"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Antara sifat cela

*
1) SYARHUL THAA'AM ; ertinya gemar kepada makan atau makan terlalu banyak.

2) SYARHUL KALAM ; ertinya gemar kepada bercakap yang sia-sia, percakapan yang tidak berfaedah kepada dunia dan akhiratnya.

3) GHA'DHAB ; ertinya bersifat dengan sifat pemarah dan cepat melenting walaupun kesilapan berlaku pada perkara yang kecil.

4) BUKHL ; ertinya bakhil atau kedekut dan merasa sayang untuk membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

5) HASAD ; ertinya dengki akan ni'mat yang ada pada orang lain serta suka jika orang itu mendapat kesusahan, melebihi dari dirinya.

6) HUBBUL JAH ; ertinya cintakan kepada kemegahan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

7) HUBBUN DUNYA ; ertinya cintakan dunia secara keterlaluan sehingga lalai dari beribadat serta berzikir kepada Allah Swt.

8) KIBR ; ertinya bongkak atau sombong, dan merasakan dirinya mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi dari orang lain.

9) UJUB ; ertinya merasakan dirinya telah banyak beribadat atau telah banyak harta sehingga ia terlupa segalanya, adalah ni'mat dari Allah.

10) RIA' ; ertinya menunjuk-nunjuk dengan amal ibadatnya, beramal untuk mendapat pujian dan sanjungan untuk dipandang mulia oleh manusia bukan kerana Allah.

*

Kehebatan doa

*


"Qada' Allah tidak dapat ditukar, melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan." (HR At Tirmizi)

"Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari Kiamat." (HR al-Bazzar, at-Tabrani dan al-Hakim)

Sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam : "Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Ditanya baginda : Apa itu tergopoh-gapah ?. Sabda baginda : Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti dan meninggalkan doa". (HR Muslim).

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulannya, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (HR Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la)

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai” (HR At Tirmizi)


*

Mencari nafkah adalah ibadah

*


Pernah sahabat Nabi sallallahu `alaihi wa sallam merungut apabila melihat seorang yang badannya kasar kerana kuat bekerja dan berkata: "..Alangkah baiknya jika dia menggunakan kekuatan tubuhnya itu untuk berjihad pada jalan Allah" Mendengar itu Rasulullah pun bersabda: "Jika dia bekerja mencari nafkah untuk anak-anaknya yang kecil adalah Fi Sabilillah, jika dia bekerja untuk kedua ibu bapanya pun Fi Sabilillah, jika dia bekerja mencari nafkah untuk dirinya sendiri juga dikira Fi Sabilillah, tetapi jika dia bekerja dengan tujuan menunjuk-nunjuk dan riak, maka itu adalah Fi Sabili syaitan (pada jalan syaitan). (HR. Bukhari dan Muslim dan Tirmidzi)

*

Lima pesanan Syaikh Al-Balkhi

*



Ambil oleh mu lima perkara kemudian amalkan :

1) Sembahlah Allah sebanyak keperluanmu kepadaNya.

2) Ambil apa-apa dari dunia menurut keperluan selama umurmu di dalamnya.

3) Lakukanlah maksiat kepada Allah menurut kemampuan kamu untuk memikul azabNya.

4) Persiapkan bekal di dunia untuk selama kamu tinggal didalam kubur.

5) Beramallah untuk syurga, menurut lamanya masa yang kamu inginkan untuk tinggal di dalamnya."

Wallahu a'lam.

*

Isti'jal - Gopoh

*

Satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya dan boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal). Mengikut Imam al-Ghazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopog-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat.

Umpamanya, jika berbicara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan. Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah. Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.

Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.

Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.

Menurut Imam al-Ghazali : Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.

Wallahu a'lam.

Penulis : MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI


*

Link pilihan:

Bersikap Tenang, Jangan Tergesa-gesa

Mencari Ketenangan





*

Popular Posts