"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Adab Seorang Muslim

*
Tafsir Surah An-Nisa' ayat 86 - Adab seorang Muslim

Allah mengajar orang-orang yang beriman dengan suatu adab yang baik iaitulah adab pergaulan sesama mereka dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa': 86)

Pendapat yang lebih kuat - yang dimaksudkan dengan hormat di sini ialah memberi salam walaupun ada ulama yang menjelaskan bahawa termasuk dalam ayat ini Tasymitul 'Atisy (berzikir ketika seseorang bersin) dan membalas orang yang 'Musyamit'. Ertinya apabila seseorang itu bersin, dia berkata 'al-hamdulillah' dan yang berada di sisinya menjawab 'Yarhamukallah'. Ini adalah diantara perkara yang diajar oleh Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam tetapi yang lebih kuat dimaksudkan ayat ini ialah memberi salam.

Menjadi ijma' di kalangan para ulama bahawa memulakan salam itu disunatkan dan sangat digalakkan manakala menjawab salam diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberi hormat dengan suatu penghormatan (salam) maka kamu hendaklah menghormatinya (menjawab salam itu)." (Surah an-Nisa': 86)

Ulama' berkhilaf dalam masalah sama ada menjawab salam itu wajib kifayah atau fadhu ain. Di sisi Imam Malik dan Imam Syafie, menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah (wajib secara umum). Sekiranya ada orang yang menjawab salam di kalangan kumpulan yang ramai maka lepaslah tanggungjawab yang lain (yang tidak menjawab salam di kalangan mereka).

*

Puasa di bulan sya'ban

*

Adalah disunatkan berpuasa di bulan Sya‘ban sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: Maksudnya: "Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali pada bulan Ramadan dan saya tidak pernah melihat baginda berpuasa lebih banyak daripadanya pada bulan Sya‘ban." (HR Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid berkata: Maksudnya: "Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana (banyaknya) engkau berpuasa di bulan Sya‘ban" Baginda bersabda: "Sedemikian itu kerana bulan Sya‘ban, bulan yang manusia lalai (kerana terletak) di antara bulan Rajab dan bulan Ramadan, dan Ia adalah bulan di mana diangkat padanya amalan-amalan manusia kepada Allah Rabbul ‘Alamin, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku di dalam keadaan berpuasa." (HR An-Nasa’i)


*

Perkara-perkara makruh ketika puasa

*

Assalamualaikum warahmatullah,

Salah satu untuk menyempurnakan ibadah puasa ialah menjauhi perkara-perkara makruh. Walaupun makruh tidak membatalkan ibadah puasa, tetapi panduan yang dibuat oleh para imam mujtahidin adalah merupakan menutup pintu-pintu kerosakan (sadduz zara'ie).

Antaranya perkara-perkara makruh ialah:

1. Berkucup dan pendahuluan jimak walau melalui khayalan atau penglihatan. Juga makruh mengikut pandangan Mazhab hanafi mengucup/menghisap bibir isteri. Walaupun di sana ada hadith riwayat As-Syaikhan (Bukhari dan Muslim): "Bahasa Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wasallam telah mengucup dan bersentuh kulit, sedangkan Baginda sedang berpuasa."  Kebanyakan ulamak menetapkannya makruh kerana ditakuti seseorang itu tidak mampu mengawal nafsunya seperti Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam Ini diperkuatkan lagi dengan hadith: Dari Aisyah R.A: "Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam telah mengucup Aisyah R.A. sedangkan Baginda shollallahu 'alaihi wasallam berpuasa dan Baginda  bersentuh kulit sedangkan Baginda berpuasa dan Baginda seorang yang mampu menguasai perasaannya."(Muttafaq Alaih) "Dan Baginda melarang orang muda melakukannya tetapi memberi kelonggaran kepada orang tua." (Hadith Hasan riwayat Abu Daud dari ABu Hurairah, diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah dan ABu Darda' begitu juga dari Ibn Abbas dengan sanad sahih)

2. Merasa ataupun mengunyah makanan tanpa ada keuzuran walaupun tidak ditelan kerana dikhuatiri akan termasuk sesuatu bahagian ke dalam rongga.

3. Makruh mengikut pandangan Mazhab Syafi'ie jika bersugi selepas gelincir matahari.


4. Memakai wangi-wangian ketika berpuasa adalah di antara perkara yang makruh dalam mazhab Syafi`i.

5. Berbekam ketika berpuasa hukumnya makruh. Ini boleh dilihat dalam kitab Mughni Al-Muhtaj (Jilid 1--Mazhab Syafi'ie, As-Syarh As-Saghir(jilid I)--mazhab maliki. Kedua mazhab ini berpendapat bahawa berbekam hukumnya makruh. Mazhab Hanafi pula berpendapat tidak makruh sekiranya berbekam itu tidak melemahkan orang yang berpuasa.

Wallahu a'lam.




*

Popular Posts