Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Kepentingan khusyuk dalam solat

*
IMAM AL-GHAZALI menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap.

Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud: "Tuhan yang memiliki hari Akhirat." Maka tergambar segala kalut sibuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Masyhar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah Al-Fatihah yang bermaksud : "Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon." Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah SWT semata-mata.

Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk, yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui sembahyang itu.

Firman Allah yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah al-Ma'un : ayat 4-5]


Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang dia ingat."

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT. Malah solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang kosong, maka selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia berada dalam keadaan khusyuk, iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan mereka dalam sembahyang itu, atau sebanyak mana pula yang lalai. Kalau banyak masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk menunggu akhirat bagi melihat pahala solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.

Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain. Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang tinggi pekertinya, senantiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.

Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan zakat.

Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana ia terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang ringgit habis.

Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.

Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah SWT bukan saja melalui ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabila hati lalai ia akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Allah, meskipun Allah SWT menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang.

Firman Allah Taala yang berbunyi: "Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati." [Surah Ar-Ra'adu : ayat 28]


Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Wallahu ta'ala a'lam. Wassalamu.

Penulis : Al-Falir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri



Link pilihan:

Hukum khusyuk dalam solat

Kisah khusyuk dalam solat




*

Rezeki ditangan Tuhan

*
MANUSIA sering bimbang mengenai rezekinya -- apakah ada atau tidak cukup? Tetapi apakah itu rezeki?

Adakah harta atau wang ringgit itu rezeki?
Menurut Islam, Allah swt berkehendakkan kita supaya bercakap benar dan jangan melakukan yang batil. Buatlah apa yang diredai Allah dan ketahuilah bahawa rezeki kita berada di tangan-Nya. Tidak seorang pun yang boleh mengambil atau menyekat rezeki kita.

Allah telah menerangkan kepada kita bahawa Ia mengurniakan Qarun dengan harta yang banyak. Namun Qarun tidak pernah puas kerana angkuh.

"Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.' Dan apakah ia tidak mengetahui bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? (Surah Al-Qasas: 78)

Sesungguhnya rezeki itu tidak berperanan pada harta, darjat, keturunan atau pangkat saja, malah ia memainkan peranan mendapatkan keredaan Allah dari segi percakapan dan amalan. Di sinilah kita dapat memahami maksud firman Allah yang berikut, yang
bermaksud: Dan jadilah orang-orang (yang sebelumnya) itu mencita-citakan kedudukan Qarun itu berkata: Aduhai, benarlah Allah telah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya. Kalau Allah tidak melimpahkan
kurnia-Nya atas kita, benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai, benarlah! Tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (ni'mat Allah). (Surah Al-Qasas: 82)

Allah telah mengurniakan orang-orang yang bermaksiat terhadap-Nya dengan harta yang banyak atau darjat keduniaan yang tinggi.

KEMURKAAN

Jika ditinjau dari segi zahirnya, ini adalah satu kebaikan bagi mereka. Namun yang sebenarnya adalah khilaf. Harta dan pangkat ada kalanya tidak mendatangkan kebaikan.

Allah berfirman yang bermaksud:

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (dari sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki dari sumber-sumber yang
tidak diduga. (Surah At-Talaaq: 2 & 3)

Bertakwa kepada Allah dan mengetahui akan sebab-sebab rahmat-Nya adalah rezeki yang sebenarnya. Oleh yang demikian, Rasulullah saw tidak mengibaratkan kerana banyak harta itu adalah kaya, akan tetapi kesucian itu adalah diiktibarkan kaya yang sebenarnya. Baginda pernah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

Bukanlah kekayaan itu oleh sebab banyak harta yang dipamerkan akan tetapikekayaan itu adalah kekayaan jiwa.

Bukanlah ni'mat Allah yang zahir yang dilimpahkan kepada manusia dengan harta yang banyak dan sebagainya menunjukkan kebaikan dan keredaan Allah. Bukanlah dugaan Allah ke atas hamba-Nya satu dalil yang menunjukkan kemurkaan Allah. Perkara ini adalah
sebaliknya.

Boleh jadi sesiapa yang telah dilimpahkan oleh Allah dengan pelbagai ni'mat itu mungkin dianggap sebagai satu "pujukan atau umpanan yang berperingkat' dan berkemungkinan pula sesiapa yang diduga oleh Allah adalah sebagai satu kelebihan di sisi-Nya. Allah berfirman yang bermaksud:

Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami segera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar. (Surah Al-Mukminuun: 54 & 56)

Rasulullah pula ada menegaskan dalam sebuah hadis yang maksudnya:

Apabila kamu melihat seseorang itu dikurniakan atasnya rezeki dan masih bermaksiat kepada Allah, maka ketahuilah kamu bahawa ini sesungguhnya adalah satu pujukan atau umpan.

Oleh yang demikian, janganlah kamu sangka bahawa sedikit harta itu adalah jauh daripada rezeki Allah.

DOSA-DOSA

Berkemungkinan bahawa orang-orang yang diberi ni'mat rezeki itu adalah sebagai ni'mat yang negatif seperti menjauhkan daripada penyakit dan dosa-dosa sehingga
dia meninggalkan dunia ini dengan penuh kesucian dan beroleh kemenangan dengan syurga yang abadi.

Rezeki di sisi Allah dikurniakan untuk semua makhluk sama ada dari golongan manusia, jin, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Allah mengurniakan rezekinya pada had yang tertentu seperti firmannya yang bermaksud:

Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu. (Surah Az-Zaariyaat: 22)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

Dan tidak ada satu binatang yang melata (segenap makhluk Allah yang bernyawa) pun di bumi melainkan Allahlah yang memberikan rezekinya dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. (Surah Huud: 6)

Tidak ada makhluk di muka bumi ini yang berupaya menambah atau mengurangkan, mempercepatkan atau melewatkan rezeki seseorang. Rasulullah saw telah bersabda dan menekankan hal ini dalam hadisnya yang bermaksud:

Ketahuilah! Jika sesuatu umat itu dikumpulkan untuk memberi manfaat kepada kamu, nescaya tidak akan terlaksana melainkan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagi kamu dan jika mereka memudaratkan kamu, tidak juga akan terlaksana melainkan apa yang
telah dicatat oleh Allah. Diangkat 'Kalam-kalam' dan dibentangkan 'Buku-buku'.

Maksud 'kalam' di sini ialah "kuasa mentakdirkan rezeki dan ajal", manakala 'buku' pula adalah segala apa yang telah termaktub sejak dari azali sebelum Allah menjadikan langit dan bumi seperti yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Rasulullah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah menetapkan kuasa ketakdiran-Nya sebelum dijadikan langit dan bumi dalam lima puluh ribu tahun.

Di sini ternyata kepada kita bahawa seorang Mukmin yang sempurna imannya tidak khuatir pada rezekinya kerana yang mengurniakannya adalah Allah swt.

IMAN DAN TAKWA

Iman dan takwalah yang dapat memainkan peranan bagi memahami ujian Allah bahawa kekayaan dan kemiskinan itu terletak di tangan Allah sebagaimana yang difirmankan-Nya:

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: "Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: "Tuhanku menghinaku". (Surah Al-Fajr: 15 & 16)

Berjuta-juta manusia mati kelaparan disebabkan kemarau yang berpanjangan. Ajal mereka telah sampai sebagaimana yang ditetapkan Allah swt sejak dari azali lagi. Dengan kembalinya seseorang itu maka terhenti dan terputuslah rezekinya. Dengan kembalinya seseorang itu ke hadrat Ilahi, maka terhenti dan terputuslah rezkinya. Al-Quran ada menerangkan yang bermaksud:

Maka apabila telah datang ajalnya, mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) memajukannya. (Surah Al-Araaf: 34)

KESESATAN

Rasulullah telah menerangkan dengan jelas dalam wasiatnya kepada Ibnu Abbas yang bermaksud:

Jagalah Allah semoga Allah akan menjaga kamu; jagalah Allah semoga kamu mendapati-Nya berhadapan dengan kamu; jika kamu mohon pertolongan, maka mohonlah kepada Allah.

Inilah wasiat yang tidak syak lagi bahawa Allah sajalah yang memberi manfaat dan memudaratkan; merendah dan meninggikan; memulia dan mengeji; menghidup dan mematikan. Tidak ada suatu makhluk sama ada individu atau kumpulan masyarakat yang dapat memberi kesan pada manusia melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah, bermaksud:

Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Anaam: 17)

Kesimpulannya, apa yang boleh mendatangkan manfaat bagi seseorang, itulah rezekinya yang sebenar. Selain daripada itu, apa yang diperolehinya itu boleh membinasakan dan menyesatkannya.

Oleh MOHD YUSOP HASSIM

Jangan mengutuk sesama Islam

*

TENTANG MENGUTUK ORANG MUSLIM

(Dipetik dari Al-Kabair karya Syamsuddin Adz-Dzahabi, terjemahan M. Ladzi Safrony, BA ke dalam buku 75 Dosa Besar terbitan Media Idaman, Surabaya)

Yang dimaksudkan dengan mengutuk ialah mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas'ud: "Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir."

Rasulullah SAW. bersabda: "Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya." [HR Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak]

Nabi SAW. bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak berjaya ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya." [ HR Abu Daud]

Rasulullah SAW. bersabda:(artinya) " Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat." [ HR Muslim dan Abu Daud]

Rasulullah SAW. bersabda: (artinya) " Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)" [HR Muslim dari Abu Hurairah]

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW. bersabda: (artinya) " Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjuluki, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji."

Dari hadis hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk orang mukmin itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak ALLAH SWT sahaja, dalam menghukum setiap hambanya. Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya ALLAH SWT. mencabut semua ni'mat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik ni'mat zahir mau pun ni'mat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh ni'mat dan anugerahNya. Oleh kerana itu Rasulullah SAW. melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat ni'mat dan kurnia dari ALLAH SWT.

*

Syurga

*

Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalan kitab-kitab Taurat dan Injil, serta Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menyempurnakan janjinya kepada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa yang jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Mereka itu ialah) : orang-orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas [ Surah at-Taubat : 111-112 ]

Firman Allah s.w.t : "Mereka (ahli-ahli syurga) dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya) yang sentiasa beredar di sekitar mereka dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungai yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab meni'matinya. Dan (juga dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini, dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, serta mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang telah mereka kerjakan." [ Surah Waaqiah : 17-24]

"Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu berada di dalam keadaan sibuk leka meni'mati kesenangan. Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berteleku di atas pelamin." [Surah Yaasin : 55-56]


Firman Allah s.w.t : "Dan malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu. (Mereka hormat dengan berkata ) : Selamat sejahteralah kamu berpanjangan disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu." [Surah ar-Ra'd : 23-24]

"Aku (Allah) telah sediakan untuk seluruh hamba-Ku yang salih (suatu balasan syurga) yang belum pernah dilihat oleh mata, dan belum pernah didengar oleh telinga, dan belum pernah terlintas dalam hati seorang manusia. Bacalah firman Allah jika kamu mahu : Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan unutk mereka (daripada segala jenis ni'mat) yang indah dipandang dan menggembirakan."


Wallahu 'alam




Link pilihan:

Neraka

Bidadari Syurga





*

Popular Posts