"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Istighfar Selepas Solat

*

Dari Tsauban, "Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam selesai solat, baginda beristighfar tiga kali." (HR Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmidz, Nasa’i). Al-Walid radhiallahu’anh berkata, aku bertanya kepada al-Auza’i: Bagaimana lafaz istighfar baginda ? Dia menjawab: اَسْتَغْفِرُالله، اَسْتَغْفِرُالله، اَسْتَغْفِرُاللهَ. "Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah." (HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Daud)

Tetapi amalan istighfar selepas solat yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia adalah dengan lafaz  أستغفرالله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه. 

Ada pendapat ulama mengatakan tidak boleh melakukannya begini atas alasan tidak bersamaan dengan amalan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tetapi ada juga pendapat ulama lain mengatakan istighfar begini tidaklah menjadi kesalahan. 

Di dalam hadith sohih ada meriwayatkan tentang tindakan yang dilakukan oleh seorang sahabat radiyaLlahu 'anhu bernama Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLLahu 'anhu yang telah MENOKOK TAMBAH lafaz zikir ketika bangkit daripada ruku'. Cerita ini telah disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLLahu 'anhu, katanya (yang bermaksud) :
Daripada Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLlahu 'anhu, katanya : Suatu hari kami telah solat bersama-sama Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Ketika mengangkat kepala dari RUKU', baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam lantas menyebut : سمع الله لمن حمده .. Tiba-tiba seorang lelaki di belakangnya (ketika bangkit daripada ruku') menyebut : ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا طيبا مبارك فيه . (setelah selesai solat), RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam lalu berpaling ke belakang sambil bertanya : "Siapakah di antara kamu yang menyebutkan perkataan tadi ketika solat ? " Jawab lelaki tersebut : "Saya". RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam lantas bersabda : "Aku telah melihat lebih daripada tiga puluh orang para malaikat berebut-rebut untuk menjadi orang yang paling awal menulis ucapan tadi.
(Sahih Bukhari Hadis nombor 799, Jilid 2/331-332. Sunan Abi Daud. Hadis no : 770, Jilid 1/204. Sunan an Nasa'i, Jilid 2/196. Al Muwattha', Jilid 1/211-212. Musnad Imam Ahmad, Jilid 4/340. )

Hadith seperti ini telah diriwayatkan juga oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik RadiyaLlahu 'anhu katanya (yang bermaksud) :
Daripada Anas RadiyaLlahu 'anhu, katanya : "Sesungguhnya ada seorang lelaki datang. Lalu dia pun memasuki saf dalam keadaan sesak nafas. Maka (tiba-tiba selepas bangkit dari ruku') dia telah menyebutkan :
الحمد لله حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه
Selepas selesai menunaikan solat, Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam lantas bertanya :"Siapakah di antara kamu yang menuturkan beberapa kalimat tertentu di dalam solat tadi ? Semua sahabat senyap tidak menjawab. Lantas RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam mengulangi soalan tadi :"Siapakah di antara kamu yang menuturkan beberapa kalimah tertentu di dalam solat tadi ? Sesungguhnya ucapannya itu, tidak mengandungi mudharat ! Tiba-tiba ada seorang lelaki menjawab : "Tadi ketika sampai, saya telah sesak nafas, lalu saya pun menyebutkan kalimah-kalimah tersebut (secara spontan). Rasulullah pun menjelaskan dengan bersabda : "Sesungguhnya aku telah melihat dua belas orang malaikat berebut-rebut (untuk menjadi orang yang paling awal) mencatatkannya dan (seterusnya) mengangkatnya ke langit.  (Sohih Muslim, Jilid 1/419)
AlHafiz Imam Ibnu Hajar al asqolany (Fathul Bari - Jilid 3/188) ketika mengulas hadith di atas membuat kesimpulan bahawa : HARUS mencipta atau menokok tambah lafaz-lafaz zikir yang tidak pernah diriwayatkan di dalam hadith-hadith sahih, dengan syarat ianya tidak bercanggah dengan lafaz-lafaz zikir yang diriwayatkan.

Sumber rujukan :  Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al Hafiz, Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadith Dan Ulama'Muktabar, Cetakan Pertama 2008, D'nonce Sdn Bhd, Kelantan.



Wallahu a'lam.






Artikel pilihan:

Penghulu Istighfar


*

Popular Posts