Enzim ialah protein yang memulakan dan mencepatkan tindakbalas. Hormon ialah rembesan kelenjar yang bertindak sebagai pengutus kepada organ tubuh dengan merangsangkan beberapa proses kehidupan dan merencatkan yang lain. Koenzim ialah sebahagian enzim yang diperlukan untuk pengaktifan molekul protein untuk membentuk satu enzim yang sempurna. Air juga menolong menyelenggarakan imbangan elektrolit dan juga bertindak sebagai pelincir dalam pencernaan serta proses-proses lain dalam tubuh.

Air Liur

Air liur memudahkan pengunyahan dan penelanan. Kadar air liur sentiasa mesti cukup. Kadar pengaliran air liur yang rendah (kadar air liur rehat secara purata ialah 0.208 ml/minit, dapat meningkatkan kejadian karies (caries) kerana ia mengganggu pembuangan sisa-sisamakanan kariogenik di dalam mulut. (karies -kebusukan dan luluhan bahan pada gigi). Air liur yang dirembeskan dalam keadaan biasa sedikit sahaja mengandungi glukosa dan tidak ada sukrosa. Apabila makanan yang kaya dengan gula dimakan kepekatan gula dalam air liur meningkat lebih daripada 1 mg/ml sehingga menghasilkan pH yang cukup rendah untuk memulakan pendemineralan gigi. Dengan itu, pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan kadar pengaliran air liur yang rendah membuatkan gula menjadi tersedia ada kepada mikroorganisma dalam jangka masa yang panjang sehingga dapat menghasilkan asid yang cukup untuk membolehkan karies gigi berkembang. Disinilah saranan Rasulullah s.a.w. agar kita berbuka dengan sedikit juadah manis seperti kurma adalah satu saranan yang baik untuk kesihatan tubuh sekaligus merupakan saranan yang saintifik.!

Minum Air Waktu Sahur

Memandangkan betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia, tidaklah hairan mengapa tanpa air dalam beberapa hari boleh menyebabkan maut. Kita mungkin sudah terbaca berita bagaimana beberapa orang mangsa gempa bumi di Turki baru-baru ini ditemui masih hidup walaupun sudah tertimbus dalam tanah dan runtuhan bangunan lebih sepuluh hari - mereka itu masih hidup kerana dapat minum air sedikit dari pengaliran dan titisan air hujan yang ada. Ini menunjukkan bahawa manusia boleh bertahan hidup tanpa makan tapi mesti ada air.

Dalam keadaan normal, sebanyak tiga liter air hilang daripada tubuh setiap hari. Sebahagiannya dikeluarkan sebagai air kencing, ada melalui kulit, paru-paru dan najis. Oleh itu, kira-kira tiga liter perlu diambil setiap hari untuk menggantikan apa yang telah dikumuhkan.Sumber air adalah daripada minuman, hasil pengoksidaan makanan dan makanan basah. Air daripada pengoksidaan makanan dan bahan makanan basah dirujukkan sebagai air metabolik.

Minum Air Sihatkan Tubuh- Jauhkan Penyakit.

Kajian sains menunjukkan bahwa walaupun satu daripada sebab sesuatu penyakit dalam tubuh kita adalah kerana kehadiran kuman, bakteria dan lain-lain unsur luar. Tapi punca akar umbinya ialah kerana sistem perparitan dalam tubuh yakni sistem aliran darah dan lain-lainsistem perkumuhan telah tersumbat dengan banyaknya bahan toksid dan lain-lain bahan kotor yang wujud kerana makan terlalu banyak sehingga tidak sempat dihazamkan; kurang minum air, kurang makan sayur dan buah-buahan.

Cara yang paling baik ialah minum air bersih setiap hari dan minum jus buah-buahan (buat sendiri di rumah untuk elakkan campuran bahan lain di kedai.) Meminum air yang banyak boleh menyebabkan sistem yang tersumbat dalam tubuh dibersihkan dan terkeluarnya bahan yang tidak diperlukan termasuk bahan toksid.

Orang yang puasa hendaklah banyak minum air ketika sahur dan berbuka. Kurangnya air dalam tubuh boleh menyebabkan dehaidrasi (dehyration)- kekeringan tubuh.

Maka itulah sebabnya agama Islam memastikan bahawa perintah puasa bersesuaian dengan SUNAH penciptaan manusia- hanya berpuasa dari Subuh hingga Maghrib. Ini sekaligus mengelakkan dari bahaya dehaidrasi dan lain-lain penyakit.

Inilah sebabnya kita disuruh berbuka dengan minum air dan makan bahan makanan manis sedikit. Dan inilah juga yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa bangsa-bangsa lain.

Berpuasalah sebagaimana Nabi kita berpuasa: pasti kita selamat dan sihat. 

Oleh Dr. Osman Nasir

*

Khasiat buah kurma


Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 : Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak. (Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air. (Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma : Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

*
Dicopy dari Blog Mufti Brunei
http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/dis98/h_fruit.htm

Buka puasa dengan rutab


"Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." (HR Ibn Majah)

"Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan minum beberapa teguk air." (HR Tirmidzi)

Rutab adalah buah kurma yang masak dan belum dikeringkan.
Tamar adalah buah kurma yang telah dikeringkan.

*

Marhaban Ya Ramadan


Marilah kita sama-sama mengucapkan "Marhaban Ya Ramadan".

Mengucapkan "Marhaban Ya Ramadan" (Selamat Datang Ramdhan) dengan ikhlas menunjukkan kita gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini.

Rasulullah sendiri gembira setiap kali kedatangan bulan Ramadan.

Rasulullah mengucapkan "tahniah" kerana kedatangan bulan Ramadan.

Berita gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya sambil bersabda : "Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramdhan, bulan yg penuh keberkatan. Allah memfardukan atas kamu berpuasa. Di dalam bulan Ramadan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barang siapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." (Riwayat Ahmad)

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (Riwayat Muslim)

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

"Sesiapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh dia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)



Selamat berpuasa dan moga kita semua dirahmati Allah di bulan Ramadan ini.

Marhaban Ya Ramadan.

سبحان الله والحمدلله ولااله إلاالله والله أكبر

*

Fadilat Terawih

*
Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi
kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut
dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam
hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai
dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

*

Matlamat puasa



Matlamat puasa ialah TAQWA.

Erti taqwa secara mudah ialah menjunjung dan melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi serta meninggalkan segala larangan Allah.

Taqwa itu berkaitan dengan sikap kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah dan RasulNya, baik perintah itu berupa suruhan atau larangan.

Secara ringkas orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung perintah Allah dengan ikhlas.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, moga kamu menjadi orang yang TAQWA." (Al Baqarah: 183)

*

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...