"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Istidraj

*

Istidraj ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya yang bukan dari golongan orang-orang yang bertakwa dan soleh, termasuk juga sebahagian hamba-Nya yang kafir dan membangkang terhadap Islam. Kelebihan itu sengaja diberikan oleh Allah kepada mereka agar mereka bertambah jauh dari Allah dan bertambah maksiat kepada-Nya, sampai pada waktu dan batas yang ditentukan. Pada umumnya diakhiri dengan akibat buruk bagi orang itu. Contohnya, kekuasaan dan keunggulan yang diberikan kepada Firaun. Yang mana dengan kekuasaan itu, Firaun tidak bertambah taat kepada Allah. Bahkan makin bertambah derhaka kepada Allah s.w.t, malah mendakwa dirinya sebagai Tuhan.

Istidraj ialah tindakan maksiat yang Allah balas dengan nikmat dan Allah membuat dia lalai untuk beristighfar, sehingga dia semakin dekat dengan adzab sedikit demi sedikit, selanjutnya Allah berikan semua hukumannya.

Istidraj ialah ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit. Allah biarkan orang ini dan tidak disegerakan adzabnya.  

Pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Rupa-rupanya nikmat, kesenangan, kemewahan adalah bertujuan untuk menghancurkannya.
 
Rasullulah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."  Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca firman Allah, “Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (QS. Al-An’am: 44) (HR. At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)


Wallahu a'lam.



*

Jangan Banyak Cakap

*

"Janganlah banyak bercakap selain untuk berzikir kepada Allah, sesungguhnya banyak bercakap akan menyebabkan hati menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah ialah mereka yang berhati keras". (HR Tirmizi)

Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk syurga, Nabi menjawab, takwa kepada Allah dan akhlak mulia. Nabi juga ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka Nabi menjawab, mulut/lidah dan kemaluan. (HR. Tirmidzi)


*

Gelisah

*

Gelisah ialah hati yang tidak tenteram, merasa khuwatir, resah, tidak tenang, cemas atau risau.

Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran. (Sayyidina Ali karramallahu wajhah)

Suatu ketika seorang sahabat karib Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam iaitu Ibnu Masu’d di datangi seorang lelaki yang kelihatan dirundung duka nestapa. Lelaki itu berkata kepada Ibnu Masu’d, “Saudara, berikanlah padaku nasihat yang dapat aku jadikan penawar untuk jiwaku yang gelisah ini. Akhir-akhir ini jiwaku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut”

Ibnu Masu’d berkata, “Sekiranya itulah penyakit yang menimpamu, hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat ini:

Pertama
, tempat orang membaca al-Quran, sama ada kamu membacanya atau kamu sekadar mendengar orang lain membaca ayat al-Quran.


Kedua
, majlis ilmu, yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah.


Ketiga
, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadah kepada Allah dengan khusyuk dan tulus ikhlas.”


Wallahu a'lam.






Link pilihan:

Doa Elak Gelisah

Cara Mencari Ketenangan




*

Nasihat Sayyidina Ali

*

Berikut adalah 40 nasihat Sayyidina Ali karramallahu wajhah sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Nahjul Balagh dan Al-Bayan Wattabyeen r.a.

1. Pendapat seorang tua adalah lebih baik daripada tenaga seorang muda.

2. Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran.

3. Kebesaran seseorang itu bergantung dengan qalbunya yang mana adalah sekeping daging.

4. Mereka yang bersifat pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.

5. Jagailah ibubapa kamu,nescaya anak-anakmu akan menjagai kamu.

6. Bakhil terhadap apa yang ditangan adalah tidak mempunyai kepercayaan terhadap Allah.

7 .Kekayaan seorang bakhil akan turun kepada ahli warisnya atau ke angin. Tidak ada yang terpencil dari seorang yang bakhil.

8. Seorang arif adalah lebih baik daripada arif. Seorang jahat adalah lebih jahat daripada kejahatan.

9. Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan harus dijagai, sedangkan ilmu menjaga kamu.

10. Jagalah harta bendamu dengan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahanmu dengan mendirikan solat.

11. Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam.

12. Mengajar adalah belajar.

13. Berkhairatlah mengikut kemampuanmu dan janganlah kamu jadikan keluargamu hina dan miskin.

14 .Insan terbahagi kepada 3 :
1.mereka yang mengenal Allah.
2.mereka yang mencari kebenaran.
3.mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran.
Golongan yang terakhir inilah yang paling rendah dan tak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta seperti kambing.

15. Insan tak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawadhu' dan lemah.

16. Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu terhadap Allah.

17. Mereka yang mencari kesilapan dirinya sendiri adalah selamat dari mencari kesilapan orang lain.

18. Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang ia lakukan untuk memperbaiki dirinya.

19. Manusia sebenarnya sedang tidur tetapi akan bangun bila ia mati.

20. Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan akan Al-Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak akan berubah walaupun terbuka rahsia kebenaran itu.

21. Allah merahmati mereka yang kenal akan dirinya dan tidak melampaui batas.

22. Sifat seseorang tersembunyi disebalik lidahnya.

23. Seorang yang membantu adalah sayapnya seorang yang meminta.

24. Insan tidur di atas kematian anaknya tetapi tidak tidur di atas kehilangan hartanya.

25. Barangsiapa yang mencari apa yang tidak mengenainya nescaya hilang apa yang mengenainya.

26. Mereka yang mendengar orang yang mengumpat terdiri daripada golongan mereka yang mengumpat

27. Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran.

28. Seorang yang hamba kepada syahwatnya adalah seorang yang lebih hina daripada seorang hamba kepada hamba.

29. Orang yang dengki marah kepada orang tidak berdosa.

30. Putus harapan adalah satu kebebasan , mengharap (kepada manusia) adalah
suatu kehambaan.

31. Sangkaan seorang yang berakal adalah suatu ramalan.

32. Seorang akan mendapat tauladan di atas apa yang dilihat.

33. Taat kepada perempuan(selain ibu) adalah kejahilan yang paling besar.

34. Kejahatan itu mengumpulkan kecelaan yang memalukan.

35. Jika berharta, berniagalah dengan Allah dengan bersedekah.

36. Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihat apa yang dikatakannya.

37. Tidak ada percintaan dengan sifat yang berpura2.

38. Tidak ada pakaian yang lebih indah daripada keselamatan.

39. Kebiasaan lisan adalah apa yang telah dibiasakannya.

40.J ika kamu telah menguasai musuhmu, maafkanlah mereka, kerana perbuatan itu adalah syukur kepada kejayaan yang telah kamu perolehi.


Wallahu a'lam.



*

Wanita Pertama Masuk Syurga

*

KISAH INI POPULAR TETAPI KESAHIHAN DAN SUMBER CERITA INI TIDAK DAPAT DIKENALPASTI.

Pada suatu hari Fatimah bertanya Rasulullah, siapakah perempuan pertama yang bakal masuk syurga. Baginda menjawab, seorang wanita yang bernama Muti'ah. Fatimah terkejut, ternyata bukan dia seperti yang dibayangkannya. Mengapa orang lain, pada hal dia adalah puteri Nabi ?

Timbul keinginannya untuk mengetahui siapakah Mutiah itu. Apakah gerangan yang dilakukannya sampai mendapat penghormatan begitu tinggi ? Sesudah meminta izin daripada suaminya, Ali bin Abu Talib , Fatimah berangkat mencari rumah Mutiah. Puteranya yang masih kecil Hasan menangis ingin ikut lalu didukungnya Hasan ke rumah Muti'ah.

Fatimah mengetuk pintu rumah Muti'ah dan memberi salam. Wa'alaikumussalam ! Siapa di luar? Terdengar jawapan lemah lembut dari dalam. Suara cerah dan merdu.

"! ! ! Saya Fatimah, puteri Rasulullah ". "Alhamdulillah, alangkah bahagianya saya hari ini, Fatimah sudi berkunjung ke gubuk saya," terdengar kembali jawapan dari dalam. Kali ini nyata lebih gembira lagi makin dekat dengan pintu."

Sendirian, Fatimah ? "Aku ditemani Hasan". "Aduh , maaf ya," suara itu terdengar jadi menyesal. " Saya belum mendapat izin suami untuk menemui tamu lelaki ". " Tapi Hasan masih kecil". " Meskipun kecil, Hasan lelaki. Esok saja datang lagi, saya minta izin kepada suami," sahut Muti'ah tidak kurang kecewanya.

Esoknya Fatimah datang dengan membawa Husain sekali.Selepas memberi salam dan dijawap gembira , Mutiah berkata dari dalam. " Datang dengan Hasan, Fatimah? Suami saya sudah memberi izin"
'Ya dengan Hasan dan Husain " "Ha? Mengapa tidak beritahu dari kelmarin ?! ! ! Yang dapat izin cuma Hasan. Husain belum. Saya terpaksa meminta izin dari suami, " jawab Muti'ah.

Hanya esok harinya baru mereka disambut baik oleh Mutiah di rumahnya. Keadaan rumah itu sangat sederhana. Tidak ada satu pun perabot mewah. Namun semuanya teratur rapi membuat tetamu senang berada di rumah itu. Fatimah kagum melihat suasana yang menyenangkan itu. Sehingga Hasan dan Husain yang biasa di rumah orang, kali ini nampak asyik bermain. " Maaf ya, saya tidak boleh menemani Fatimah duduk. Sebab saya sedang menyiapkan makanan untuk suami saya," kata Muti'ah sambil sibuk di dapur.

Hampir waktu tengahari, masakan itu sudah siap semuanya lalu diletakkan diatas mampan. Mutiah mengambil rotan dan diletakkan di sebelah hidangan. Fatimah bertanya kepada Mutiah, " suamimu kerja di mana?! ! ! "Di ladang". "Sebagai pengembala?" soal Fatimah. "Bukan. Bercucuk tanam". "Tapi mengapa kau bawakan rotan juga?"tanya Fatimah. "Rotan itu saya sediakan untuk keperluan lain. Kalau suami saya sedang makan , saya tanyakan apakah masakan saya sedap atau sebaliknya. Kalau suami saya jawab, "sedap", takkan terjadi apa-apa. Jika tidak sedap, rotan itu saya berikan kepadanya agar dirotan saya sebab ia tidak menyenangkan suami".

"Atas kehendak suamimukah kau bawa rotan itu," tanya Fatimah. "Oh, sama sekali tidak. Suami saya seorang yang penyayang. Ini semata-mata kehendak saya agar jangan sampai menjadi isteri derhaka kepada suami."

Fatimah lantas meminta izin pulang. Dalam hati berkata, patut kalau Muti'ah menjadi perempuan pertama masuk syurga, lantaran baktinya kepada suami begitu besar dan tulus.

Diberitakan dalam berjuta-juta wanita di dunia ini, Muti'ah yang paling awal akan masuk ke dalam syurga. Apakah keistimewaan beliau mengatasi wanita lain?
Hanya Allah yang mengetahuinya. Tapi daripada sejarah cerita yang di khabarkan, saya membuat andaian, Muti'ah sangat sangat menghormati suaminya. Sangat sangat taat kepada suaminya. Layanan beliau kepada suaminya mungkin yang terbaik mengatasi wanita lain.


KISAH INI POPULAR TETAPI KESAHIHAN DAN SUMBER CERITA INI TIDAK DAPAT DIKENALPASTI.

Wallahu a'lam.




*

Popular Posts