"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Ucapan & Situasi

*


1 – Perkataan SUBHANALLAH

Ertinya ialah : ” MAHA SUCILAH ALLAH “

Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib . Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan . Tujuan kita mengucapkan “ SUBHANALLAH “ iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita : “ Wah ! hebatnya orang itu , tak cedera langsung . Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan kehendak Allah Ta’ala “ .

Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah. Contohnya kita ucapkan SUBHANALLAH apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala . Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata : “ Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu “ . 

Lihat penggunaan “ SUBHANALLAH “ ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini :

Ertinya : “ Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam ( Israk ) dari Masjid al-Haram ( di Mekkah al-Mukarramah ) ke Masjid al-Aqsa ( di Palestin ) yang telah Kami berkati sekitarnya , agar Kami menunjukkan kepadanya ( Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam) beberapa tanda kekuasaan Kami . Sesungguhnya Dia ( Allah ) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat “ . ~ Surah al-Israk , ayat 1 .

Peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat , namun sehebat-hebat peristiwa itu , lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu , Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat , Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya . Dan Maha Sucilah Allah drp segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia .

Ucapan “ SUBHANALLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TASBIH “ .


2 – Ucapan “ ALHAMDULILLAH “

Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah “ atau pun “ Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah “.

Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala ni'mat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita.

Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji , contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita , lalu kita pun menjawab : “ Alhamdulillah , saya berjaya “ ( Diucapkan ucapan “ Alhamdulillah “ agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita , ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak dikehendaki oleh Allah Ta’ala ).

Ucapan “ ALHAMDULILLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TAHMID “.


3 – Ucapan “ ALLAHU AKBAR “

Ertinya : “ Allah Maha Besar “ .

Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi :

1 – Apabila berada di tempat yang tinggi .
2 – Apabila berada di dalam ketakutan .
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala .
4 – Sebagai “ pembakar semangat “ para pejuang Islam .
5 – Ketika azan , takbiratul ihram dan takbir hari raya .

Ucapan ini dikenali juga sebagai “ TAKBIR “ .


4 – Ucapan “ LA ILAHA ILLALLAH “

Ertinya : “ Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah“.

Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan .

Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam . Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih ( seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.

Ia dikenali juga dengan gelaran “ TAHLIL “ .


5 – Ucapan “ BISMILLAH “

Ertinya : “ Dengan Nama Allah “

Ucapan ini dikenali sebagai “ BASMALAH “

Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya .

Ertinya di sini ialah : “ Bismillah “ digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja . Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad : “ Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya “ .

Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang , maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala . 

Contohnya :

A – Membaca “ Bismillah “ untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar , untuk “membuka gelanggang silat “ , untuk “ menyemah “ rumah, untuk “ menjamu “ penunggu dan jin dan sebagainya .

B – Membaca “ Bismillah “ untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita .

C – Membaca “ Bismillah “ untuk “ tikam “ nombor ekor , toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian .

D – Membaca “ Bismillah “ ( supaya selamat konon-kononnya ) untuk mengintai orang mandi .

E – Membaca “ Bismillah “ untuk makan dan minum apa-apa yang haram .

F – Membaca “ Bismillah “ kuat-kuat ( agar didengar oleh orang ramai ) ketika membuka warong demi melariskan jualan .


6 – Ucapan “ MA SYAALLAH “

Ertinya : “ Apa yang Allah Kehendaki “

Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah .

Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat ( sama seperti Tasbih )

Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang , contohnya menyebut “ MA SYA ALLAH “ ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna “ Apa-apa yang Allah kehendaki “ , sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya . Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihat pelakon-pelakon yang seksi-seksi di TV .

Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini !!! .

Ucapan ini diistilahkan sebagai : “ AL-MASYIAH “


7 – Ucapan “ A’UZUBILLAHI MINASY SYAITONIR RAJIM “

Ertinya : “ Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam ( terkutuk ) “ .

Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan , sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana .

Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim .

Ucapan ini digelar sebagai “ AT-TA’AWWUDZ “ .


8 – Ucapan “ LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH “

Ertinya : “ Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan ( yang sebenar / yang terutama ) melainkan dengan kehendak Allah “ .

Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu .

Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HAUQOLAH “ .


9 – Ucapan “ INSYA ALLAH “

Ertinya : “ Jika dikehendaki Allah “

Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang . Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “ INSYA-ALLAH “ , tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya , maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini . ~ [ Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom , Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia ].

Ucapan ini dikenali sebagai “ TAWAKKUL “ ( Tetapi masyarakat Melayu menyebutnya sebagai tawakkal )


10– Ucapan “ BARAKKALLAHU FIK “

Ertinya : “ Semoga Allah memberkati engkau “ .

Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya .

Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AT-TABARRUK “ .


11 – Ucapan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN “

Ertinya : “ Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan “

Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang .

Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak “ .

Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik ) .

Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan “ JAZAKALLAHU “ ( Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa ??? . Ayat ini jadi ayat tergantung ! .

Apabila kita diucapkan sedemikian rupa , maka respon kita pula ialah : “ JAZANA WA IYYAK “ . Erti respon itu ialah : “ Semoga Allah juga membalas ( kebaikan yang kau ucapkan tadi ) kepada kita semua dan juga kepada dirimu“.

Ianya dikenali sebagai kalimah “ ASY-SYUKR “


12 – Ucapan “ INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN “

Ertinya : “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “.

- Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir , kemalangan , kecurian dan seumpamanya . ( Tetapi orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang ) .

Ucapan ini dikenali sebagai “ LIL ISTIRJAA’ / TARJIE’“


13 – Ucapan “ HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL “

Ertinya : “ Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung / penolong “ .

Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap ( bertawakkal ) kepada Allah Ta’ala semata-mata . Dan ia juga merupakan ucapan “ pembakar “ semangat keberanian orang-orang yang beriman. Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh.

Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HASBANA “.




Wallahu A’alam Bis Sowab.


*

Popular Posts