Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)

Antara sifat cela

1) SYARHUL THAA'AM ; ertinya gemar kepada makan atau makan terlalu banyak.

2) SYARHUL KALAM ; ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak berfaedah kepada dunia dan akhiratnya.

3) GHA'DHAB ; ertinya bersifat dengan sifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku pada perkara yang kecil.

4) BUKHL ; ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

5) HASAD ; ertinya dengki akan ni'mat yang ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan, melebihi dari dirinya.

6) HUBBUL JAH ; ertinya cintakan kepada kemegahan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

7) HUBBUN DUNYA ; ertinya cintakan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

8) KIBR ; ertinya bongkak atau sombong, dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi dari orang lain.

9) UJUB ; ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga ia terlupa segalanya, adalah ni'mat dari Allah.

10) RIA' ; ertinya menunjuk-nunjuk dengan amal ibadatnya, beramal untuk mendapat pujian dan sanjungan untuk dipandang mulia oleh manusia bukan kerana Allah.

*

Kehebatan doa

*
At-Tirmizi meriwayatkan, daripada Salman al-Farisi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 'Qada' Allah tidak dapat ditukar, melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan.'
*
Begitu juga al-Bazzar, at-Tabrani dan al-Hakim ada meriwayatkan, daripada Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, 'Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari Kiamat.'

*

Mencari nafkah adalah ibadah

*
Pernah sahabat nabi merungut apabila melihat seorang yang badannya kasar kerana kuat bekerja dan berkata: "-..Alangkah baiknya jika dia menggunakan kekuatan tubuhnya itu untuk berjihad pada jalan Allah"

Mendengar itu Rasulullah s.a.w pun bersabda: "--.Jika dia bekerja mencari nafkah untuk anak-anaknya yang kecil adalah Fi Sabilillah, jika dia bekerja untuk kedua-dua orang tuanya pun Fi Sabilillah, jika dia bekerja mencari nafkah untuk dirinya sendiri juga dikira Fi Sabilillah, tetapi jika dia bekerja dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan riak, maka itu adalah Fi Sabili syaitan (pada jalan syaitan). (Riwayat Bukhari dan Muslim dan Tarmidzi)

*

Lima pesanan Syaikh Al-Balkhi

*
Ambil olehmu lima perkara kemudian amalkan :

1) Sembahlah Allah sebanyak keperluanmu kepadaNya.

2) Ambil apa-apa dari dunia menurut keperluan selama umurmu didalamnya.

3) Lakukan maksiat kepada Allah, menurut kemampuanmu memikul azabNya.

4) Persiapkan bekal didunia untuk selama kamu tinggal didalam kubur.

5) Beramallah untuk syurga, menurut lamanya masa yang kamu inginkan untuk tinggal didalamnya."

*

Gopoh : Amalan syaitan


SATU daripada penyakit kalbu yang berbahaya dan boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal). Mengikut Imam al-Gazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopog-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat.

Umpamanya, jika berbicara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan. Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah, sebagaimana firman Allah yang mafhumnya: "Dan manusia mendoakan kehajatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah" (al-Isra' : 11) Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.

Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.

Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.

Menurut Imam al-Ghazali : Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan kecuali dalam lima perkara, iaitu mengawinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan mayat, melayani tetamu dan bertaubat daripada dosa".

Wallahu a'lam.

Penulis : MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI
muhd_isa@tm.net.my

*

Kepada Allah berserah

*
Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selainNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. (Surah At-Taubah ayat 129)

*
"..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 12)

*

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...