"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Panjang angan-angan

*

MENGIKUT ulamak, kalbu manusia mempunyai kira-kira 90 ciri yang terpuji dan 90 ciri yang terkeji. Antara ciri-ciri kalbu yang terkeji itu ialah : panjang angan-angan (thulul-amal), takutkan mati, cintakan dunia.

Panjang Angan-angan : Maksud "panjang angan-angan" di sini ialah: "Menaruh anggapan bahawa maut masih lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan berlaku bila-bila masa sahaja".

Anggapan ini dikira sebagai penyakit kalbu - Penyakit Panjang Angan-angan.
Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit kalbu yang kronik. Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia yang fana ini, sehingga terlupa kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di akhirat yang abadi.

Ulamak mengatakan, orang yang panjang angan-angan dikuasai keinginan untuk hidup dalam jangka waktu yang panjang. Malah seolah-olah merasakan dirinya akan hidup selama-lamanya dan merasakan dia pasti berjaya mencapai angan-angannya itu. Dia tidak memikirkan tentang kemungkinan dia akan mati bila-bila masa sahaja. Kata-kata dan tindak tanduknya mencerminkan, bahawa dia akan terus hidup berpanjangan. Dengan yang demikian, dia dikira melakukan maksiat.

Ulamak membahagikan panjang angan-angan itu kepada dua jenis:
angan-angan am, angan-angan khas.

Angan-angan Am :
Angan-angan ini adalah angan-angan orang awam yang ingin hidup lama dan lupa kepada kematian dirinya. Tujuan hidupnya semata-mata untuk menumpul harta dunia dan bersedap-sedap dengan ni'mat duniawi. Hal ini juga dikatakan sebagai perbuatan maksiat.

Panjang angan-angan dalam pengertian tersebut akan mendatangkan sekurang-kurangnya empat kesan buruk :

Pertama, hilang atau amat kurang ketaatan beribadat atau segan mengamalkannya. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku akan melakukan taat (ibadat) juga kemudian nanti. Hari esok masih ada, masa masih panjang. Pasti tidak akan terluput aku daripada
mengerjakannya!". Mengikut ulamak : Angan-angan seperti ini memutuskan segala kebajikan. Sesiapa yang panjang angan-angannya, maka buruklah amalannya.

Kedua, enggan bertaubat atau menangguhkannya. Orang yang berkenaan akan berkata, "Aku akan bertaubat nanti apabila ada kelapangan masa. Sekarang aku masih muda. Masa masih panjang untuk aku bertaubat nanti". Oleh kerana hatinya didedahi oleh penyakit panjang angan-angan, tidak terlintas langsung di hatinya, kemungkinan nyawanya akan disambar maut bila-bila masa sahaja sebelum dia bertaubat. Ketiga, menjadi tamak dan haloba dalam mengumpul harta dan sibuk dengan urusan duniawi sehingga terlupa kepada urusan (kewajipan) ukhrawi. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku takut jadi papa
apabila tua dan tidak terdaya lagi bekerja. Oleh sebab itu harta yang lebih perlu dikumpul sekarang untuk bekalan hari tua nanti". Sekali imbas, kata-katanya itu baik, tetapi sebenarnya dia kehilangan keyakinan terhadap peruntukan rezeki daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kata-katanya itu mengandungi rasa tamak terhadap harta dunia, sedang harta (rezeki) yang telah dimilikinya sudah mencukupi. Seterusnya, orang berkenaan akan menjadi cuai beribadat dan menjadi bakhil (satu lagi unsur penyakit hati yang dikira sebagai maksiat). Sufian al-Tsauri pernah bermadah: "Jangan engkau loba kepada dunia agar engkau menjadi orang yang memelihara agama Allah".

Keempat, menjadi keras hati, lupakan mati dan akhirat. Seterusnya, apabila sudah keras hati dan lupakan mati, maka amat kuranglah melakukan kerja taat kepada Allah, lambat bertaubat dan banyaklah melakukan kemungkaran dan kerja-kerja maksiat yang lain.

Angan-angan Khas : Angan-angan jenis yang kedua ini ialah angan-angan para ulamak yang memerlukan hidup lama untuk mengerjakan amal kebajikan. Bagaimana pun, dalam berangan-angan demikian, ulamak akhirat masih merasakan diri mereka di dalam ancaman bahaya. Mereka khuatir kalau-kalau amalan mereka tidak akan menghasilkan kebajikan kepada mereka, kerana kadang-kadang dalam melaksanakan satu-satu kebajikan itu mereka mungkin terjatuh ke dalam maksiat batin yang membinasakan kebajikannya itu, iaitu apabila kalbu mereka diserang oleh penyakit riyak, ujub, hasad dan sebagainya. Hamba Allah yang mengerjakan solat, puasa, zakat, haji atau sebagainya itu belum pasti dia mendapat kebajikan atau sebaliknya. Kepastiannya termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib yang segala manusia tidak mengetahuinya. Hukum penentuan, sama ada baik atau jahat, semuanya daripada Allah Taala.Sebab itu hamba Allah dianjurkan supaya menguatkan azam dan menaruh niat terpuji (al-niyatul-mahmudah) apabila mengerjakan ibadat.

Niat terpuji (al-niatul-mahmudah) : Para ulamak mengatakan: Niat yang terpuji itu merupakan keazaman untuk melaksanakan amal ibadat dengan menyerahkan kejayaan, kesempurnaan dan kebajikannya kepada Allah. Niat yang terpuji ini penting, kerana sebelum kita memulakan amalan itu belum ada apa-apa kebimbangannya. Semasa mengerjakannya atau selepasnya baharulah ada kebimbangannya.

Ada dua kebimbangan di kalbu semasa atau selepas mengerjakan amalan, iaitu: sama ada pelaksanaan amalan itu berjaya atau gagal . sama ada hasil pelaksanaannya akan mendatangkan kebajikan atau akasnya. Justeru, sebelum memulakan sesuatu amalan, wajib kita meletakannya di bawah andaian dan kekecualian (istitsnak) yang tertakluk kepada qudrat-iradat Allah Taala dengan melafazkan ucapan "insyaAllah ...." di samping pasrah kepada Allah (tafwid). Dengan yang demikian, maka tumbuh dan suburlah niat terpuji tersebut dan sekali gus terselamatlah daripada penyakit panjang angan-angan. Lalu sihat dan segar dalam keadaan pendek angan-angan.

Pendek Angan-angan: Lawan kepada panjang angan-angan ialah pendek angan-angan. Sikap, kecendrungan dan tindak-tanduk orang yang pendek angan-angan tidak seperti orang yang panjang angan-angan itu. Malah, sebaliknya. Angan-angannya, kalau ada, dikaitkannya dengan hukum istitsnak yang tertakluk kepada kehendak dan takdir Allah. Umpamanya, panjang pendek umurnya, hidup ataumatinya bergantung kepada takdir Allah. Dia mengatakan, "Insya Allah, aku akan hidup lagi"; atau "Hidup atau matiku, panjang atau pendek umurku, adalah di dalam ilmu Allah". Dengan itu, sekiranya seluruh hidupnya untuk tujuan kebajikan, dengan azam yang berasaskan niat terpuji, maka dia disifatkan sebagai pendek angan-angan. Pegangan hati dan tindak-tanduk zahir dan batin oang yang pendek angan-angan berkecenderungan kepada keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Mereka tidak mengabaikan hidup di samping tidak melupakan mati. Mereka menghadapi dunia di samping tidak membelakangi akhirat. Mereka merasakan kematian hampir berlaku ke atas diri mereka. Mereka senantiasa sedar bahawa kematian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Kematian mengejut yang berlaku di kalangan saudara mara dan kawan-kawan mereka dijadikan iktibar. Mereka senantiasa sedar, ramai orang yang tak sempat menghabiskan masa sehari untuk terus hidup dan ramai pula yang menanti kedatangan esok, tetapi tiada esok baginya.

Nabi Allah 'Isa a.s bersabda : Adapun dunia ini tiga hari sahaja, iaitu semalam yang telah berlalu tanpa suatu apa di tanganmu, hari ini yang engkau sedang berada di dalamnya dan esok yang tidak pasti engkau dapat menemuinya.

Seorang sahabat Rasulullah, Abu Dzar, pernah bermadah: "Dunia ini tiga jam sahaja, iaitu satu jam yang lalu, satu jam yang engkau sedang berada di dalamnya dan satu jam lagi yang tidak pasti engkau dapat menemuinya. Jadi, pada hakikatnya, engkau tidak memiliki dunia melainkan satu jam sahaja, kerana maut itu bergerak terus saat demi saat".

Antara ulamak ada yang mengatakan, "Dunia ini tiga nafas sahaja, iaitu nafas yang telah berlalu, nafas yang sedang engkau jalani dan nafas selepasnya yangtidak pasti akan dapat engkau alaminya. Ramai orang yang sedang menjalani satu nafas, tiba-tiba mati sebelum mengalami nafas seterusnya. Jadi, pada hakikatnya, engkau hanya hidup satu nafas sahaja". Apabila menyedari semuanya itu, maka orang tidaklah terlalu sibuk dan ghairah mengejar razeki yang berlebihan, memburu kemewahan hidup di dunia sampai sanggup melupakan kehidupan yang kekal di akhirat.

Apalah ertinya merebut razeki berlebihan untuk hidup, kalau hidup itu hanya untuk satu hari atau satu jam atau satu nafas sahaja? Di atas kesedaran itu juga, dalam satu nafas yang sedang dijalani itu, orang mengambil kesempatan untuk bertaubat dan mengerjakan taat kepada Allah dengan harapan, mudah-mudahan, apabila mati pada nafas berikutnya, matinya dalam bertaubat.

Untuk menjamin kemantapan hati dalam keadaan pendek angan-angan itu, maka kita dianjurkan supaya senantiasa mengingati : mati (zikrul-maut); kemungkinan maut akan datang secara mendadak; kedatangan maut tidak boleh ditolak, ditentang, dijauhi, ditangguh atau disegerakan.

Apabila ketiga-tiga perkara tersebut senantiasa di dalam ingatan, insya Allah kalbu kita akan teguh dengan pendek angan-angan, sekali gus kita terselamat daripada serangan penyakit panjang angan-anagan. Mudah-mudahan dengan itu kita akan dikurniakan taufik oleh Allah Taala.

Pendek angan-angan tidak dapat dipertahankan, sekiranya kita senantiasa:
* terpesona dengan godaan atau terpukau kepada sihir dunia yang menyebabkan kita mejadi lengah, lalai dan seterusnya mengalami kelumpuhan iman.
* melakukan pembaziran waktu dengan perebualan, umpatan, cacian, hiburan, nyanyian yang melalaikan atau perdebatan yang sia-sia.

Barangkali ada orang mengatakan, orang yang pendek angan-angan itu tidak bercita-cita tinggi, tidak punya visi. Tetapi sebenarnya, orang yang pendek angan-angan itulah yang paling tepat dikatakan bercita-cita tinggi dan berwawasan, kerana bukan kebahagiaan di dunia sahaja ingin dicapainya, tetapi juga kebahagiaan di akhirat.

Orang yang panjang angan-anagn itulah sebenarnya yang tidak bercita-cita tinggi, kerana dia hanya ingin mencapai kebahagiaan dan kemewahan di dunia ini semata-mata, manakala kebahagiaan di akhirat langsung tidak atau amat kurang diminatinya.

Wallahu a'lam.


Penulis: Muhammad Isa al-Jambuli


*

Popular Posts