"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Hukum Mandi Telanjang

*

Hukum mandi dalam keadaan membuka aurat adalah dibolehkan di tempat yang tertutup.

Berkata Imam an-Nawawi : “Ada pun membuka aurat pada ketika sunyi dengan makna tidak dilihat oleh seseorang pun, jika kerana hajat, maka dibolehkan. Dan jika bukan kerana hajat, maka terdapat khilaf ulama tentang makruh dan haramnya. Pendapat yang lebih sahih menurut kami adalah haram”. (Syarah Muslim, Dar Ihya at-Turatsi al-Araby, Beirut, Juz. IV, Hal. 32)





*

Pintu Tawaduk

*

"Setelah bertahun-tahun menuntut ilmu, seorang pemuda menyatakan hasrat kepada ayahnya untuk mengajar akan ilmu yang telah beliau pelajari akan tetapi dihalang oleh ayahnya. Ayahnya menyuruh pemuda itu untuk pergi ke pasar mencari orang yang lebih rendah kedudukan daripada dirinya."

"Maka pemuda itu pergi ke pasar dan mencari seseorang yang lebih jahil dari dirinya. Akhirnya beliau menjumpai lelaki tua yang sedang memegang botol arak, lalu tibanya waktu solat seluruh penduduk di pasar pergi ke masjid menunaikan solat. Sekembalinya dari solat, pemuda itu mendapati lelaki tua itu masih memegang botol arak dan juga tidak menunaikan solat. Berkata di dalam hatinya pasti ini lebih jahil dariku. "

"Sebelum mendekati lelaki tua itu terdetik di hati pemuda itu mengatakan "lelaki tua ini jauh lebih tua dari aku, dia telah islam dulu sebelum aku, mungkin saja ini baru hari pertama melakukan dosa sedangkan mungkin bertahun-tahun sebelumnya dia melakukan amal kebaikan. Jika beliau meninggal mungkin timbangan pahalanya lebih berat daripada dosanya. Pemuda itu meninggalkan lelaki tua itu dan teruskan mencari."

Akhirnya pemuda itu bertemu dengan seekor anjing dan berkata "pasti saja aku lebih mulia dari anjing ini, anjing ini tidak berakal" Lalu terdetik dalam hatinya "di Yaumal Mahsyar kelak, aku akan disoal di hadapan Allah SWT tetapi anjing ini tidak, aku akan dihisab oleh Allah tetapi anjing ini tidak, aku akan melintasi titian sirat tetapi anjing ini akan hilang begitu sahaja menjadi debu."

"Andai aku gagal melintasi titian sirat nescaya diriku lebih hina dan anjing ini lebih mulia daripada aku. Beliau pulang ke rumahnya ditanya oleh ayahnya "Kamu sudah jumpa orang yang jahil dari kamu..?" kata pemuda itu "Tidak, aku tidak jumpa seorang pun yang lebih jahil daripada aku melainkan aku merasa diriku lebih jahil dari orang lain."

"Kata bapanya, "sesungguhnya kamu telah masuk kepada pintu tawadduk, keluarlah untuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat"

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

*

Tempoh Haid

*

Imam al-Ramli menjelaskan, menurut ulama bermazhab Syafi'i tempoh minima haid seorang wanita ialah sehari semalam dan maksima 15 hari. Darah yang keluar melebihi 15 hari dikira darah istihadah (darah penyakit). (al-Ramli, Nihayat al-muhtaj, jil. 1, hlm. 325)

*

Bacaan Al - Fatihah Bersanad

*
Mari menghayati dan ikut pergerakkan mulut Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih dalam bacaan Al-fatihah dgn betul. Syeikh ni merupkan manusia yang memegang sanad tertinggi dan telah diiktiraf oleh para ulama', beliau mempunyai bacaan yang paling tepat bacaannya di dunia ini. Sanadnya bersambung/bercantum dengan Rasulullah.

.


 Alhamdulillah. 

 *

Qaza' Dilarang Dalam Islam.

*

Mencukur sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain namanya Qaza'. Ia dilarang dalam Islam. (Rujuk Hadith Sohih Al Bukhari & Muslim)

Jika mahu mencukur cukur semuanya atau tinggalkan semuanya. Imam An Nawawi menyatakan Ijmak Ulama adalah dilarang, makruh karahah tanzihiyyah, melakukan Qaza' ini.

Jika tujuan melakukan style Qaza' ini mengikut gaya Yahudi maka ia haram yang jelas.

*

Tujuan ziarah maqam aulia

*

Seorang bertanya kepada al-Habib Umar bin Hafidz, dia menanyakan : Kenapa ziarah maqam Aulia..??!!! Sedangkan mereka tiada memberi kuasa atau manfaat apa-apa dan tempat meminta hanya pada Allah…??!”

Al-Habib Umar bin Hafidz lantas menjawab : “Benar wahai saudaraku, aku juga berpendapat sama denganmu, bahwa mereka tiada mempunyai kekuasaan dan manfaat apa-apa. Tetapi sedikit perbezaan ku dengan dirimu, kerana aku lebih senang menziarahi mereka kerana bagiku mereka tetap hidup dalam membangkitkan jiwa yang mati ini untuk cinta kepada Allah...!!!

Tapi aku sangat heran, kenapa engkau tiada melarang aku menziarahi ahli dunia, mereka juga tiada kuasa dan manfaat apa-apa. Bahkan duduk dgn mereka mematikan hati dan membuat lupa pada Allah. Yang mana kehidupan mereka bagiku seperti mayat yang berjalan. Rumah dan tempat tinggal mereka adalah tempat yang tiada membangkitkan jiwa untuk cinta pada Allah.

Hakekat kematian dan kehidupan di sisi Allah adalah jiwa. Banyak mereka yang dilihat hidup tapi sebenarnya mati, banyak mereka yang dilihat mati tapi sebenarnya hidup, banyak yang menziarahi pusara terdiri dari orang yang mati, sedangkan dalam pusara itulah orang yang hidup.Aku lebih senang menziarahi maqam kekasih Allah dan para syuhada' walaupun hanya pusara, tetapi ia mengingatkan aku akan kematian, kerana ia mengingatkan aku bahwa hidup adalah perjuangan, kerana aku dapat melihat jiwa mereka ada perjuangan cinta yang hebat sehingga mereka dicintai oleh Tuhannya lantaran kebenaran cinta mereka. Wahai saudaraku, ku ziarah maqam Aulia, kerana pada maqam mereka ada cinta, lantaran Cinta Allah pada mereka, seluruh tempat bersimpuh mereka dicintai Allah. Cinta tiada mengalami kematian, ia tetap hidup dan terus hidup dan akan melimpah kepada para pencintanya.

Aku berziarah kerana sebuah cinta, juga kerana ingin mengambil semangat mereka, agar aku dapat mengikuti mereka dalam mujahadahku. Aku mengangkat tangan di sisi maqam mereka, bukan meminta kuasa/manfaat dari mereka, akan tapi memohon kepada Allah agar aku juga dicintai Allah, sebagaimana mereka dicintai Allah.


*

Semut Bertasbih

*


Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda:

قرصت نملةٌ نبيًّا من الأنبياءِ ، فأمر بقريةِ النملِ فأُحْرِقت، فأوحى اللهُ إليه: أن قرصتك نملةٌ أحْرَقتَ أُمةً من الأُممِ تُسَبِّحُ؟

"Seekor semut menggigit seorang Nabi. Lalu, Nabi tersebut memerintahkan supaya perkampungan semut itu dibakar. Lalu Allah Ta'ala mewahyukan kepada Nabi tersebut: Hanya seekor semut yang menggigitmu, (kenapa) engkau membakar SATU UMAT daripada pelbagai UMAT YANG BERTASBIH? " [Shahih Bukhari (3309), Shahih Muslim (2241)]

*

Nasihat atau Menghina ?

*

"Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, dia sebenarnya sedang menghinamu" (Imam As-Syafie)

Ibnul Mubarok berkata: "Dahulu seseorang (para sahabat) apabila melihat pada saudaranya terdapat hal yang tidak dia sukai dia menasihatinya atau melarangnya dengan sembunyi, sehingga dia diberi pahala atas rahsia dan larangannya. Ada pun hari ini, apabila seseorang melihat apa yang dia tidak sukai, dia membuat marah saudaranya dan dia sebarkan aibnya." (Roudhotul Uqola' hlm. 197)

*

Subhanallah Walhamdulillah Walailaha illallah Wallahu Akbar

*

"Lazimkan membaca subha nallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar, kerana semua itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana gugurnya daun dari pohon". (HR Ibnu Majah)

Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Saya bertemu dengan Nabi Ibrahim عليه السلام – ketika malam saya diisra’kan dan Baginda bersabda: Wahai Muhammad, sampaikanlah salam dari padaku kepada umatmu, dan beritahukanlah kepada mereka, bahawasanya syurga itu subur tanahnya, manis airnya, terhampar luas dan tanamannya adalah ucapan zikir, سُبْحَانَ اللهِ ، وَالْحَمْدُ ِللهِ ، وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ ، وَاللهُ أَكْبَرُ (Subhanallahi walhamdulillah walaa ilaaha illallahu wallahu akbar). (HR At Tirmidzi)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bertemu dengannya. Dia sedang menanam tanaman, lalu Rasulullah bertanya, "Apa yang sedang engkau tanam ?" Aku menjawab, "Satu tanaman wahai Rasulullah". Rasulullah bersabda, "Mahukah aku beritahu tanaman yang lebih baik dari ini ?" Tanaman itu ialah Subhanallah, Walhamdulillah, Walailaha illallah, Wallahu Akbar (Maha suci Allah, segala puji bagi-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar). Setiap satu bacaan akan ditanam untukmu sebatang pokok di Syurga. (HR At Tirmidzi)

*

Selamat Tahun Baru Hijriyah

*

Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar Islam. Bila tiba bulan Muharram maka tibalah tahun baru. 

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan-bulan Haram.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras di dalam bulan Haram. Amal kebaikan yang dilakukan dalam bulan Haram akan dibalas dengan balasan yang lebih besar.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Menurut Imam al-Razi RH: Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar. (al-Razi, jil.16, ms. 53).


Selamat menyambut tahun baru.  Moga Allah memberkati kita.




Link pilihan:

Doa Awal Tahun

Kelebihan Bulan Muharram

Maksud Maal Hijrah




*

Hukum Pegang Anjing

*

Mengikut pandangan Mazhab Shafie, hukum pegang atau menyentuh anjing tanpa sebab yang memerlukan adalah HARAM.

Hukum memelihara anjing mengikut pandangan Mazhab Shafie adalah seperti berikut :

a) Diharuskan memelihara anjing untuk tujuan berburu dan menjaga haiwan ternak ataupun menjaga ladang atau kebun.

b) Haram memelihara anjing untuk tujuan hobi (pet) atau dijadikan sebagai binatang hiasan di rumah.

Wallahu a'lam.

Sumber: 
http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/kedudukan_anjing_dan_hukum_berkaitannya.pdf





Link pilihan :



*

Kisah Keliru Dalam Mengambil Pelajaran

*

Syaqiiq al-Balkhi adalah kawan kepada Ibrahim bin Adham yang dikenali seorang ahli ibadah, zuhud dan tinggi tawakalnya kepada Allah. Hingga pernah sampai pada keadaan enggan untuk bekerja.

Musykil dengan keadaan temannya, Ibrahim bin Adham bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu jadi begini ?” Syaqiiq menjawab, “Ketika saya sedang dalam perjalanan di padang pasir yang tandus, saya melihat seekor burung yang patah kedua sayapnya. Lalu saya berkata dalam hati, aku ingin tahu, dari mana burung itu mendapatkan rezeki. Maka aku pun memperhatikannya dari jarak yang dekat. Tiba-tiba datanglah seekor burung yang membawa makanan di paruhnya. Burung itu mendekatkan makanan ke paruh burung yang patah kedua sayapnya untuk menyuapnya. Maka saya berkata dalam hati, “Dzat yang mengilhamkan burung sehat untuk membawa rezeki kepada burung yang patah kedua sayapnya di tempat yang sepi ini pastilah berkuasa untuk memberiku rezeki di mana jua aku berada.” Maka sejak itu, aku putuskan untuk berhenti bekerja dan aku menyibukkan diriku dengan ibadah kepada Allah.

Ibrahim berkata, “Wahai Syaqiiq, mengapa kamu serupakan dirimu dengan burung yang cacat itu ? Mengapa kamu tidak berusaha menjadi burung sehat yang memberi makan burung yang sakit itu ? Bukankah itu lebih utama ? Bukankah Nabi shallallahu alaihi wa sallam pernah bersabda, “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah ?” Sudah selayaknya bagi seorang mukmin memilih darjat yang paling tinggi dalam segala urusannya, sehingga dia boleh mencapai darjat orang yang berbakti ?"

Syaqiiq tersentak dengan pernyataan Ibrahim dan dia menyedari kekeliruannya dalam mengambil pelajaran.

(Tarikh Dimasyqi, Ibnu Asakir)

*

5 Hari Haram Puasa

*

Di dalam mazhab Syafi’i, hari-hari yang diharamkan berpuasa ada lima hari iaitu hari Aidil Fitri (1 Syawal), hari Aidill Adha (10 Zulhijjah) dan tiga hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah). (Matan Al Ghoyah wat Taqrib)

Dari Abu `Ubayd, katanya: Aku telah hadir merayakan hari raya bersama-sama dengan Saiyidina `Umar bin al-Khattab, lalu dia berkata, "Hari raya ini dan hari raya yang satu lagi, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidil fitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidil adha untuk kamu makan dari daging korban kamu". (HR. Bukhari)

".. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang berpuasa pada dua hari, iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidil Adha." (HR. Muslim)

Dari Sa'ad bin Abi Waqas r.a., katanya: "Aku telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam supaya menyeru semasa di Mina bahawa masa yang tersebut ialah khusus (untuk kamu) menikmati makan minum (dengan gembira) dan tidak di tuntut berpuasa padanya, yakni hari-hari tasyriq yang termaklum." (HR. Imam Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutuskan Abdullah bin Huzafah menyeru di merata-rata tempat, di Mina, katanya: "Janganlah kamu berpuasa pada (ketiga-tiga) hari tasyriq ini kerana ditentukan untuk kamu menikmati makan minum dan untuk kamu mengingati Allah Azza wa Jalla".


Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Kenapa isteri perlu izin suami untuk puasa sunat ? 

Hukum berpuasa selepas Nisfu Sya'ban




*



Haji Akbar

*

Disebutkan dalam Tuhfatul Ahwazi Syarh Jami’ At-Tirmizi: “Telah masyhur di kalangan masyarakat awam, bahawa hari Arafah, apabila bertepatan dengan hari Jumaat maka hajinya adalah Haji Akbar. Dan ini adalah pendapat yang tidak ada asasnya.” [Tuhfatul Ahwazi Syarh Turmuzi, 4:27].

Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah: “Adapun apa yang disebut oleh Raziin dalam kitab Jami’ dan dimarfu’kan (kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) hadis: (Sebaik-baik hari yang naik matahari padanya ialah hari Arafah, jika bertepatan dengan hari Jumaat maka lebih afdhal daripada tujuh puluh kali haji yang berwuquf pada hari lain.) Hadis ini aku tidak tahu kedudukannya, kerana tidak disebut siapakah sahabat yang meriwayatkannya, tidak disebut pula kitab yang mengeluarkannya..’ [Fath al-Bari 8/271]

Al-Shakhawi mengatakan: Walaupun hadis di atas tidak dapat dipertanggungjawabkan keshahihannya, al-Shakhawi menjelaskan bahwa kemungkinan terdapat kelebihan atau keistimewaan wuquf di Arafah yang bertepatan dengan Hari Jumaat kerana kelebihan boleh terjadi kerana kelebihan sesuatu tempat dan kelebihan beberapa hari atau waktu". [al-Maqashid al-Hasanah, Hal. 1127]
 
Wallahu a'lam.








*

Kelebihan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah

*



Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, "Tidak ada hari yang lebih baik di sisi Allah untuk lakukan amalan kebaikan selain sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah". Para sahabat bertanya, adakah jihad fisabilillah tidak boleh menandingi amalan yang dilakukan pada sepuluh hari tersebut ?” Nabi bersabda, "Jihad pun tidak boleh menandingi melainkan dia keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak pulang dengan keduanya”. (HR. Bukhari)

"Tidak ada hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk beribadah kepadaNya melebihi sepuluh hari bulan Zulhijjah. Berpuasa pada setiap hari daripadanya menyamai ganjaran berpuasa setahun, dan beribadah pada setiap malam daripadanya menyamai ganjaran beribadah pada Lailatul Qadr." (HR. Imam at-Tirmidzi)

"Tidak ada suatu hari yang lebih agung di sisi Allah dan tidak pula ada amalan-amalan yang lebih dicintai ALLAH selain amal yang dikerjakan pada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, maka perbanyakanlah padanya tahlil (La ilaha illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)". (HR. Imam Ahmad)

Wallahu a'lam.





Link pilihan :

Kelebihan Bulan-bulan Haram

Kelebihan Hari Arafah (9 Zulhijjah)

Kelebihan Ibadah Korban


Popular Posts