"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Cara lawan Nafsu

*


Menurut Imam al-Ghazali: Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa. Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang juga boleh membelenggunya sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan peranannya. Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang akan mendatangkan kecelakaan, ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan sekali-kali diberi muka dan dilayani keinginannya.

Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali telah menganjurkan cara untuk menjinakkan nafsu :

1) Setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan.

Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung atau ditambat, ia menjadi jinak juga akhirnya. Lemahkan tenaganya agar ia tidak liar. Amalan berpuasa akan membuatkan badan menjadi lemah dan sekaligus melemahkan keinginan nafsu. Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

2) Diberikan tekanan atau deraan yang berat ke atasnya.

Umpama kaldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya, nescaya ia menjadi lemah dan akan menurut perintah. Cara mendera nafsu ialah dengan banyak melakukan ibadah. Terus menerus melakukan ibadah dengan harapan kemanisan beribadah dapat menjinakkan keinginan nafsu.

3) Mohon bantuan Allah.

Hendaklah berdoa, perlindungan daripada Allah Taala agar terselamat daripada angkara nafsu jahat (nafsu ammaratun bil-su`). Sesungguhnya dengan pertolongan Allah jua, kita akan berjaya.



Nafsu adalah ibarat kuda liar, sukar dikawal, merbahaya dan boleh memudaratkan. Walau bagaimanapun dengan latihan yang betul, ia boleh dijinakkan, dikawal dan memberi banyak manfaat.

Seorang cendekiawan Islam berkata,"Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".

Imam Al-Ghazali mengatakan, "kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia itu lebih daripada haiwan dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia itu lebih daripada Malaikat."


Imam Al-Ghazali mengatakan, "antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."  


Wallahu a'lam.




Link pilihan :

Penyakit Nafsu dan Penawarnya

Genta Rasa - Lawan Hawa Nafsumu 


*

Popular Posts