"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Nama anak & isteri Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam

*


Isteri-isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam :
1. Khadijah binti Khuwailid
2. Saudah binti Zum'ah
3. Aisyah binti Abu Bakar
4. Hafsah binti Omar Al-Khattab
5. Zainab bin Jahsyin
6. Zainab binti Khuzaimah
7. Ummu Salamah (Hindon binti Abi Umaiyah)
8. Ummu Habibah (Ramlah binti Abi Sufian)
9. Juwairiyah binti Al-Harith
10. Maimunah binti Al-Harith
11. Safiah binti Hoiyi bin Ahtab
12. Mariyah Al-Qibtiyah

Hanya seorang sahaja isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang gadis ketika berkahwin dengan baginda iaitu Aisyah binti Abu Bakar Al-Siddiq. Manakala yang lainnya adalah janda atau balu yang kematian suami.

Anak-anak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan Khadijah :
1. Al-Qasim
2. Abdullah
3. Zainab
4. Ruqaiyah
5. Ummu Kalthum
6. Fatimah

Anak Rasulullah dengan Mariyah Al-Qibtiyah :
1. Ibrahim

Dipetik dari buku soal jawab berkaitan Rasullulah oleh Hj Ahmad bin Haji Awang

Allah humma Solli Wa sollim 'ala Sayyidina Muhammad, Wa 'ala ali Sayyidina Muhammad.




Link pilihan:

Tarikh sebenar hari kelahiran Nabi Muhammad



*

Tasawuf

*

Sayyidina ali pernah berkata, ramai orang yang menyembah Allah kerana mengharapkan balasan. Ibadah dilakukan sebagai suatu perlaburan agar suatu masa nanti Tuhan membayar hasil ibadah itu kepada mereka. Imam Ali mangatakan ibadah orang yang mengharapkan pahala sebagai seorang pedagang.

Ada juga orang menyembah Tuhan kerana takut akan siksa-Nya. Menurut Sayyidina Ali, ibadah mereka ini seperti pengabdian seorang hamba kepada seorang tuannya.

Ibadah yang hakiki adalah ibadah kerana cinta. Itulah ibadah orang yang merdeka.

Tasawuf adalah ilmu cara menyembah Tuhan bukan kerana mengharapkan pahalaNya atau takut kerana siksaNya, melainkan kerana kecintaan kepadaNya.

*

Kisah khusyuk dalam solat

*

Telah diterima berita keterangan tentang Muslim ibn Yasaar Al-basri Al-umawi Al-makki mafhumnya "Apabila beliau telah memulakan solat, beliau telah tidak lagi mendengar desiran bunyi daripada suara dan tidak juga mendengar daripada perkara yang lainnya lantaran terikat, sibuk, bertawajjuh sepenuhnya dalam solatnya dan lantaran amat takutnya akan Allah 'Azza Wa Jalla".

Juga diterima khabar mengenai Sa'id Ibn Mu'az yang mengatakan "Tidak pernah aku bersolat di mana aku memikirkan sesuatu daripada urusan dunia di dalam solatku itu sampai aku selesai".



Link pilihan:

Hukum khusyuk dalam solat

Tips untuk khusyuk dalam solat




*

Kita hambaNya

*

Allah sangat suka bila kita memujiNya.
Allah sangat suka bila kita ingat kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita meminta minta kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita menyahut seruanNya.
Allah sangat suka bila kita menjauhi laranganNya.
Allah sangat suka bila kita menjunjung perintahNya.
Allah sangat suka bila kita menyembahNya.
Allah sangat suka bila kita sujud kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita menyedari kita adalah hambaNya.


*

Syukurlah kepada Allah

*

Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa.

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yang bertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.

"Sesiapa tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak, sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala." (HR. Ahmad)

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Sesungguhnya Nabi shollallahu 'alaihi wasallam mengerjakan solat malam hingga kakinya bengkak-bengkak. Aisyah ra. bertanya kepada Baginda: Mengapa melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang ? Baginda menjawab: Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?” (HR Bukhari).

Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak tahu mengenang jasa.


*

Jihad wanita


*

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?" Rasulullah bersabda: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya." (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani)





Link pilihan:

Kelebihan Mati Syahid

Wanita Solehah


*

Aku sedang diperhatikan oleh Allah

*
Kita perlu SENTIASA SEDAR bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

SENTIASA INGAT bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Jangan lupa, leka, lalai bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Ini adalah antara cara asas untuk mendapat kekuatan iman.
Ini juga antara cara agar lebih khusyuk dalam ibadah.
Ini juga antara cara agar dapat hindari maksiat.

LATIHlah hati supaya selalu berkata , “Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.

“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.


"Iman paling afdhal ialah apabila kamu mengetahui bahwa Allah selalu menyertaimu di mana jua kamu berada". (HR Ath-Thobari)

*

Jangan Buat Dosa

*

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa. Ia lambang kekukuhan iman.

"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang kuat beribadah." (HR. Abu Ya'la)

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama.Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan laranganNya. Kita mudah lihat yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Bersolat tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat.

Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang menyelamatkan orang islam yang lain dari gangguan lidahnya dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah". (Riwayat Bukhari)


Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."

Wallahu a'lam.




*

Siapa musuh kita ?

*


Walaupun sedar bahawa sedang diperhatikan oleh Allah tetapi masih juga kerap lakukan maksiat.

Walaupun rasa takut azab Allah tetapi tetap juga selalu buat dosa.

Masih tinggalkan solat.
Masih tidak menutup aurat dengan sempurna.
Masih bercakap bohong.
Masih hasad dengki.
Masih suka cerita keburukan orang lain.
Dan banyak lagi...

Sepatutnya apa jua yang Allah suruh kita mesti taat dan amalkan sebab Allah adalah tuhan yang menciptakan kita.

Apabila kita tidak taat perintah Allah bermakna kita telah ikut kehendak musuh.

Musuh kita adalah iblis dan nafsu.

Musuh mesti dikalahkan, bukan diikut.

*

Cara lawan Nafsu

*


Menurut Imam al-Ghazali: Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa. Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang juga boleh membelenggunya sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan peranannya. Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang akan mendatangkan kecelakaan, ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan sekali-kali diberi muka dan dilayani keinginannya.

Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali telah menganjurkan cara untuk menjinakkan nafsu :

1) Setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan.

Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung atau ditambat, ia menjadi jinak juga akhirnya. Lemahkan tenaganya agar ia tidak liar. Amalan berpuasa akan membuatkan badan menjadi lemah dan sekaligus melemahkan keinginan nafsu. Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

2) Diberikan tekanan atau deraan yang berat ke atasnya.

Umpama kaldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya, nescaya ia menjadi lemah dan akan menurut perintah. Cara mendera nafsu ialah dengan banyak melakukan ibadah. Terus menerus melakukan ibadah dengan harapan kemanisan beribadah dapat menjinakkan keinginan nafsu.

3) Mohon bantuan Allah.

Hendaklah berdoa, perlindungan daripada Allah Taala agar terselamat daripada angkara nafsu jahat (nafsu ammaratun bil-su`). Sesungguhnya dengan pertolongan Allah jua, kita akan berjaya.



Nafsu adalah ibarat kuda liar, sukar dikawal, merbahaya dan boleh memudaratkan. Walau bagaimanapun dengan latihan yang betul, ia boleh dijinakkan, dikawal dan memberi banyak manfaat.

Seorang cendekiawan Islam berkata,"Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".

Imam Al-Ghazali mengatakan, "kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia itu lebih daripada haiwan dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia itu lebih daripada Malaikat."


Imam Al-Ghazali mengatakan, "antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."  


Wallahu a'lam.




Link pilihan :

Penyakit Nafsu dan Penawarnya

Genta Rasa - Lawan Hawa Nafsumu 


*

Wukuf di Arafah (9 Zulhijjah)

*

Salah satu rukun ibadah haji ialah wukuf. Wukuf bererti berada di Padang Arafah pada tarikh 9 Zulhijjah. Jika gagal untuk berada di Arafah pada 9 Zulhijjah maka ibadah haji tidak sah. Wukuf di Arafah hanya boleh dilakukan pada tarikh 9 Zulhijjah sahaja. Oleh itu tarikh 9 Zulhijjah dikenali sebagai  Hari Arafah.

- Hari Arafah hari istimewa.
Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda; "Tidak ada suatu hari dimana Allah Taala paling banyak membebaskan hambaNya dari Neraka selain dari hari Arafah (9 Zulhijjah)." (HR. Muslim)

- Pujian Allah bagi orang yang wukuf di Arafah.
“Sesungguhnya Allah SWT. memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penduduk langit dan berkata kepada mereka : “ Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.“.(HR. Ahmad)

- Digalakan berpuasa kepada yang tidak menunaikan haji.
Dari Abu Qatadah Al-Anshari -radhiallahu anhu- dia berkata:
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ , فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah)? maka Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab : Dikaffarah(diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (HR. Muslim no. 1162)

- Digalakan berdoa pada Hari Arafah.


Dari Amr bin Syuaib bahwa Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Doa terbaik adalah doa di hari Arafah. Dan ucapan terbaik yang saya dan para nabi sebelum ku ucapkan pada hari itu adalah Laa ilaha il lallah hu wah dahu laa syari kalah, lahul mul ku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syay`in qadir. (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa,Tiada sekutu bagi-Nya, Bagi-Nya kerajaan dan pujian, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu). (HR. At-Tirmizi)


Wallahu a'lam.






Link pilihan:

Keajaiban di Padang Arafah

Kelebihan Bulan Zulhijjah


Hari Raya 'idil Adha


Haji Mabrur





*

Allah Pemberi Rezeki

*

Diceritakan oleh Syeikh Malik bin Dinar bahawa ketika beliau sedang makan di dalam rumah, tiba-tiba beliau terpandang seekor kucing datang meluru ke arahnya. Lantas mengambil seketul daging dari pinggannya lalu melarikan diri.

Beliau terperanjat melihatkan yang demikian. Walau bagaimana pun beliau terus bangun lalu mengikut dari belakang ke manakah si kucing tadi membawa seketul daging tersebut. Rupa-rupanya si kucing berlari sambil menggigit seketul daging menuju ke sebuah lubang. Bila sampai di depan lubang tersebut si kucing pun mencampakkan daging yang digigitnya itu. Lalu berundur sedikit ke belakang. Tidak lama kemudian rupa-rupanya keluar seekor ular yang buta kedua matanya lalu memakan daging tersebut.

*

Baik Akhlak

*

“Aku diutus oleh Allah ialah untuk menyempurnakan akhlak.” (HR.Ahmad)

Anas bin Malik ra. mengatakan : "Selama sepuluh tahun saya melayani rasulullah, belum pernah saya ditegur : mengapa engkau berbuat ini ? atau mengapa engkau tidak mengerjakan itu ?” (HR. Bukhari dan Muslim).

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Tirmidzi)

“Sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dan yang paling dekat padaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR. Tirmidzi)

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Muslim)

“Bertaqwalah kepada Allah dimana jua engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik niscaya kebaikan itu akan menutupi keburukan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

"Sebab yang paling  banyak orang masuk syurga. ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

Yang paling memberatkan mizan (timbangan) pada hari kiamat adalah akhlak yang baik.” (HR. Ahmad)

"Aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya". (HR Abu Dawud)

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah: Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan. (Kitab: Min Adab al-Islam).

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Fathi: Ibnu Mubarak berkata: Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu. (Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).




*

Jangan Cerita Aib Orang

*

"Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi iman belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-intai cacat cela mereka, sesungguhnya sesiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah nescaya Allah akan bukakan pekungnya walaupun di tengah rumahnya sendiri. " (HR Abu Daud)

"Sesiapa menceritakan sesuatu tentang satu kaum, sedang mereka itu tidak suka, maka kelak di hari kiamat kedua telinganya akan dituangi cairan timah." (HR Bukhari)

"Sesiapa yang mendengar saudaranya diumpat tetapi dia tidak membelanya padahal dia mampu, maka dia ikut menanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat. (Hadith Asfahani)


Moga ada manfaat.



Link pilihan:

Tutup Aib Sesama Islam

Berbaik-baik Sesama Islam



*

Cerita keburukan orang

*

Jika kita cerita keburukan orang lain tetapi cerita tersebut tidak benar, ia dinamakan FITNAH. Membuat fitnah adalah berdosa.

Jika kita cerita keburukan orang lain dan cerita tersebut memang benar, ia dinamakan  GHIBAH(mengumpat). Mengumpat pun berdosa.

"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya." (HR. Muslim).

"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (HR. Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

*

Amar Makruf Nahi Mungkar

*



Dari Anas r.a, kami para sahabat r.a bertanya: Ya Rasullullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, kami tidak akan menyuruh orang untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan menjauhi semua kemungkaran. Maka Nabi bersabda: Tidak, bahkan serulah orang untuk berbuat baik, walaupun kalian belum mengamalkan semuanya. Dan cegahlah kemungkaran, walaupun kalian belum menghindari semuanya. (HR. Thabrani)

Saidatina 'Aishah r.ha. berkata : "Ada sekali Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam masuk ke rumah dan saya agak dari air mukanya bahawa sesuatu telah berlaku kepadanya. Baginda tidak bertutur kepada sesiapa pun, dan setelah berwudhu beliau masuk ke mesjid. Saya cuba dengar dari belakang dinding apa yang beliau bersabda. Beliau duduk di atas mimbar dan setelah memuji Allah s.w.t. beliau berkhutbah: " Hai manusia Allah telah memerintah kamu supaya menyuruh orang berbuat baik dan melarang mereka dari melakukan maksiat; kalau tidak, akan tiba satu masa manakala kamu berdoa kepadaNya, Dia tidak akan mendengari doa mu; kamu akan memohon keperluanmu dariNya tetapi Dia tidak akan memberinya; kamu akan memohon akan bantuanNya terhadap musuh-musuh kamu, tetapi Dia tidak akan membantu kamu." ( H.R. Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).



*

Apa itu Taqwa ?

*



Seorang lelaki bertanya kepada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu: "Apakah taqwa ?" Abu Hurairah menjawab: "Adakah engkau pernah melalui jalan yang mempunyai duri? Katanya: "Ya, pernah" Abu Hurairah berkata lagi: "Bagaimana engkau buat" Katanya: "Jika aku melihat duri, aku berpaling daripadanya, atau aku lepasinya, atau aku menahan diri daripadanya" Abu Hurairah berkata: "Itulah taqwa" (Ad Dur al Manthur 1/61. Kata As Suyuti: Diriwayatkan oleh Ibn Abi ad Dunya dalam kitab at Taqwa.)




Link pilihan:

Makna Taqwa



*


Kepalsuan Fadilat Tarawih

*

Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat solat tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang solat tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan solat tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi, sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan solat yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad  seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan solat zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan solat solat asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan solat yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan solat. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersolat bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan
Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH shallaAllahu `alaihi wa sallam.




Artikel pilihan: 

Kelebihan Solat Tarawih - SAHIH

Fadhilat Sahih Solat Tarawih - SAHIH




*

Semua Orang Islam Saudara Ku

*


Semua orang Islam adalah bersaudara. Bukan separuh tetapi semua. Tidak kira bangsa apa, dari negara mana, jika beragama Islam maka kita bersaudara.

Setiap orang Islam mesti berbaik-baik, menyintai dan sayang menyayangi antara satu sama lain.

Nabi Muhammad sallallahu `alaihi wa sallam bersabda : "Tiada sempurna iman seorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia cintai dirinya sendiri." (HR Bukhari dan Muslim)

Setiap kali melihat orang Islam, katakan, "Dia saudara ku, aku sayang kamu seperti aku sayangkan diriku sendiri".


*

Panjang angan-angan

*

MENGIKUT ulamak, kalbu manusia mempunyai kira-kira 90 ciri yang terpuji dan 90 ciri yang terkeji. Antara ciri-ciri kalbu yang terkeji itu ialah : panjang angan-angan (thulul-amal), takutkan mati, cintakan dunia.

Panjang Angan-angan : Maksud "panjang angan-angan" di sini ialah: "Menaruh anggapan bahawa maut masih lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan berlaku bila-bila masa sahaja".

Anggapan ini dikira sebagai penyakit kalbu - Penyakit Panjang Angan-angan.
Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit kalbu yang kronik. Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia yang fana ini, sehingga terlupa kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di akhirat yang abadi.

Ulamak mengatakan, orang yang panjang angan-angan dikuasai keinginan untuk hidup dalam jangka waktu yang panjang. Malah seolah-olah merasakan dirinya akan hidup selama-lamanya dan merasakan dia pasti berjaya mencapai angan-angannya itu. Dia tidak memikirkan tentang kemungkinan dia akan mati bila-bila masa sahaja. Kata-kata dan tindak tanduknya mencerminkan, bahawa dia akan terus hidup berpanjangan. Dengan yang demikian, dia dikira melakukan maksiat.

Ulamak membahagikan panjang angan-angan itu kepada dua jenis:
angan-angan am, angan-angan khas.

Angan-angan Am :
Angan-angan ini adalah angan-angan orang awam yang ingin hidup lama dan lupa kepada kematian dirinya. Tujuan hidupnya semata-mata untuk menumpul harta dunia dan bersedap-sedap dengan ni'mat duniawi. Hal ini juga dikatakan sebagai perbuatan maksiat.

Panjang angan-angan dalam pengertian tersebut akan mendatangkan sekurang-kurangnya empat kesan buruk :

Pertama, hilang atau amat kurang ketaatan beribadat atau segan mengamalkannya. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku akan melakukan taat (ibadat) juga kemudian nanti. Hari esok masih ada, masa masih panjang. Pasti tidak akan terluput aku daripada
mengerjakannya!". Mengikut ulamak : Angan-angan seperti ini memutuskan segala kebajikan. Sesiapa yang panjang angan-angannya, maka buruklah amalannya.

Kedua, enggan bertaubat atau menangguhkannya. Orang yang berkenaan akan berkata, "Aku akan bertaubat nanti apabila ada kelapangan masa. Sekarang aku masih muda. Masa masih panjang untuk aku bertaubat nanti". Oleh kerana hatinya didedahi oleh penyakit panjang angan-angan, tidak terlintas langsung di hatinya, kemungkinan nyawanya akan disambar maut bila-bila masa sahaja sebelum dia bertaubat. Ketiga, menjadi tamak dan haloba dalam mengumpul harta dan sibuk dengan urusan duniawi sehingga terlupa kepada urusan (kewajipan) ukhrawi. Orang yang terlibat akan berkata, "Aku takut jadi papa
apabila tua dan tidak terdaya lagi bekerja. Oleh sebab itu harta yang lebih perlu dikumpul sekarang untuk bekalan hari tua nanti". Sekali imbas, kata-katanya itu baik, tetapi sebenarnya dia kehilangan keyakinan terhadap peruntukan rezeki daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kata-katanya itu mengandungi rasa tamak terhadap harta dunia, sedang harta (rezeki) yang telah dimilikinya sudah mencukupi. Seterusnya, orang berkenaan akan menjadi cuai beribadat dan menjadi bakhil (satu lagi unsur penyakit hati yang dikira sebagai maksiat). Sufian al-Tsauri pernah bermadah: "Jangan engkau loba kepada dunia agar engkau menjadi orang yang memelihara agama Allah".

Keempat, menjadi keras hati, lupakan mati dan akhirat. Seterusnya, apabila sudah keras hati dan lupakan mati, maka amat kuranglah melakukan kerja taat kepada Allah, lambat bertaubat dan banyaklah melakukan kemungkaran dan kerja-kerja maksiat yang lain.

Angan-angan Khas : Angan-angan jenis yang kedua ini ialah angan-angan para ulamak yang memerlukan hidup lama untuk mengerjakan amal kebajikan. Bagaimana pun, dalam berangan-angan demikian, ulamak akhirat masih merasakan diri mereka di dalam ancaman bahaya. Mereka khuatir kalau-kalau amalan mereka tidak akan menghasilkan kebajikan kepada mereka, kerana kadang-kadang dalam melaksanakan satu-satu kebajikan itu mereka mungkin terjatuh ke dalam maksiat batin yang membinasakan kebajikannya itu, iaitu apabila kalbu mereka diserang oleh penyakit riyak, ujub, hasad dan sebagainya. Hamba Allah yang mengerjakan solat, puasa, zakat, haji atau sebagainya itu belum pasti dia mendapat kebajikan atau sebaliknya. Kepastiannya termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib yang segala manusia tidak mengetahuinya. Hukum penentuan, sama ada baik atau jahat, semuanya daripada Allah Taala.Sebab itu hamba Allah dianjurkan supaya menguatkan azam dan menaruh niat terpuji (al-niyatul-mahmudah) apabila mengerjakan ibadat.

Niat terpuji (al-niatul-mahmudah) : Para ulamak mengatakan: Niat yang terpuji itu merupakan keazaman untuk melaksanakan amal ibadat dengan menyerahkan kejayaan, kesempurnaan dan kebajikannya kepada Allah. Niat yang terpuji ini penting, kerana sebelum kita memulakan amalan itu belum ada apa-apa kebimbangannya. Semasa mengerjakannya atau selepasnya baharulah ada kebimbangannya.

Ada dua kebimbangan di kalbu semasa atau selepas mengerjakan amalan, iaitu: sama ada pelaksanaan amalan itu berjaya atau gagal . sama ada hasil pelaksanaannya akan mendatangkan kebajikan atau akasnya. Justeru, sebelum memulakan sesuatu amalan, wajib kita meletakannya di bawah andaian dan kekecualian (istitsnak) yang tertakluk kepada qudrat-iradat Allah Taala dengan melafazkan ucapan "insyaAllah ...." di samping pasrah kepada Allah (tafwid). Dengan yang demikian, maka tumbuh dan suburlah niat terpuji tersebut dan sekali gus terselamatlah daripada penyakit panjang angan-angan. Lalu sihat dan segar dalam keadaan pendek angan-angan.

Pendek Angan-angan: Lawan kepada panjang angan-angan ialah pendek angan-angan. Sikap, kecendrungan dan tindak-tanduk orang yang pendek angan-angan tidak seperti orang yang panjang angan-angan itu. Malah, sebaliknya. Angan-angannya, kalau ada, dikaitkannya dengan hukum istitsnak yang tertakluk kepada kehendak dan takdir Allah. Umpamanya, panjang pendek umurnya, hidup ataumatinya bergantung kepada takdir Allah. Dia mengatakan, "Insya Allah, aku akan hidup lagi"; atau "Hidup atau matiku, panjang atau pendek umurku, adalah di dalam ilmu Allah". Dengan itu, sekiranya seluruh hidupnya untuk tujuan kebajikan, dengan azam yang berasaskan niat terpuji, maka dia disifatkan sebagai pendek angan-angan. Pegangan hati dan tindak-tanduk zahir dan batin oang yang pendek angan-angan berkecenderungan kepada keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Mereka tidak mengabaikan hidup di samping tidak melupakan mati. Mereka menghadapi dunia di samping tidak membelakangi akhirat. Mereka merasakan kematian hampir berlaku ke atas diri mereka. Mereka senantiasa sedar bahawa kematian boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Kematian mengejut yang berlaku di kalangan saudara mara dan kawan-kawan mereka dijadikan iktibar. Mereka senantiasa sedar, ramai orang yang tak sempat menghabiskan masa sehari untuk terus hidup dan ramai pula yang menanti kedatangan esok, tetapi tiada esok baginya.

Nabi Allah 'Isa a.s bersabda : Adapun dunia ini tiga hari sahaja, iaitu semalam yang telah berlalu tanpa suatu apa di tanganmu, hari ini yang engkau sedang berada di dalamnya dan esok yang tidak pasti engkau dapat menemuinya.

Seorang sahabat Rasulullah, Abu Dzar, pernah bermadah: "Dunia ini tiga jam sahaja, iaitu satu jam yang lalu, satu jam yang engkau sedang berada di dalamnya dan satu jam lagi yang tidak pasti engkau dapat menemuinya. Jadi, pada hakikatnya, engkau tidak memiliki dunia melainkan satu jam sahaja, kerana maut itu bergerak terus saat demi saat".

Antara ulamak ada yang mengatakan, "Dunia ini tiga nafas sahaja, iaitu nafas yang telah berlalu, nafas yang sedang engkau jalani dan nafas selepasnya yangtidak pasti akan dapat engkau alaminya. Ramai orang yang sedang menjalani satu nafas, tiba-tiba mati sebelum mengalami nafas seterusnya. Jadi, pada hakikatnya, engkau hanya hidup satu nafas sahaja". Apabila menyedari semuanya itu, maka orang tidaklah terlalu sibuk dan ghairah mengejar razeki yang berlebihan, memburu kemewahan hidup di dunia sampai sanggup melupakan kehidupan yang kekal di akhirat.

Apalah ertinya merebut razeki berlebihan untuk hidup, kalau hidup itu hanya untuk satu hari atau satu jam atau satu nafas sahaja? Di atas kesedaran itu juga, dalam satu nafas yang sedang dijalani itu, orang mengambil kesempatan untuk bertaubat dan mengerjakan taat kepada Allah dengan harapan, mudah-mudahan, apabila mati pada nafas berikutnya, matinya dalam bertaubat.

Untuk menjamin kemantapan hati dalam keadaan pendek angan-angan itu, maka kita dianjurkan supaya senantiasa mengingati : mati (zikrul-maut); kemungkinan maut akan datang secara mendadak; kedatangan maut tidak boleh ditolak, ditentang, dijauhi, ditangguh atau disegerakan.

Apabila ketiga-tiga perkara tersebut senantiasa di dalam ingatan, insya Allah kalbu kita akan teguh dengan pendek angan-angan, sekali gus kita terselamat daripada serangan penyakit panjang angan-anagan. Mudah-mudahan dengan itu kita akan dikurniakan taufik oleh Allah Taala.

Pendek angan-angan tidak dapat dipertahankan, sekiranya kita senantiasa:
* terpesona dengan godaan atau terpukau kepada sihir dunia yang menyebabkan kita mejadi lengah, lalai dan seterusnya mengalami kelumpuhan iman.
* melakukan pembaziran waktu dengan perebualan, umpatan, cacian, hiburan, nyanyian yang melalaikan atau perdebatan yang sia-sia.

Barangkali ada orang mengatakan, orang yang pendek angan-angan itu tidak bercita-cita tinggi, tidak punya visi. Tetapi sebenarnya, orang yang pendek angan-angan itulah yang paling tepat dikatakan bercita-cita tinggi dan berwawasan, kerana bukan kebahagiaan di dunia sahaja ingin dicapainya, tetapi juga kebahagiaan di akhirat.

Orang yang panjang angan-anagn itulah sebenarnya yang tidak bercita-cita tinggi, kerana dia hanya ingin mencapai kebahagiaan dan kemewahan di dunia ini semata-mata, manakala kebahagiaan di akhirat langsung tidak atau amat kurang diminatinya.

Wallahu a'lam.


Penulis: Muhammad Isa al-Jambuli


*

Popular Posts