"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Maksud Silaturahim

 


Makna Sebenar SILATURAHIM

*


Makna silatu rahim ialah berlaku ihsan kepada kaum kerabat. 


Pendapat yang lebih tepat berkaitan dengan maksud silatu rahim ialah hubungan di antara kerabat atau keluarga sahaja.

Hubungan selain daripada ahli keluarga, bukan disebut silatu rahim, ia disebut sebagai ukhuwah Islamiah (persaudaraan sesama Islam). 

Silah bermaksud hubungan dan ar-Rahim bermaksud pertalian manusia dari segi keturunan dan disebut juga kerabat atau keluarga.

Imam Ibnul Atsir berkata, "Silatu rahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silatu rahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya." (Lisânul-‘Arab (XV/318).

Kaum kerabat terdiri daripada kedua ibu dan bapa, adik beradik, pakcik, makcik, sepupu, nenek, datuk dan anak yang memiliki hubungan kekeluargaan yang dekat. Adapun hubungan yang dinisbahkan kepada selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiah (persaudaraan sesama Islam). 

Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata "Ar-rahim secara umum adalah dimaksudkan untuk para kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis nasab (keturunan), sama ada berhak mewarisi atau tidak, samada mahram atau tidak". (Fathul Bari, 10/414)

Kaum kerabat yang wajib dieratkan ikatan silatu rahim itu termasuklah kerabat mahram dan yang bukan mahram. Dalam Kitab az-Zawajir karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala ada menyebutkan bahawa kaum kerabat itu terbahagi kepada dua iaitu kaum kerabat mahram dan yang bukan mahram:

1. Kaum kerabat mahram ialah saudara yang haram bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.

2. Kaum kerabat dari bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan anak-anak mereka, anak bapa dan emak saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.

Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silatu rahim.” (HR Bukhari)

Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Sesiapa yang suka agar diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silatu rahim.” (HR Bukhari)

Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, "Tidak masuk Syurga, mereka yang memutuskan silatu rahim.” (HR Bukhari dan Muslim)

Wallahu a'lam.

*

Popular Posts