"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Tarikh peristiwa Isra' Mi'raj

*


Para ulamak berselisih pendapat tentang tarikh sebenar berlakunya  peristiwa Isra' Mi'raj.

Dari kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),jilid. 7, ms. 203, Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat para ulama. 

Antara ringkasannya ialah:

1. Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa'd dan selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam al-Nawawi.

2. Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rejab tahun ke 12 kenabian.

3. Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu al-Rabie’ bin Saalim.

4. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn Abdul Bar.

5. Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.

6. Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Faaris.

7. Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah pendapat al-Suddiy.

8. Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar.

9. Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah. Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir.

10. Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’.

Wallahu A'lam.



Link pilihan:

Israk Mikraj Dan Kewajipan Solat

Pesanan Nabi Ibrahim A.S.


*

TARIKH NUZUL AL-QUR’AN

*



TARIKH NUZUL AL-QUR’AN: SATU PERBINCANGAN

Oleh: Dr. Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Sejarah Nuzul Quran

Pendahuluan:

Nuzul Al-Qur’an merupakan satu peristiwa penting berhubung sejarah Al-Qur’an itu sendiri. Justeru, ia mendapat tempat khusus dalam karya-karya Ulum Al-Qur’an (Ilmu-ilmu berkaitan Al-Qur’an ). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul dan tahap-tahap penurunan Al-Quran.
Al-Syaikh Muhammad Abd Al-‘Azim al-Zarqani ada menyatakan bahawa Nuzul al-Qur’an adalah asas keimanan terhadap al-Qur’an itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi SAW.[1]
Nuzul al-Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap utama:
Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekaligus.
Kedua: Nuzul al-Qur’an dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

Berhubung isu Nuzul Al-Qur’an yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan ( Nuzul )? adakah ia bermaksud Nuzul Al-Qur’an pada tahap pertama atau pada tahap kedua?
Jika kita mengumpulkan pendapat para ulama’ Islam dalam isu ini kita akan memperolehi pelbagai pendapat dan huraian.

Pendapat Pertama:
Pendapat yang agak masyhur memilih tanggal 17 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul Al-Qur’an. Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama’ sirah. Antara ulama’ sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah.[2] Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada Rasulullah s.a.w bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan ( dan dikatakan pada 24 Ramadhan). Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah:
روى الواقدي بسنده عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان وقيل في الرابع والعشرين منه[3]
Maksudnya: Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadhan.
Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal Nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “ Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” ( Bermulanya Penurunan Al-Qur’an ), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:
قال ابن إسحاق: فابتدئ رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان )
وقال الله تعالى ( إنا أنزلنه في ليلة القدر… )…وقال تعالى ( إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان ). وذلك ملتقى رسول الله صلى الله عليه وسلم والمشركون ببدر.
قال ابن إسحاق: وحدثني أبو جعفر محمد بن علي بن حسين: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم التقى هو والمشركون ببدر يوم الجمعة، صبيحة سبع عشرة من رمضان.[4]
Maksudnya: Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadhan. Allah Azza Wajalla berfirman ( maksudnya ): Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza ( antara yang haq dan yang batil ). Dan Allah Ta’ala berfirman ( maksudnya ): Sesungguhnya Kami menurunkannya ( Al-Qur’an ) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman ( maksudnya ): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah ( yang dimaksudkan) pertemuan(peperangan ) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu ( memerangi) golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadhan…
Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an ( pada ayat 185, Surah Al-Baqarah ) dengan ‘yaum al-furqan’ ( hari al-Furqan, pada ayat 41, Surah al-Anfal ) yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “ Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa Nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat Kedua: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 7 Ramadhan.

Pendapat Ketiga: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 18 Ramadhan.

Pendapat kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya.

Pendapat Keempat:
Syaikh Safiyy al-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama’ lain. Menurut beliau, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:
1- Semua ulama’ sirah atau majoriti dari kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadith Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim dan lain-lain.
2- Hari Isnin pada tahun Nabi SAW dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadith-hadith yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.
3- Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah:
(إنا أنزلنه في ليلة القدر) dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi SAW dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi SAW, jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.[5]

Pendapat Kelima: Pendapat seterusnya, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut:
قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو العوام عن قتادة عن أبي المليح عن واثلة بن الأسقع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: أنزلت صحف إبراهيم عليه السلام في أول ليلة من رمضان، وأنزلت التوراة لست مضين من رمضان، والإنجيل لثلاث عشرة خلت من رمضان، وأنزل الله الفرقان لأربع وعشرين خلت من رمضان.[6]
Maksudnya: Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an ) pada 24 Ramadhan.
Hadith di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadith di atas bertepatan dengan firman Allah SWT ( Surah al-Baqarah: Ayat 185 ):
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ
Dan firmanNya ( Surah al-Qadr: Ayat 1 ):
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Kata beliau, berkemungkinan Lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi SAW pada malam tanggal 24 Ramadhan di mana Al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia dan pada masa yang sama ( 24 Ramadhan ) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [7]

Al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a katanya: Al-Qur’an diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.[8]
Al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadith tersebut merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[9]

Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadith Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih ada meriwayatkan hadith daripada Jabir Bin ‘Abdullah r.a seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.[10] Beliau juga ada menyebut hadith ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadith Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[11]
Turut menyebut hadith Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan Nuzul Al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.[12]


Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung tanggal Nuzul Al-Qur’an seperti berikut:

1- Pendapat yang menyebut Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi ( m. 207 H ), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang sangat lemah ( matruk ) dan tidak diterima riwayatnya[13]. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.[14]

2- Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan Nuzul Al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadith Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau dengan mengambil kira malam ganjil untuk Malam al-Qadr. Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir Ramadhan.

3- Pendapat yang menyebut bahawa Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
I- Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Dalam hal ini, hadith Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya Nuzul Al-Qur’an.
II- Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.
III- Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadith dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi Nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Penutup:

Kepelbagaian pandangan para ulama’ dalam membincangkan tarikh Nuzul Al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Al-Qur’an Al-Karim. Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegangi. Ruang untuk perbincangan masih terbuka asalkan hati bertekad mencari kebenaran. Dan perbezaan pendapat dalam hal sebegini janganlah sampai membawa kepada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan ummah.

————————————
[1] Lihat: Manahil al-‘Irfan, 1/40
[2] Lihat: al-Mubarakfuri, Syaikh Safiyy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum, Beirut: al-Maktabah al-Thaqafiyyah, h. 77.
[3] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut: Dar al-Fikr, 3/6.
[4] Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah,1/239-240.
[5] Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, h.77
[6] Imam Ahmad,al-Musnad , Beirut: al-Maktab al-Islami 4/107, al-Baihaqi , al-Sunan al-Kubra 9/188, al-Tabarani, al-Mu’jam al-Kabir, No 185. Al-Tabari, Ibn Jarir, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, ( Tahqiq: Ahmad Shakir),al-Qahirah: Dar al-Ma’arif, 3/446, Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No 1575. Lihat: Yasin, Dr. Hikmat Bashir,( 1994 ), Marwiyyat al-Imam Ahmad Bin Hanbal Fi al-Tafsir, Riyadh: Maktabah al-Muayyad, 1/128.
[7] Al-‘Asqalani, Ibn Hajar,( 1988 ), Fath al-Bari, al-Qahirah: Dar al-Rayyan li al-Turath 8/621.
[8] Al-Tabari, Jami’ al-Bayan 3/445.
[9] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad al-Ansari, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut: Muassasah Manahil al-‘Irfan 2/198
[10] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, ( 2004 ),Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub, 2/180, lihat juga: 14/411
[11] Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6
[12] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin,( 1421 H ), Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, Amman: al-Maktabah al-Islamiyyah, h.90
[13] Al-Baghdadi, al-Khatib, Tarikh Baghdad, 3/31, al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman, ( 1992 ), Siyar A’lam al-Nubala’,Beirut: Muassasah al-Risalah, 9/454, 469, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta’dil, 8/20
[14] Lihat: Manahil al-‘Irfan, 1/52.

*

Bid'ah

*

*
Penjelasan Tentang Bid'ah.

Dalam pengertian syari’at, bid’ah adalah:
اَلْمُحْدَثُ الَّذِيْ لَمْ يَنُصَّ عَلَيْهِ الْقُرْءَانُ وَلاَ جَاءَ فِيْ السُّـنَّةِ.
“Sesuatu yang baru yang tidak terdapat penyebutannya secara tertulis, baik di dalam al-Qur’an mau pun dalam hadits”. (Sharih al-Bayan, j. 1, h. 278)

Seorang ulama bahasa terkemuka, Abu Bakar Ibn al-‘Arabi menuliskan sebagai berikut:
لَيْسَتْ البِدْعَةُ وَالْمُحْدَثُ مَذْمُوْمَيْنِ لِلَفْظِ بِدْعَةٍ وَمُحْدَثٍ وَلاَ مَعْنَيَيْهِمَا، وَإِنَّمَا يُذَمُّ مِنَ البِدْعَةِ مَا يُخَالِفُ السُّـنَّةَ، وَيُذَمُّ مِنَ الْمُحْدَثَاتِ مَا دَعَا إِلَى الضَّلاَلَةِ.
“Perkara yang baru (Bid’ah atau Muhdats) tidak pasti tercela hanya kerana secara bahasa disebut Bid’ah atau Muhdats, atau dalam pengertian keduanya. Melainkan Bid’ah yang tercela itu adalah perkara baru yang menyalahi sunnah, dan Muhdats yang tercela itu adalah perkara baru yang mengajak kepada kesesatan”.
*
Imam Asy Syafie mengatakan : Bid'ah itu dua jenis: "Bid'ah yang dipuji (hasanah) dan bid'ah yang dikeji (dholalah / sesat). Apa yang selari dengan Sunnah itu maka ia dipuji dan apa yang bertentangan dengannya maka ia dikeji. (Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim (Lihat Fath al Bari 17/10)

Dalam riwayat lain, Imam Asy Syafie mengatakan : "Perkara-perkara baharu yang diada-adakan itu dua jenis: (pertama) perkara baharu yang bercanggah dengan al Quran atau Sunnah atau athar sahabat atau ijma', maka inilah Bid'ah Dholalah (sesat). Dan (kedua), perkara baharu yang diadakan dari segala kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada empat perkara itu, maka ia adalah bid'ah yang bukan keji (hasanah)" (Muhaddathah ghairu mazmumah) (Riwayat al Baihaqi dengan sanad yang sahih di dalam kitabnya Manaqib Syafi'e (lihat Fath Al Bari 17/10)
*
Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pada bulan Ramadan, jawab beliau: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah melebihi 11 rakaat samada dalam bulan Ramadan atau pun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Al-Imam Jalaluddin al-Mahalli telah berkata di dalam kitab “al-Mahalli”, juzuk 1, halaman 217: Maksudnya: "Dan diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya dengan sanad yang sahih seperti yang dikatakan dalam Syarah al-Muhazzab, bahawasanya sahabat-sahabat Nabi sembahyang [tarawih] pada zaman `Umar bin al-Khattab radiyallahu`anhu sebanyak 20 rakaat".

Khalifah Umar bin Al Khottob radhiyallahu ‘anhu ketika menganjurkan solat tarawih secara berjama’ah di masjid , beliau berkata,
الْبِدْعَةُ هَذِهِ
“Sebaik-baik bid’ah adalah ini”. [HR. Bukhari no. 2010]


Nabi tidak pernah solat malam melebihi 11 rakaat. Tiba-tiba ada sahabat pada zaman Khalifah Umar buat solat Tarawih 20 rakaat berjamaah di masjid. Sahabat tersebut jelas telah melakukan perkara BID'AH. Mustahil Khalifah Umar tak faham tentang bid'ah. Kenapa Khalifah Umar TIDAK MELARANG dan mengatakan mereka sesat ? Kenapa ?


Perbuatan sahabat tersebut jelas adalah bid'ah kerana mereka buat apa yang Nabi dan Khalifah tidak buat, tetapi ia bid'ah hasanah(terpuji & tidak sesat), Khalifah Umar tidak melarang sahabat tersebut dan tidak mengatakan mereka sesat kerana ia bid'ah hasanah.


Sebenarnya yang tidak mengikuti Khulafa arRasyidin itu orang yang MENOLAK bid’ah hasanah. Khulafa arRasyidin sendiri melakukan dan tidak melarang bid’ah hasanah. Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam memerintahkan kita mengikuti Khulafaur Rasyidin. Sementara Khulafaur Rasyidin melakukan bid’ah hasanah. Bererti Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam memerintahkan kita melakukan bid’ah hasanah. Dengan demikian kami yang berpendapat dengan adanya bid’ah hasanah itu sebenarnya mengikuti Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam dan Khulafaur Rasyidin.

Wallahu A'lam.





Link pilihan:

Pengertian Bid'ah

Dalil Bid'ah Hasanah

Hakikat Bid'ah Hasanah

Di bahagian mana Imam Asy Syafie mengucapkan pembahagian bid'ah ?

Bid'ah hasanah dan bidah lughatan

Adakah semua bid'ah adalah sesat ? 

Kullu Bid`atin - Ust. Luthfi

Segera Menyedari Kesalahan Dalam Memahami Bid’ah

Contoh-contoh bid'ah yang diamalkan para sahabat

Dapat Hadiah Emas 

Bid'ah bukan hukum - Video

Bid'ah Hasanah Dan Bid'ah Dholalah - Video
  
https://assunnahfahamku.wordpress.com/2011/12/28/penjelasan-ulama-masyhur-tentang-bidah/

https://generasisalaf.wordpress.com/2013/04/08/bidah-hasanah-dalam-pandangan-imam-syafii/

http://www.aswj-rg.com/2013/12/kritikan-ilmiah-terhadap-buku-drmaza-bidaah-hasanah-istilah-yang-disalah-fahami-bab-1.html


*

Makna Fasiq

*



Orang fasiq ialah orang Islam yang selalu melakukan dosa besar.
Orang fasiq ialah orang Islam yang cenderung pada kemaksiatan.
Orang fasiq ialah orang Islam yang berterusan berbuat dosa/kemaksiatan.
Fasiq ditujukan kepada orang Islam yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Dalam kitab "al-Mathla' 'ala abwabil muqni", karangan , "fasik" didefinisikan : orang Islam yang banyak berbuat maksiat, meninggalkan perintah Allah, keluar dari jalan benar dan agama.


*

Ziarah Makam Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam

*

Ulama telah berijma' bahwa tempat yang dihuni oleh jasad Rasulullah Sallallahu 'Alayhi wa Sallam adalah paling mulia di permukaan bumi, melebihi Ka'bah sekalipun. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu 'Asakir, (Abul Walid) al-Baji dan al-Qadli 'Iyyadl (dengan lafadh "tempat kubur Nabi"), bahkan Tajuddin al-Subki menukil sebagaimana disebutkan oleh al-Sayyid al-Samhudi di dalam kitab Fadloilul Madinah dari Ibnu 'Aqil al-Hanbali bahwa "Tempat yang dikuburkan (qubira) jasad al-Musthofa Shallallahu 'Alayhi wa Sallam juga lebih mulia daripada 'Arsy". Al-Fakihani memperjelas tentang kemuliaannya atas seluruh langit dengan lafadhnya: Aku berkata: "dan juga lebih mulia dari seluruh langit, dan aku tidak melihat ulama yang mengingkari yang demikian".

Syaikh Nuruddin al-Hallabi di dalam al-Sirah al-Halabiyyah juga menerangkan: "Ulama telah berijma' bahwa tempat dimakamkan padanya jasad Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam merupakan tempat paling mulia diseluruh bumi, bahkan lebih mulia dari Ka'bah al-Syarifah. Sebahagian ulama berkata: bahkan lebih mulia dari seluruh langit hingga 'Arsy sekalipun".

Imam Nawawi dalam Al-Majmuk 8/253 menyatakan :
Artinya: Berziarah ke makam Rasulullah itu termasuk ibadah terpenting dan perjalanan paling menguntungkan. Apabila pelaku haji dan umrah selesai ibadahnya dari Makkah, maka sunnah muakkad baginya berangkat menuju Madinah untuk berziarah ke makam Nabi dan berniat ibadah, mengkhususkan perjalan padanya dan membaca salawat di sana. Ketika sedang dalam perjalanan maka hendaknya memperbanyak baca salawat. Ketika mata sudah melihat pepohonan Madinah dan tanah haramnya, maka hendaknya semakin memperbanyak baca salawat pada Nabi agar ziarah ini bermanfaat baginya dan diterima Allah.

Riwayat Baihaqi dari Nafi' :
أن ابن عمر كان إذا قدم من سفر دخل المسجد ثم أتى القبر فقال : السلام عليك يا رسول الله ، السلام عليك يا أبا بكر ، السلام عليك يا أبتاه
Maknanya: Abdullah bin Umar ra bila datang dari perjalanan dan tiba di Madinah maka dia segera masuk Masjid dan mendatangi qubur Nabi Sallallahu 'Alayhi wa Sallam seraya berucap : “Assalamu ‘alaika Yaa Rasulallah, Assalamualaika Yaa Aba Bakr, Assalamu ‘alaika Ya Abataah (wahai ayahku)”.

Al-Hakim meriwayatkan bahwa Rasulullah 
Sallallahu 'Alayhi wa Sallam bersabda:
" لَيَهْبَطَنَّ عِيْسَى بْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلاً وَإِمَامًا مُقْسِطًا وَلَيَسْلُكَنَّ فَجًّا حَاجًّا أوْ مُعْتَمِرًا أوْ بِنِيَّتِهِمَا وَلَيَأْتِيَنَّ قَبْرِيْ حَتَّى يُسَلِّمَ عَلَيَّ وَلأرُدَنَّ عَلَيْه " رَوَاهُ الحَاكِمُ وَصَحَّحَهُ الذَّهَبِيّ
Maknanya: “Sungguh, Nabi Isa ibn Maryam akan turun menjadi penguasa dan Imam yang adil, dia akan menempuh perjalanan untuk pergi haji atau umrah atau dengan niat keduanya dan sungguh, dia akan mendatangi makamku sehingga berucap salam kepadaku dan aku pasti akan menjawabnya" (diriwayatkan oleh al Hakim dalam al Mustadrak dan dishahihkannya serta disetujui oleh adz-Dzahabi).

Hadits sahih atau hasan (menurut Al-Subki) riwayat Tirmidzi, Baihaqi, Al-Barra, Daruqutni, dll. (adz-Dzahabi berkomentar: "Hadits ini menjadi kuat dengan adanya jalur sanad yang berbeda-beda", lihat: Manahil ash-Shafa fi Takhrij Ahadits asy-Syifa karya as-Suyuthi, hlm. 308)

من زار قبري وجبت له شفاعتي
Maknanya: Sesiapa yang berziarah kuburku maka wajib baginya syafaatku.

Wallahu a'lam.


*

Bacaan Pada Hari Arafah

*

Dari Amr bin Syuaib bahwa Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Doa terbaik adalah doa di hari Arafah. Dan ucapan terbaik yang saya dan para nabi sebelum ku ucapkan adalah Laa ilaha il lallah hu wah dahu laa syari kalah, lahul mul ku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syay`in qadir. (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa,Tiada sekutu bagi-Nya, Bagi-Nya kerajaan dan pujian, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu). (HR. At-Tirmizi)

*

Di mana zakat fitrah perlu dibayar ?

*

Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :


إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.


Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]?


Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada].


[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada].


Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.


Huraian:


Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.


Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).


Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu.


Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.


Ittifaq ulama


Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni. Beliau mencatatkan :


فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد

الذي سببها فيه

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.


Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.



Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر


Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).


Keliru 2 zakat :


Adapun 'pendapat' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah pendapat yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.


Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.


Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.


Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).


Wallahu a'lam.


*

Duduk Antara Dua Sujud

*
Sebutan bacaan yang betul.. lii.. nii, dibaca panjang sedikit (dua harkat)..


*

Hukum Mandi Telanjang

*

Hukum mandi dalam keadaan membuka aurat adalah dibolehkan di tempat yang tertutup.

Berkata Imam an-Nawawi : “Ada pun membuka aurat pada ketika sunyi dengan makna tidak dilihat oleh seseorang pun, jika kerana hajat, maka dibolehkan. Dan jika bukan kerana hajat, maka terdapat khilaf ulama tentang makruh dan haramnya. Pendapat yang lebih sahih menurut kami adalah haram”. (Syarah Muslim, Dar Ihya at-Turatsi al-Araby, Beirut, Juz. IV, Hal. 32)





*

Pintu Tawaduk

*

"Setelah bertahun-tahun menuntut ilmu, seorang pemuda menyatakan hasrat kepada ayahnya untuk mengajar akan ilmu yang telah beliau pelajari akan tetapi dihalang oleh ayahnya. Ayahnya menyuruh pemuda itu untuk pergi ke pasar mencari orang yang lebih rendah kedudukan daripada dirinya."

"Maka pemuda itu pergi ke pasar dan mencari seseorang yang lebih jahil dari dirinya. Akhirnya beliau menjumpai lelaki tua yang sedang memegang botol arak, lalu tibanya waktu solat seluruh penduduk di pasar pergi ke masjid menunaikan solat. Sekembalinya dari solat, pemuda itu mendapati lelaki tua itu masih memegang botol arak dan juga tidak menunaikan solat. Berkata di dalam hatinya pasti ini lebih jahil dariku. "

"Sebelum mendekati lelaki tua itu terdetik di hati pemuda itu mengatakan "lelaki tua ini jauh lebih tua dari aku, dia telah islam dulu sebelum aku, mungkin saja ini baru hari pertama melakukan dosa sedangkan mungkin bertahun-tahun sebelumnya dia melakukan amal kebaikan. Jika beliau meninggal mungkin timbangan pahalanya lebih berat daripada dosanya. Pemuda itu meninggalkan lelaki tua itu dan teruskan mencari."

Akhirnya pemuda itu bertemu dengan seekor anjing dan berkata "pasti saja aku lebih mulia dari anjing ini, anjing ini tidak berakal" Lalu terdetik dalam hatinya "di Yaumal Mahsyar kelak, aku akan disoal di hadapan Allah SWT tetapi anjing ini tidak, aku akan dihisab oleh Allah tetapi anjing ini tidak, aku akan melintasi titian sirat tetapi anjing ini akan hilang begitu sahaja menjadi debu."

"Andai aku gagal melintasi titian sirat nescaya diriku lebih hina dan anjing ini lebih mulia daripada aku. Beliau pulang ke rumahnya ditanya oleh ayahnya "Kamu sudah jumpa orang yang jahil dari kamu..?" kata pemuda itu "Tidak, aku tidak jumpa seorang pun yang lebih jahil daripada aku melainkan aku merasa diriku lebih jahil dari orang lain."

"Kata bapanya, "sesungguhnya kamu telah masuk kepada pintu tawadduk, keluarlah untuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat"

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

*

Tempoh Haid

*

Imam al-Ramli menjelaskan, menurut ulama bermazhab Syafi'i tempoh minima haid seorang wanita ialah sehari semalam dan maksima 15 hari. Darah yang keluar melebihi 15 hari dikira darah istihadah (darah penyakit). (al-Ramli, Nihayat al-muhtaj, jil. 1, hlm. 325)

*

Popular Posts