"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Bacaan Pada Hari Arafah

*

Dari Amr bin Syuaib bahwa Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Doa terbaik adalah doa di hari Arafah. Dan ucapan terbaik yang saya dan para nabi sebelum ku ucapkan adalah Laa ilaha il lallah hu wah dahu laa syari kalah, lahul mul ku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syay`in qadir. (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa,Tiada sekutu bagi-Nya, Bagi-Nya kerajaan dan pujian, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu). (HR. At-Tirmizi)

*

Di mana zakat fitrah perlu dibayar ?

*

Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :


إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.


Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]?


Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada].


[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada].


Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.


Huraian:


Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.


Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).


Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu.


Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.


Ittifaq ulama


Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni. Beliau mencatatkan :


فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد

الذي سببها فيه

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.


Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.



Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر


Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).


Keliru 2 zakat :


Adapun 'pendapat' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah pendapat yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.


Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.


Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.


Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).


Wallahu a'lam.


*

Duduk Antara Dua Sujud

*
Sebutan bacaan yang betul.. lii.. nii, dibaca panjang sedikit (dua harkat)..


*

Hukum Mandi Telanjang

*

Hukum mandi dalam keadaan membuka aurat adalah dibolehkan di tempat yang tertutup.

Berkata Imam an-Nawawi : “Ada pun membuka aurat pada ketika sunyi dengan makna tidak dilihat oleh seseorang pun, jika kerana hajat, maka dibolehkan. Dan jika bukan kerana hajat, maka terdapat khilaf ulama tentang makruh dan haramnya. Pendapat yang lebih sahih menurut kami adalah haram”. (Syarah Muslim, Dar Ihya at-Turatsi al-Araby, Beirut, Juz. IV, Hal. 32)





*

Pintu Tawaduk

*

"Setelah bertahun-tahun menuntut ilmu, seorang pemuda menyatakan hasrat kepada ayahnya untuk mengajar akan ilmu yang telah beliau pelajari akan tetapi dihalang oleh ayahnya. Ayahnya menyuruh pemuda itu untuk pergi ke pasar mencari orang yang lebih rendah kedudukan daripada dirinya."

"Maka pemuda itu pergi ke pasar dan mencari seseorang yang lebih jahil dari dirinya. Akhirnya beliau menjumpai lelaki tua yang sedang memegang botol arak, lalu tibanya waktu solat seluruh penduduk di pasar pergi ke masjid menunaikan solat. Sekembalinya dari solat, pemuda itu mendapati lelaki tua itu masih memegang botol arak dan juga tidak menunaikan solat. Berkata di dalam hatinya pasti ini lebih jahil dariku. "

"Sebelum mendekati lelaki tua itu terdetik di hati pemuda itu mengatakan "lelaki tua ini jauh lebih tua dari aku, dia telah islam dulu sebelum aku, mungkin saja ini baru hari pertama melakukan dosa sedangkan mungkin bertahun-tahun sebelumnya dia melakukan amal kebaikan. Jika beliau meninggal mungkin timbangan pahalanya lebih berat daripada dosanya. Pemuda itu meninggalkan lelaki tua itu dan teruskan mencari."

Akhirnya pemuda itu bertemu dengan seekor anjing dan berkata "pasti saja aku lebih mulia dari anjing ini, anjing ini tidak berakal" Lalu terdetik dalam hatinya "di Yaumal Mahsyar kelak, aku akan disoal di hadapan Allah SWT tetapi anjing ini tidak, aku akan dihisab oleh Allah tetapi anjing ini tidak, aku akan melintasi titian sirat tetapi anjing ini akan hilang begitu sahaja menjadi debu."

"Andai aku gagal melintasi titian sirat nescaya diriku lebih hina dan anjing ini lebih mulia daripada aku. Beliau pulang ke rumahnya ditanya oleh ayahnya "Kamu sudah jumpa orang yang jahil dari kamu..?" kata pemuda itu "Tidak, aku tidak jumpa seorang pun yang lebih jahil daripada aku melainkan aku merasa diriku lebih jahil dari orang lain."

"Kata bapanya, "sesungguhnya kamu telah masuk kepada pintu tawadduk, keluarlah untuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat"

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

*

Tempoh Haid

*

Imam al-Ramli menjelaskan, menurut ulama bermazhab Syafi'i tempoh minima haid seorang wanita ialah sehari semalam dan maksima 15 hari. Darah yang keluar melebihi 15 hari dikira darah istihadah (darah penyakit). (al-Ramli, Nihayat al-muhtaj, jil. 1, hlm. 325)

*

Bacaan Al - Fatihah Bersanad

*
Mari menghayati dan ikut pergerakkan mulut Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih dalam bacaan Al-fatihah dgn betul. Syeikh ni merupkan manusia yang memegang sanad tertinggi dan telah diiktiraf oleh para ulama', beliau mempunyai bacaan yang paling tepat bacaannya di dunia ini. Sanadnya bersambung/bercantum dengan Rasulullah.

.


 Alhamdulillah. 

 *

Qaza' Dilarang Dalam Islam.

*

Mencukur sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain namanya Qaza'. Ia dilarang dalam Islam. (Rujuk Hadith Sohih Al Bukhari & Muslim)

Jika mahu mencukur cukur semuanya atau tinggalkan semuanya. Imam An Nawawi menyatakan Ijmak Ulama adalah dilarang, makruh karahah tanzihiyyah, melakukan Qaza' ini.

Jika tujuan melakukan style Qaza' ini mengikut gaya Yahudi maka ia haram yang jelas.

*

Tujuan ziarah maqam aulia

*

Seorang bertanya kepada al-Habib Umar bin Hafidz, dia menanyakan : Kenapa ziarah maqam Aulia..??!!! Sedangkan mereka tiada memberi kuasa atau manfaat apa-apa dan tempat meminta hanya pada Allah…??!”

Al-Habib Umar bin Hafidz lantas menjawab : “Benar wahai saudaraku, aku juga berpendapat sama denganmu, bahwa mereka tiada mempunyai kekuasaan dan manfaat apa-apa. Tetapi sedikit perbezaan ku dengan dirimu, kerana aku lebih senang menziarahi mereka kerana bagiku mereka tetap hidup dalam membangkitkan jiwa yang mati ini untuk cinta kepada Allah...!!!

Tapi aku sangat heran, kenapa engkau tiada melarang aku menziarahi ahli dunia, mereka juga tiada kuasa dan manfaat apa-apa. Bahkan duduk dgn mereka mematikan hati dan membuat lupa pada Allah. Yang mana kehidupan mereka bagiku seperti mayat yang berjalan. Rumah dan tempat tinggal mereka adalah tempat yang tiada membangkitkan jiwa untuk cinta pada Allah.

Hakekat kematian dan kehidupan di sisi Allah adalah jiwa. Banyak mereka yang dilihat hidup tapi sebenarnya mati, banyak mereka yang dilihat mati tapi sebenarnya hidup, banyak yang menziarahi pusara terdiri dari orang yang mati, sedangkan dalam pusara itulah orang yang hidup.Aku lebih senang menziarahi maqam kekasih Allah dan para syuhada' walaupun hanya pusara, tetapi ia mengingatkan aku akan kematian, kerana ia mengingatkan aku bahwa hidup adalah perjuangan, kerana aku dapat melihat jiwa mereka ada perjuangan cinta yang hebat sehingga mereka dicintai oleh Tuhannya lantaran kebenaran cinta mereka. Wahai saudaraku, ku ziarah maqam Aulia, kerana pada maqam mereka ada cinta, lantaran Cinta Allah pada mereka, seluruh tempat bersimpuh mereka dicintai Allah. Cinta tiada mengalami kematian, ia tetap hidup dan terus hidup dan akan melimpah kepada para pencintanya.

Aku berziarah kerana sebuah cinta, juga kerana ingin mengambil semangat mereka, agar aku dapat mengikuti mereka dalam mujahadahku. Aku mengangkat tangan di sisi maqam mereka, bukan meminta kuasa/manfaat dari mereka, akan tapi memohon kepada Allah agar aku juga dicintai Allah, sebagaimana mereka dicintai Allah.


*

Semut Bertasbih

*


Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda:

قرصت نملةٌ نبيًّا من الأنبياءِ ، فأمر بقريةِ النملِ فأُحْرِقت، فأوحى اللهُ إليه: أن قرصتك نملةٌ أحْرَقتَ أُمةً من الأُممِ تُسَبِّحُ؟

"Seekor semut menggigit seorang Nabi. Lalu, Nabi tersebut memerintahkan supaya perkampungan semut itu dibakar. Lalu Allah Ta'ala mewahyukan kepada Nabi tersebut: Hanya seekor semut yang menggigitmu, (kenapa) engkau membakar SATU UMAT daripada pelbagai UMAT YANG BERTASBIH? " [Shahih Bukhari (3309), Shahih Muslim (2241)]

*

Nasihat atau Menghina ?

*

"Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, dia sebenarnya sedang menghinamu" (Imam As-Syafie)

Ibnul Mubarok berkata: "Dahulu seseorang (para sahabat) apabila melihat pada saudaranya terdapat hal yang tidak dia sukai dia menasihatinya atau melarangnya dengan sembunyi, sehingga dia diberi pahala atas rahsia dan larangannya. Ada pun hari ini, apabila seseorang melihat apa yang dia tidak sukai, dia membuat marah saudaranya dan dia sebarkan aibnya." (Roudhotul Uqola' hlm. 197)

*

Subhanallah Walhamdulillah Walailaha illallah Wallahu Akbar

*

"Lazimkan membaca subha nallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar, kerana semua itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana gugurnya daun dari pohon". (HR Ibnu Majah)

Dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Saya bertemu dengan Nabi Ibrahim عليه السلام – ketika malam saya diisra’kan dan Baginda bersabda: Wahai Muhammad, sampaikanlah salam dari padaku kepada umatmu, dan beritahukanlah kepada mereka, bahawasanya syurga itu subur tanahnya, manis airnya, terhampar luas dan tanamannya adalah ucapan zikir, سُبْحَانَ اللهِ ، وَالْحَمْدُ ِللهِ ، وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ ، وَاللهُ أَكْبَرُ (Subhanallahi walhamdulillah walaa ilaaha illallahu wallahu akbar). (HR At Tirmidzi)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bertemu dengannya. Dia sedang menanam tanaman, lalu Rasulullah bertanya, "Apa yang sedang engkau tanam ?" Aku menjawab, "Satu tanaman wahai Rasulullah". Rasulullah bersabda, "Mahukah aku beritahu tanaman yang lebih baik dari ini ?" Tanaman itu ialah Subhanallah, Walhamdulillah, Walailaha illallah, Wallahu Akbar (Maha suci Allah, segala puji bagi-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar). Setiap satu bacaan akan ditanam untukmu sebatang pokok di Syurga. (HR At Tirmidzi)

*

Selamat Tahun Baru Hijriyah

*

Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar Islam. Bila tiba bulan Muharram maka tibalah tahun baru. 

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan-bulan Haram.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras di dalam bulan Haram. Amal kebaikan yang dilakukan dalam bulan Haram akan dibalas dengan balasan yang lebih besar.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Menurut Imam al-Razi RH: Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar. (al-Razi, jil.16, ms. 53).


Selamat menyambut tahun baru.  Moga Allah memberkati kita.




Link pilihan:

Doa Awal Tahun

Kelebihan Bulan Muharram

Maksud Maal Hijrah




*

Popular Posts