*
SOMBONG atau takbur (takabbur) adalah sifat hati yang terkeji dan merupakan satu daripada penyakit hati yang membawa akibat kebinasaan diri.
Pengertian tentang takbur dapat difahami daripada maksud beberapa hadis yang berikut :
· Rasulullah bersabda, "Dianggap sebagai takbur itu ialah menolak apa yang benar dan mengganggap hina kepada orang lain". (HR. Muslim).
· Bersabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam kepada sahabatnya, Abu Dzar : "Takbur itu meninggalkan kebenaran dan engkau mengambil selain kebenaran. Engkau melihat orang lain dengan pandangan bahawa kehormatannya tidak sama dengan kehormatanmu, darahnya tidak sama dengan darahmu".
· Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bertanya kepada sekumpulan Sahabat, "Tahukah kamu, orang gila yang sebenar-benarnya?" Para Sahabat menjawab, "Tidak tahu, ya Rasulullah". Lalu Rasulullah menjelaskan, "Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur, memandang rendah kepada orang lain, membusungkan dada, mengharapkan syurga sambil membuat maksiat dan kejahatannya membuat orang tidak aman dan kebaikanya tidak pernah diharapkan. Itulah orang gila yang sebenarnya".
Sifat takbur itu yang dapat dikesan daripada tutur kata dan perlakuan zahir itu berpunca daripada lintasan hati yang mengandungi rasa tinggi atau besar diri di samping merendahkan mertabat orang lain atau menolak kebenaran.
Mengikut Abu Yazid: "Seorang hamba itu selama masih mempunyai sangkaan, bahwa antara makhluk ada orang yang lebih buruk atau lebih jahat amalannya daripada dirinya sendiri, maka orang itu bersifat takbur". Lalu Abu Yazid ditanya, "Bilakah seseorang itu dapat disebut sebagai tawadhuk?" Abu Yazid menjawab, "manakala dia tidak tahu bagaimana kedudukan serta keadaan dirinya sendiri".
Lawan sifat takbur itu ialah tawaduk (tawadhdhuk atau dhi'ah), iaitu lintasan rasa rendah dan hina diri, termasuk pernyataan perbuatan dan lisan. Dengan menyuburkan sifat dan sikap merendah diri dan pasrah kepada Allah, seseorang akan dapat mencegah penyakit takbur dan juga ujub.
Tawaduk itu adalah sifat hati yang terpuji. Sifat ini membawa kemuliaan. Orang yang berkenaan akan mendapat kedudukan (darjat) yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, mafhumnya : Allah tidak akan memberi tambahan kepada seorang hamba kerana gemar memberi maaf kecuali kemulian, dan tiada seorang pun yang merendahkan diri kerana mengharapkan keridhaan Allah kecuali Allah akan memberi tingkat yang tinggi kepadanya (HR. Muslim).
Takabur dan tawaduk masing-masing ada kalanya bersifat umum dan ada kalanya bersifat khusus.
Orang yang merasakan tidak memadai dengan kerendahan atau kesederhanaan hidupnya dikatakan terjatuh ke dalam Takbur Umum. Sebaliknya, orang yang merasakan sudah berpada dengan keperluan hidup sekadar yang ada, walaupun yang rendah atau sederhana mutunya, dia termasuk dalam tawaduk umum.
Adapun Takbur Khusus bersifat tertutup, tidak mahu menerima, malah tidak bersedia untuk menerima kebenaran daripada orang lain.
Lawannya ialah Tawaduk Khusus yang bersifat terbuka, sentiasa melatih diri untuk menerima kebenaran tanpa mengira sama ada orang yang membawa kebenaran itu hina atau mulia. Untuk mempertahankan tawaduk umum, kita hendaklah sentiasa ingat pengalaman pahit yang pernah menimpa diri kita sejak mula dilahirkan dan sentiasa menginsafi diri kita sebagai hamba Allah, sekurang-kurangnya sebagaimana yang dikatakan oleh ulama: "Asal kamu daripada setitik mani (nuthfah) yang hanyir. Akhir kamu menjadi mayat yang busuk. Dan, di antara keduanya, sepanjang hayat, kamu menanggung kekotoran (najis) di dalam perut kamu".
Untuk mempertahan tawaduk khusus pula kita hendaklah sentiasa mengingati seksaan Allah Taala sebagai pembalasan, sekiranya kita menyeleweng daripada kebenaran dan berpanjangan di dalam kebatilan.
Berbeza dengan sifat-sifat hati lain yang hanya mencederakan amal ibadat dan memudaratkan perkara "cabang" sahaja dalam agama, takbur memudaratkan perkara "pokok", mencederakan agama dan akidah.
Sekurang-kurangnya takbur mengakibatkan empat kebinasaan:
· Terhalang daripada mendapat sebarang kebenaran dan buta mata hati dalam makrifat terhadap ayat-ayat yang mengandungi pengertian tentang hukum dan hikmat Allah.
· Dimurkai dan dibenci oleh Allah Taala. Diriwayatkan : Nabi Musa a.s telah bertanya kepada Allah, "Hai, Tuhanku. Siapakah di antara makhluk-Mu yang paling Engkau murkai?". Allah Taala berfirman, mafhumnya: Orang takbur hatinya, kasar lidahnya, terkelip-kelip matanya, bakhil tangannya dan jahat perangainya".
· Mendapat kehinaan dan deraan di dunia sebelum di akhirat. Bermadah Khatimul-Asham, "Jauhkan dirimu daripada mati dalam tiga keadaan, iaitu takbur, loba (tamak) dan ujub. Sesungguhnya, orang yang takbur itu tidak dikeluarkan oleh Allah Taala dari dunia sehingga dia diperlihatkan dulu penghinaan ke atasnya kepada sekurang-kurangnya keluarganya sendiri. Orang yang loba tidak dikeluarkan dari dunia melainkan setelah merasa amat memerlukan secebis roti dan seteguk air kerana terlalu lapar dan dahaga tetapi tak lalu ditelannya. Dan, orang yang ujub juga tidak dikeluarkan dari dunia melainkan setelah diperlihatkan dirinya bergelumang dengan air kencing dan tahinya sendiri". Gambaran penghinaan di akhirat pula terdapat dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, Rasulullah bersabda : "Orang-orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti kumpulan semut, dipijak-pijak oleh manusia kerana hinanya mereka di sisi Allah Ta'ala".
· Disiksa di akhirat dan dimasukkan ke dalam neraka, sebagaimana firman Allah Taala (tersebut dalam Hadis Qudsi), mafhumnya: Kebesaran itu selindang-Ku dan 'adzmat (keagungan) itu kainku. Sesiapa merebut salah satu daripada yang dua itu, Aku masukkan dia ke neraka Jahannam. Rasulullah bersabda : "Tiada akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada sifat takbur" (HR. Muslim).
Mengikut hadis yang lain, Rasulullah bersabda : "Wahai Abu Dzar, sesiapa mati dalam keadaan hatinya ada sebesar debu sahaja dari sifat takbur, dia tidak akan mencium bau syurga kecuali dia bertaubat sebelum maut menjemputnya".
Biasanya faktor yang menimbulkan rasa takbur di hati seseorang itu ialah sesuatu kelebihan atau keistimewaan yang dimilikinya. Banyak faktornya. Antaranya sebagaimana yang disenaraikan oleh Imam al-Ghazali, iaitu : Ilmu, ibadah, amal, keturunan, kejelitaan atau ketampanan rupa paras, kekayaan harta benda, kekuasaan , kekuatan atau ramai pengikut.
Demikianlah, memang sudah jelas sekali, sebagaimana yang telah pun berlaku. Iblis menjadi takbur kerana faktor keturunannya (asal kejadiannya), Fir'aun kerana kekuaasaannya dan Qarun kerana hartanya.
Jadi, sesiapa yang memiliki kelebihan atau keistimewaan dalam hal-hal yang tersebut, hendaklah berhati-hati agar tidak terhanyut di lautan ghaflah atau menjadi lupa daratan sehingga hatinya dihinggapi penyakit takbur.
Wallahu a'lam.
Oleh: Muhammad Isa al-Jambuli
Link pilihan :
Panduan agar tidak sombong
Tawaduk
*
Popular Posts
-
* Dari Abu Darda r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Jika sesiapa belajar dengan 'mata hati' dalam 10 ay...
-
* "Sesiapa mengucapkan astaghfirullah hal 'azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih, akan diampuni dosa...
-
1. Allahumma laka sumtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin Maksudnya, "Ya Allah bagi Engkau ...
-
* Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardhu Subuh dikenali sebagai Solat Fajar atau Solat Qabliyah Subuh atau Solat Sunat Subuh ....
-
* Jika ditanya Allah ada dimana ? Jawablah: Allah ADA TANPA bertempat, tiada bagi Allah Aina (di mana). (Sumber: ...
-
* Penjelasan Status Hadis Doa Bulan Rejab Hadis Rejab Bulan Allah - Hadis Palsu ? Kelebihan Bulan Rejab *
-
* "Wahai orang-orang yang beriman, telah ditentukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah ditentukan ke atas umat-umat sebelum kam...
-
* Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh: DARUL QURAN WAS-SUNNAH Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2 Kubang Keria...
-
* Waktu Solat Dhuha Secara umumnya waktu melakukan solat sunat Dhuha mengikut syarak bermula dari selepas terbit matahari iaitu angga...
-
* Penjelasan Tentang Bid'ah. Dalam pengertian syari’at, bid’ah adalah: اَلْمُحْدَثُ الَّذِيْ لَمْ يَنُصَّ عَلَيْهِ الْقُرْءَانُ ...