Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)

Cara benteng iman dari iblis


Ada cara dan doa Rasulullah untuk berlindung daripada syaitan

DALAM Quran, jelas sekali Allah swt mendedahkan bahawa musuh manusia bukanlah manusia tetapi Iblis yang ingkar akan perintah-Nya untuk sujud kepada Adam.

Oleh kerana disingkirkan dari syurga, Iblis berjanji untuk membinasakan Adam dan anak cucunya hingga ke hari akhirat. Allah swt telah mengizinkannya.

Allah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada daripada pengaruh syaitan. Ia melihat dan hidup bersama kita tetapi kita tidak dapat melihatnya. Dia selalu mengacau sekalipun dalam solat. Ia menghiaskan kita dengan pelbagai maksiat.

Bagaimana kita dapat mengatasi, menolak segala rupa ancaman serta bisikannya yang mendorong kepada kesesatan?

Pertama, hendaklah kita menganggapnya sebagai musuh utama di dunia ini. Bahaya syaitan yang paling kita khuatiri ialah bahawa ia mengetahui kelemahan jiwa manusia.

Ulama telah memberikan pandangannya tentang dunia syaitan. Syaitan mempunyai zuriat sama seperti manusia sebagaimana yang difirmankan Allah yang bermaksud:

"Patutkah kamu mengambil ia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu, sedang mereka adalah musuhmu?" -- Al-Kahf: 50.

Jika syaitan itu bukan daripada unsur malaikat tetapi serba sedikit ada menyerupainya. Tatkala Allah swt memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam
as, iblis terus menyampuk sambil berkata: "Patutkah aku tunduk dan sujud kepada makhluk yang dijadikan daripada tanah?'' Apabila iblis enggan melaksanakan
perintah Allah swt, maka ia terus disingkir daripada rahmat-Nya. Allah berfirman:

"Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya." -- Al-Kahf: 50

Iblis bukan sahaja menderhakai Allah swt malah bersumpah dengan kekuasaan Allah bahawa ia akan tetap menggoda segala makhluk Allah melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al-Quran menyebut:

"Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah)." -- Shaad: 82,83.

Justeru itu, Allah swt selalu mengingatkan kita akan godaan syaitan. Setiap insan ada syaitannya yang sering menggoda, menyesat dan menghiaskan baginya pelbagai maksiat.

Dalam hal ini, para ulama telah mengemukakan beberapa dalil. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, yang berkata:

"Rasulullah saw telah keluar pada satu malam dari kamarku. Secara sepontan, aku berasa cemburu padanya. Apabila Rasulullah saw datang melihat keadaanku, maka Baginda pun bertanya: Apa yang telah terjadi padamu ya Aisyah? Adakah kamu cemburu padaku? Aku menjawab: Adakah aku pernah cemburu seperti yang aku hadapi sekarang? Rasulullah saw berkata: Adakah syaitanmu telah menguasaimu? Aku menjawab: Wahai
Rasulullah! Adakah syaitan bersamaku juga? Jawab Rasulullah: Ya.

"Aku teruskan pertanyaanku. Adakah syaitan juga bersamamu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, Tetapi Tuhanku telah melindungiku hinggalah aku terselamat daripadanya."

Ada juga sepotong hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu masuk lari ke dalam tubuh anak Adam melalui saluran darahnya."

Syaitan mempunyai pelbagai cara perangkap dan komplot. Syaitan sangat suka menyesatkan orang-orang yang jahil atau kurang ilmu.

Ia menghiaskan mereka dengan amalan telek-menelek dan kepercayaan karut sehingga dapat menyakinkan manusia dengan ilmu ghaib.

Ia juga memperdaya orang-orang jahil supaya memberi fatwa tanpa pegangan ilmu yang sahih dan juga menyebarkan perkara bidaah serta memesongkan manusia dengan ajaran-ajaran sesat yang bertentangan dengan Islam.

Kita dapat mempertahankan hasutan dan tipu-daya syaitan dengan memohon perlindungan daripada Allah. Allah swt menyifatkan orang-orang yang bertakwa sahajalah yang dapat menentang ancaman syaitan daripada menembusi hatinya seperti firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." -- Al-A'raaf: 201.

Tipu-daya syaitan itu lemah jika dinisbahkan dengan seorang Mukmin yang teguh imannya.

Apabila syaitan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, dirinya menjadi kecil seperti ukuran lalat dan apabila mendengar seruan azan pula, ia lari lintang-pukang dek ketakutan. Allah swt telah mengajar kita bagaimana kita dapat menolak syaitan sehingga ia mengundurkan dirinya. Allah berfirman:

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." --
Al-A'raaf: 200.

Rasulullah saw juga telah mewasiatkan umatnya supaya membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, seperti sabdanya yang bermaksud:

"Apabila salah seorang daripada kamu hendak tidur, maka bacalah ayat al-Kursi. Sesungguhnya dia sentiasa dalam jagaan Allah dan syaitan tidak akan mengganggunya sehinggalah waktu fajar."

Terdapat juga doa-doa menentang godaan syaitan iaitu seperti doa Rasulullah yang berbunyi: "Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaanNya, kejahatan hamba-Nya dan juga daripada bisikan-bisikan syaitan."

Oleh MOHD YUSOP HASSIM Penulis khas

*

Saya ikhlas ni

*
Allah jua yang maha mengetahui.

Abu Hurairah yang berkata, ”Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan kemudian dinampakkan kepadanya nikmat-nikmat yang diberikan kepadanya maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengannya?” Dia menjawab, “Aku berperang untuk-Mu sampai aku mati syahid.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau berperang karana ingin disebut sebagai orang yang berani. Dan itu sudah kau perolehi.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya tertelungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Kemudian seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan juga membaca Al Quran. Dia didatangkan kemudian ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sudah didapatinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kau perbuat dengannya ?” Maka dia menjawab, “Aku menuntut ilmu, mengajarkannya dan membaca Al Quran karena-Mu.” Allah berfirman, ”Engkau dusta, sebenarnya engkau menuntut ilmu supaya disebut orang alim. Engkau membaca Quran supaya disebut sebagai Qari’.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya tertelungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Kemudian ada seseorang yang telah mendapatkan anugerah banyak harta. Dia didatangkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang diperolehnya. Maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kamu perbuat dengannya?” Dia menjawab, “Aku telah sedekahkan harta di jalan-Mu dan untuk-Mu.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau lakukan untuk digelar orang yang dermawan, dan engkau sudah memperolehnya.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya tertelungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.” (HR Muslim)

*

Panjang angan-angan

*
MENGIKUT ulamak, kalbu manusia mempunyai kira-kira 90 ciri yang terpuji dan 90 ciri yang terkeji. Antara ciri-ciri kalbu yang terkeji itu ialah : panjang angan-angan (thulul-amal), takutkan mati, cintakan dunia.

Panjang Angan-angan :
Maksud "panjang angan-angan" di sini ialah: "Menaruh anggapan bahawa maut masih lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan berlaku
bila-bila masa sahaja".

Anggapan ini dikira sebagai penyakit kalbu - Penyakit Panjang Angan-angan.
Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit kalbu yang kronik. Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia yang fana ini, sehingga terlupa
kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di akhirat yang abadi.

Ulamak mengatakan, orang yang panjang angan-angan dikuasai keinginan untuk hidup dalam jangka waktu yang panjang. Malah seolah-olah merasakan dirinya akan hidup selama-lamanya dan merasakan dia pasti berjaya mencapai angan-angannya itu. Dia tidak memikirkan tentang kemungkinan dia akan mati bila-bila masa sahaja. Kata-kata dan tindak tanduknya mencerminkan, bahawa dia akan terus hidup berpanjangan. Dengan yang demikian, dia dikira melakukan maksiat.

Ulamak membahagikan panjang angan-angan itu kepada dua jenis:
angan-angan am, angan-angan khas.

Angan-angan Am :
Angan-angan ini adalah angan-angan orang awam yang ingin hidup lama dan lupa kepada kematian dirinya. Tujuan hidupnya semata-mata untuk menumpul harta dunia dan bersedap-sedap dengan ni'mat duniawi. Hal ini juga dikatakan sebagai perbuatan maksiat. Allah Taala berfirman, mafhumnya: Tinggalkanlah mereka makan dan bersedap-sedap (dengan ni'mat dunia) dan leka dengan angan-anagan, nanti akan
mereka mengetahui (akibatnya). (al-Hajar: 3)

Panjang angan-angan dalam pengertian tersebut akan mendatangkan sekurang-kurangnya empat kesan buruk :

Pertama, hilang atau amat kurang ketaatan beribadat atau segan mengamalkannya. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku akan melakukan taat (ibadat) juga kemudian nanti. Hari esok masih ada, masa masih panjang. Pasti tidak akan terluput aku daripada
mengerjakannya!".
Mengikut ulamak : Angan-angan seperti ini memutuskan segala kebajikan. Sesiapa yang panjang angan-angannya, maka buruklah amalannya.

Kedua, enggan bertaubat atau menangguhkannya. Orang yang berkenaan akan berkata,
"Aku akan bertaubat nanti apabila ada kelapangan masa. Sekarang aku masih muda. Masa masih panjang untuk aku bertaubat nanti". Oleh kerana hatinya didedahi oleh penyakit panjang angan-angan, tidak terlintas langsung di hatinya, kemungkinan nyawanya akan
disambar maut bila-bila masa sahaja sebelum dia bertaubat. Ketiga, menjadi tamak dan haloba dalam mengumpul harta dan sibuk dengan urusan duniawi sehingga terlupa kepada urusan (kewajipan) ukhrawi. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku takut jadi papa
apabila tua dan tidak terdaya lagi bekerja. Oleh sebab itu harta yang lebih perlu dikumpul sekarang untuk bekalan hari tua nanti". Sekali imbas, kata-katanya itu baik, tetapi sebenarnya dia kehilangan keyakinan terhadap peruntukan rezeki daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kata-katanya itu mengandungi rasa tamak terhadap harta dunia, sedang harta (rezeki) yang telah dimilikinya sudah mencukupi. Seterusnya,
orang berkenaan akan menjadi cuai beribadat dan menjadi bakhil (satu lagi unsur penyakit hati yang dikira sebagai maksiat).
Sufian al-Tsauri pernah bermadah: "Jangan engkau loba kepada dunia agar engkau menjadi orang yang memelihara agama Allah".

Keempat, menjadi keras hati, lupakan mati dan akhirat, sebagaimana Firman Allah Taala yang mafhumnya: Maka berpanjangan mereka berangan-angan, lalu keraslah kalbu mereka. (al-Hadid : 16) Seterusnya, apabila sudah keras hati dan lupakan mati,
maka amat kuranglah melakukan kerja taat kepada Allah, lambat bertaubat dan banyaklah melakukan kemungkaran dan kerja-kerja maksiat yang lain.

Angan-angan Khas : Angan-angan jenis yang kedua ini ialah angan-angan para ulamak yang memerlukan hidup lama untuk mengerjakan amal kebajikan. Bagaimana pun, dalam berangan-angan demikian, ulamak akhirat masih merasakan diri mereka di dalam ancaman bahaya. Mereka khuatir kalau-kalau amalan mereka tidak akan menghasilkan kebajikan kepada mereka, kerana kadang-kadang dalam melaksanakan satu-satu kebajikan itu mereka mungkin terjatuh ke dalam maksiat batin yang membinasakan kebajikannya itu, iaitu apabila kalbu mereka diserang oleh penyakit riyak, ujub, hasad dan sebagainya. Hamba Allah yang mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, haji atau sebagainya itu
belum pasti dia mendapat kebajikan atau sebaliknya. Kepastiannya termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib yang segala manusia tidak mengetahuinya. Hukum penentuan, sama ada baik atau jahat, semuanya daripada Allah Taala.Sebab itu hamba Allah dianjurkan supaya menguatkan azam dan menaruh niat terpuji (al-niyatul-mahmudah) apabila mengerjakan ibadat.

Niat terpuji (al-niatul-mahmudah) : Para ulamak mengatakan: Niat yang terpuji itu
merupakan keazaman untuk melaksanakan amal ibadat dengan menyerahkan kejayaan, kesempurnaan dan kebajikannya kepada Allah. Niat yang terpuji ini penting, kerana sebelum kita memulakan amalan itu belum ada apa-apa kebimbangannya. Semasa
mengerjakannya atau selepasnya baharulah ada kebimbangannya.

Ada dua kebimbangan di kalbu semasa atau selepas mengerjakan amalan, iaitu: sama ada pelaksanaan amalan itu berjaya atau gagal . sama ada hasil pelaksanaannya akan mendatangkan kebajikan atau akasnya. Justeru, sebelum memulakan sesuatu amalan,
wajib kita meletakannya di bawah andaian dan kekecualian (istitsnak) yang tertakluk kepada qudrat-iradat Allah Taala dengan melafazkan ucapan "insyaAllah ...." di samping pasrah kepada Allah (tafwid). Dengan yang demikian, maka tumbuh dan suburlah niat terpuji tersebut dan sekali gus terselamatlah daripada penyakit panjang angan-angan. Lalu sihat dan segar dalam keadaan pendek angan-angan.

Pendek Angan-angan: Lawan kepada panjang angan-angan ialah pendek angan-angan. Sikap, kecendrungan dan tindak-tanduk orang yang pendek angan-angan tidak seperti orang yang panjang angan-angan itu. Malah, sebaliknya. Angan-angannya, kalau ada, dikaitkannya dengan hukum istitsnak yang tertakluk kepada kehendak dan takdir Allah. Umpamanya, panjang pendek umurnya, hidup ataumatinya bergantung kepada takdir Allah. Dia mengatakan, "Insya Allah, aku akan hidup lagi"; atau "Hidup atau matiku, panjang atau pendek umurku, adalah di dalam ilmu Allah". Dengan itu, sekiranya seluruh hidupnya untuk tujuan kebajikan, dengan azam yang berasaskan niat terpuji, maka dia
disifatkan sebagai pendek angan-angan. Pegangan hati dan tindak-tanduk zahir dan batin oang yang pendek angan-angan berkecenderungan kepada keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Mereka tidak mengabaikan hidup di samping tidak melupakan mati. Mereka menghadapi dunia di samping tidak membelakangi akhirat. Mereka merasakan kematian hampir berlaku ke atas diri mereka. Mereka senantiasa sedar bahawa kematian boleh berlaku
pada bila-bila masa sahaja. Kematian mengejut yang berlaku di kalangan saudara mara dan kawan-kawan mereka dijadikan iktibar. Mereka senantiasa sedar, ramai orang yang tak sempat menghabiskan masa sehari untuk terus hidup dan ramai pula yang menanti kedatangan esok, tetapi tiada esok baginya.


Nabi Allah 'Isa a.s bersabda : Adapun dunia ini tiga hari sahaja, iaitu semalam yang telah berlalu tanpa suatu apa di tanganmu, hari ini yang engkau sedang berada di dalamnya dan esok yang tidak pasti engkau dapat menemuinya.

Seorang sahabat Rasulullah, Abu Dzar, pernah bermadah: "Dunia ini tiga jam sahaja, iaitu satu jam yang lalu, satu jam yang engkau sedang berada di dalamnya dan
satu jam lagi yang tidak pasti engkau dapat menemuinya. Jadi, pada hakikatnya, engkau tidak memiliki dunia melainkan satu jam sahaja, kerana maut itu bergerak terus saat demi saat".

Antara ulamak ada yang mengatakan, "Dunia ini tiga nafas sahaja, iaitu nafas yang telah berlalu, nafas yang sedang engkau jalani dan nafas selepasnya yang
tidak pasti akan dapat engkau alaminya. Ramai orang yang sedang menjalani satu nafas, tiba-tiba mati sebelum mengalami nafas seterusnya. Jadi, pada hakikatnya, engkau hanya hidup satu nafas sahaja". Apabila menyedari semuanya itu, maka orang tidaklah terlalu sibuk dan ghairah mengejar razeki yang berlebihan, memburu kemewahan hidup di dunia sampai sanggup melupakan kehidupan yang kekal di akhirat.

Apalah ertinya merebut razeki berlebihan untuk hidup, kalau hidup itu hanya untuk satu hari atau satu jam atau satu nafas sahaja? Di atas kesedaran itu juga, dalam satu nafas yang sedang dijalani itu, orang mengambil kesempatan untuk bertaubat dan mengerjakan taat kepada Allah dengan harapan, mudah-mudahan, apabila mati pada nafas
berikutnya, matinya dalam bertaubat.

Untuk menjamin kemantapan hati dalam keadaan pendek angan-angan itu, maka kita dianjurkan supaya senantiasa mengingati : mati (zikrul-maut); kemungkinan maut akan datang secara mendadak; kedatangan maut tidak boleh ditolak, ditentang, dijauhi, ditangguh atau disegerakan.

Allah s.w.t berfirman, mafhumnya: Apabila tiba waktu yang ditentukan(ajal), tidaklah mereka dapat menangguhkannya barang sesaat pun dan tidak dapat mendahulukannya. (al-Nahl: 61)

Apabila ketiga-tiga perkara tersebut senantiasa di dalam ingatan, insya Allah kalbu kita akan teguh dengan pendek angan-angan, sekali gus kita terselamat daripada serangan penyakit panjang angan-anagan. Mudah-mudahan dengan itu kita akan dikurniakan taufik oleh Allah Taala.

Pendek angan-angan tidak dapat dipertahankan, sekiranya kita senantiasa:
* terpesona dengan godaan atau terpukau kepada sihir dunia yang menyebabkan kita mejadi lengah, lalai dan seterusnya mengalami kelumpuhan iman.
* melakukan pembaziran waktu dengan perebualan, umpatan, cacian, hiburan, nyanyian yang melalaikan atau perdebatan yang sia-sia.

Barangkali ada orang mengatakan, orang yang pendek angan-angan itu tidak bercita-cita tinggi, tidak punya visi. Tetapi sebenarnya, orang yang pendek angan-angan
itulah yang paling tepat dikatakan bercita-cita tinggi dan berwawasan, kerana bukan kebahagiaan di dunia sahaja ingin dicapainya, tetapi juga kebahagiaan di akhirat.

Orang yang panjang angan-anagn itulah sebenarnya yang tidak bercita-cita tinggi, kerana dia hanya ingin mencapai kebahagiaan dan kemewahan di dunia ini semata-mata, manakala kebahagiaan di akhirat langsung tidak atau amat kurang diminatinya.

Wallahu a'lam.

Muhammad Isa al-Jambuli

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...