"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Bawah Dagu Wanita Aurat ?

*

Perkara ini telah menjadi khilaf (berbeza pendapat) di kalangan ulama.

Para ulama bersepakat bahawa aurat seorang perempuan adalah keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Para ulama juga bersepakat bahawa aurat perempuan ketika berada di luar adalah sama seperti ketika berada di dalam solat.

Khilaf (berbeza pendapat) di kalangan ulama adalah pada mendefinisikan maksud muka.

Terdapat 2 ijtihad (pendapat) pada mendefinisikan maksud muka :

1. Bawah dagu termasuk dari bahagian muka – maka bawah dagu dikatakan bukan aurat.

2. Bawah dagu TIDAK termasuk dari bahagian muka - maka bawah dagu dikira aurat.

Apabila telah berlaku khilaf di kalangan ulama, maka kedua-dua pendapat dikira betul dan boleh diterima pakai.

Kita tidak boleh mengatakan perempuan yang tidak menutup bawah dagu sebagai tidak menutup aurat dengan sempurna.

Wanita tidak tutup di bahagian bawah dagu, sah solatnya kerana ada pendapat yang mengatakan ianya masih menepati kaedah menutup aurat.


Berikut beberapa ulama yang berpendapat, bawah dagu termasuk dari bahagian muka :

Imam As Syafie rahimahullah dalam kitab al-Umm, mengatakan bahawa dagu adalah sebahagian daripada muka. (Sebab itu bawah dagu perlu dibasuh ketika membasuh muka ketika berwuduk).

Di dalam kitab Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar al Asqalani mengatakan, dimaksudkan dengan sempadan kawasan muka adalah sampai ke bawah dagu itu. Maka dagu juga dikatakan sebahagian kawasan muka. Oleh itu kain tudung berada di bawah dagu masih dibolehkan. (Fathul Bari: 11/ 312).

Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili mendefinisikan daerah muka, panjangnya gigi rambut (anak rambut) biasa hingga ke bahagian akhir dagu. Dengan kata lainnya antara permulaan dahi sehingga ke bahagian bawah dagu. Hal dagu pula ialah tempat tumbuhnya rambut yang terletak di atas tulang rahang sebelah bawah. Dua tulang rahang ialah dua tulang yang menjadi tempat tumbuhnya gigi bawah seseorang. Lebarnya di antara 2 anak telinga.

Wallahu a’lam.



Link pilihan:

Cara Menutup Aurat Yang Sempurna

Video - Kenapa Perlu Tutup Aurat


*

Siapakan Golongan Salaf ?

*

Salaf ialah nama “zaman” iaitu merujuk kepada golongan ulama yang hidup antara kurun zaman kerasulan Nabi Muhammad hingga tahun 300 HIJRAH. (Tahun 0H - 300H).

1) Golongan generasi pertama dari 300 tahun hijrah di sebut “Sahabat” kerana mereka pernah bertemu Nabi.

2) Golongan generasi kedua pula disebut “Tabi’in” iaitu golongan yang pernah bertemu Sahabat tapi tak pernah bertemu Nabi.

3) Golongan generasi ketiga disebut sebagai “Tabi’ tabi’in” iaitu golongan yang tidak pernah bertemu Nabi dan sahabat tapi bertemu dengan tabi’in.

Jadi Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi) merupakan murid Sahabat Nabi maka beliau seorang TABI’IN.

Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hanbali, Imam Asy’ari pula berguru dengan tabi’in maka mereka adalah golongan TABI’ TABI’IN.

Jadi kesemua Imam-Imam yang mulia ini merupakan golongan SALAF YANG SEBENARNYA dan pengikut mazhab mereka layak digelar sebagai “Salafi” kerana “salafi” bermaksud “pengikut golongan SALAF”.

Alhamdulillah kita yang masih berpegang kepada mazhab Syafie yang merupakan mazhab atau manhaj SALAF.

Wallahu A'lam.

*

Link pilihan:

Manhaj SALAF Yang Sebenar


IMAM Syafi`e Menghukum KAFIR Orang Yang Mengatakan Allah duduk Atas Arasy

Panduan Mencari Kebenaran



*

Tetamu Allah

*


Mereka yang dijemputNya hadir ke Makkah dan Madinah adalah duyuf atau tetamu Allah dan RasulNya. 

Maka berakhlaklah kita ketika di dua tanah haram ini terutama sesama tetamu Allah dan RasulNya. 

Janganlah disakiti mereka. Bertolak-ansurlah ...berlapang dadalah ... bersabarlah ...... saling hormat-menghormatilah ...

Andaikata kita memenuhi suatu undangan seseorang ... apatah lagi seorang raja ...maka biadab lah kita sekiranya kita menyakiti, memarahi, mengasari orang lain yang juga merupakan tetamu raja tersebut .... demikianlah perumpamaannya agar mudah difahami ...

Disini kita ditarbiyah secara langsung ... beruntunglah mereka yang LULUS.



Sumber: https://www.facebook.com/abuzahrah65/posts/10208975457568789

*

SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG: HUKUM DAN CARANYA

*

BAYAN LINNAS SIRI KE-53: SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG: HUKUM DAN CARANYA

Ditulis oleh Umar Mukhtar bin Mohd Noor pada 09 Mac 2016. diterbitkan di dalam Bayan Linnas


MUKADIMAH

Kapal terbang merupakan alat pengangkutan udara moden yang tidak dibincangkan berkenaan hukum-hakam berkaitannya oleh para fuqaha terdahulu. Akan tetapi, ia tetap tidak terkeluar dari sifatnya yang merupakan sebuah alat pengangkutan yang mana telah terdapatnya perbincangan mengenai hukum-hakam berkaitannya yang telah disebut oleh para fuqaha seperti hukum solat di atas unta, sampan atau kapal, dan sebagainya. Dalam edisi kali ini, kami di Bayan Linnas akan cuba memberikan penjelasan berkenaan suatu isu iaitu solat di atas kapal terbang serta hukum-hakam yang berkaitan.

Dalam menghuraikan isu ini dengan lebih lanjut, kami akan membahagikannya kepada beberapa isi penting.

PERTAMA: MASA PERLEPASAN

Di antara perkara yang diambil kira dalam isu ini ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.

Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.

Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.

KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT

Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.

KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT

Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام

Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.

Surah al-Baqarah (144)

Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).

Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.

KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK

Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.

KELIMA: TAYAMMUM

Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:

فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا

Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih. Surah al-Maidah (6)

Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)

KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG

Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:

1- Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.

2- Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
•Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
•Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.

(Surah al-Taghabun: 16)
•Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
•Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.

KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU

Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.

Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.

Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.

Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.

Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.


Pendapat ulama:

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.

Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).

Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.

Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”



KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT

Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali. (Riwayat Ibnu Hibban)

Menebus dosa

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut. (Riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.

Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya."  (Riwayat Imam Ahmad)



KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Kami sarankan kepada ketua rombongan atau amir jemaah musafir untuk sentiasa mengingatkan kepada jemaah dan ahli rombongan supaya melaksanakan solat. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T:

وَأمُر أَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan perintahkanlah ahli kamu untuk menunaikan solat dan bersabarlah ke atasnya. Surah Taha (132)

Kata al-Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini: Iaitu perintahkanlah kaum kamu. Rujuk Tafsir al-Baghawi (5/304).

Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberikan keterangan yang berguna untuk kita sama-sama menjadikan solat sebagai agenda pertama kita dalam kehidupan. Lihatlah selepas laungan ‘marilah menuju ke arah solat’ ketika azan. Sesudahnya ialah laungan ‘marilah menuju ke arah kejayaan’. Bagi orang yang menjaga solatnya, sudah tentulah kebahagian dan kejayaan menjadi miliknya di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka. Ameen.


Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

9 MAC 2016 BERSAMAAN 29 JAMADIL AWAL 1437 H.

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=682

*

Surah Yasin Hati Al-Quran

*

Daripada Anas RadiyaLlahu 'anhu: Sabda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam: "Sesungguhnya bagi tiap-tiap sesuatu itu ada jantung (hati), dan jantung (hati) al Quran ialah surah Yasin. Dan sesiapa yang membaca surah Yasin, akan dituliskan Allah baginya dengan membacanya pahala seumpama membaca al Quran sepuluh kali." (HR. at-Tirmizi dan ad-Darimi)

Menurut Imam at Tirmizi darjat hadith ini adalah hasan gharib. Ia telah diriwayatkan oleh lima orang sahabat radiyaLlahu anhum iaitu Abu Bakar as Siddiq, Anas r.a, Abu Hurairah r.a, Ubay bin Kaab r.a dan Ibn Abbas radiyallahu anhuma. Maka dari segi istilah ia bilangan yang cukup menjadi hadith mahsyur. (Rujuk Majalah Q & A Bil 3, m/s 76-77. Dijelaskan oleh Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan Hadith KUIS))

*

Solat Gerhana Matahari

*

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,”Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda di antara tanda-tanda kekuasaan Allah. Gerhana ini tidak terjadi kerana kematian seseorang atau lahirnya seseorang. Jika berlaku gerhana maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, kerjakanlah solat dan bersedekahlah.” (HR. Bukhari)


HUKUM SOLAT GERHANA
Sunat Muakkad ( مـؤكـدة )

CARA-CARA SOLAT
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dib aca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama :
Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua
rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua :
Disebut dengan “ الكمال أدنى ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan
dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu
rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap
qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua).

Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga :
Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiamyang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktunya
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Tempat Solat
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :
" الصـلة جامـعة "
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan

اصلى سنة خسوف القمر ركـعتين مـأمومـا لله
تعـالى
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.

(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari

اصلى سنة كسوف الشمس ركـعتين
مـأمومـا لله تعـالى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau
rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah
menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.

2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).

3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan ( سر), manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring ( جـهر).

Disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Perintis & Peneraju Falak Syari di Malaysia

Yang benar,

(Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer)
YANG DIPERTUA
Persatuan Falak Syar’i Malaysia

*

Allah Ada Tangan ?

*
Fahaman Wahhabi Salafi mengatakan Allah mempunyai tangan..



*
Ahli Sunnah Wal Jama'ah mengatakan : Maha Suci Allah daripada sama dengan makhluk sama ada bertangan, duduk, naik turun dan sebagainya daripada sifat makhluk.



*


Link pilihan:

Di mana salahnya aqidah fahaman Wahabi Salafi

Fahaman Wahabi mengatakan Allah di atas langit

Manhaj SALAF Yang Sebenar


*

Doa Hindar Hasad Dengki

*

Rob banaq fir lana wali ikhwa ni nal lazi na sabaku naa bil ii maa ni wala taj a'l fii quluu binaa gril la lil lazii na a'aa manuu robbana in naka ra uu fur rahim. 

*

Cara Sujud Syukur

*

Sujud Syukur adalah dianjurkan pada masa mendapatkan nikmat atau ketika terhindar dari musibah.

Syarat sujud syukur :

1. Suci dari hadas kecil dan hadas besar. (Berwuduk).
2. Pakaian dan tempat yang suci.
3. Menutup aurat,
4. Menghadap kiblat.


Cara Sujud Syukur :

1. Niat (di dalam hati): "Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala".
2. Takbir.
3. Sujud hanya satu kali.
4. Mengangkat kepala dari sujud dengan mengucapkan takbir.
5. Duduk tanpa membaca tahiyat (tasyahud) dan diakhiri dengan mengucapkan salam.


Wallahu a’lam


*

Zikir Yang Hebat

*

*

*
Subhaa nALLAHi wa biham dihi, 'a dada khol kihi, wa ridoo naf sihi, wazinata a'r shihi, wa midaa da kali maa tih.

*

Cara Kejut Anak Solat Subuh

*


Almarhum Allamah Sheikh Sayyid Muhammad Al-Maliki rah. bercerita:

Seorang wanita bertanya kepada mufti : "Bagaimana caranya untuk mengejutkan anak-anak saya yang sedang tidur terlalu nyenyak untuk solat Subuh?

Mufti menjawab: "Apa yang akan kamu lakukan jika rumah kamu terbakar dan pada ketika itu anak-anak kamu sedang tidur ?" .

Wanita itu berkata: "Saya akan mengejutkan mereka dari tidur".

Mufti menjawab: "Bagaimana jika mereka sedang tidur terlalu nyenyak?" .

Wanita itu kemudian menjawab: " Demi Allah! Saya akan mengejutkan mereka bangun, jika mereka tidak bangun saya akan mengheret mereka keluar dari rumah." .

Mufti kemudian menjawab: "Jika itu apa yang kamu akan lakukan untuk selamatkan mereka daripada api di dunia, lakukanlah perkara yang sama untuk selamatkan mereka dari api neraka di akhirat kelak".

*

Sheikh Muhammad Shobah

*

Assayyid Sheikh Muhammad Shobah Al Jailani Al Pakistani keturunan Sultanul Auliya' Syeikh Abdul Qadir Al Jailani.

Beliau dikatakan memiliki wajah mirip moyangnya Syeikh Abdul Qadir Al Jailani.

Beliau seorang ulama' sufi keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari generasi Saiyidina Hassan.

Berdasarkan kitab Syamail Muhammadiah, diriwayatkan kulit Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, putih kemerahan.

Bayangkanlah wajah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang disebut seperti cahaya bulan purnama menerangi alam.

Syaikh Muhammad Syobah membuatkan kita rindu ingin menatap wajah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Allah humma Solli Wa sollim 'ala Sayyidina Muhammad, Wa 'ala ali Sayyidina Muhammad.



Sumber: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1036377119755058&set=a.288386541220790.72011.100001483399899&type=3



*

Tarikh peristiwa Isra' Mi'raj

*


Para ulamak berselisih pendapat tentang tarikh sebenar berlakunya  peristiwa Isra' Mi'raj.

Dari kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),jilid. 7, ms. 203, Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat para ulama. 

Antara ringkasannya ialah:

1. Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa'd dan selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam al-Nawawi.

2. Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rejab tahun ke 12 kenabian.

3. Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu al-Rabie’ bin Saalim.

4. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn Abdul Bar.

5. Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.

6. Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Faaris.

7. Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah pendapat al-Suddiy.

8. Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar.

9. Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah. Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir.

10. Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’.

Wallahu A'lam.



Link pilihan:

Israk Mikraj Dan Kewajipan Solat

Pesanan Nabi Ibrahim A.S.


*

Popular Posts