"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Kisah khusyuk dalam solat

*

Telah diterima berita keterangan tentang Muslim ibn Yasaar Al-basri Al-umawi Al-makki mafhumnya "Apabila beliau telah memulakan solat, beliau telah tidak lagi mendengar desiran bunyi daripada suara dan tidak juga mendengar daripada perkara yang lainnya lantaran terikat, sibuk, bertawajjuh sepenuhnya dalam solatnya dan lantaran amat takutnya akan Allah 'Azza Wa Jalla".

Juga diterima khabar mengenai Sa'id Ibn Mu'az yang mengatakan "Tidak pernah aku bersolat di mana aku memikirkan sesuatu daripada urusan dunia di dalam solatku itu sampai aku selesai".



Link pilihan:

Hukum khusyuk dalam solat

Tips untuk khusyuk dalam solat




*

Kita hambaNya

*

Allah sangat suka bila kita memujiNya.
Allah sangat suka bila kita ingat kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita meminta minta kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita menyahut seruanNya.
Allah sangat suka bila kita menjauhi laranganNya.
Allah sangat suka bila kita menjunjung perintahNya.
Allah sangat suka bila kita menyembahNya.
Allah sangat suka bila kita sujud kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita menyedari kita adalah hambaNya.


*

Syukurlah kepada Allah

*

Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa.

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yang bertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.

"Sesiapa tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak, sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala." (HR. Ahmad)

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Sesungguhnya Nabi shollallahu 'alaihi wasallam mengerjakan solat malam hingga kakinya bengkak-bengkak. Aisyah ra. bertanya kepada Baginda: Mengapa melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang ? Baginda menjawab: Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?” (HR Bukhari).

Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak tahu mengenang jasa.


*

Jihad wanita


*

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?" Rasulullah bersabda: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya." (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani)





Link pilihan:

Kelebihan Mati Syahid

Wanita Solehah


*

Aku sedang diperhatikan oleh Allah

*
Kita perlu SENTIASA SEDAR bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

SENTIASA INGAT bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Jangan lupa, leka, lalai bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Ini adalah antara cara asas untuk mendapat kekuatan iman.
Ini juga antara cara agar lebih khusyuk dalam ibadah.
Ini juga antara cara agar dapat hindari maksiat.

LATIHlah hati supaya selalu berkata , “Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.

“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.


"Iman paling afdhal ialah apabila kamu mengetahui bahwa Allah selalu menyertaimu di mana jua kamu berada". (HR Ath-Thobari)

*

Jangan Buat Dosa

*

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa. Ia lambang kekukuhan iman.

"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang kuat beribadah." (HR. Abu Ya'la)

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama.Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan laranganNya. Kita mudah lihat yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Bersolat tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat.

Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang menyelamatkan orang islam yang lain dari gangguan lidahnya dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah". (Riwayat Bukhari)


Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."

Wallahu a'lam.




*

Siapa musuh kita ?

*


Walaupun sedar bahawa sedang diperhatikan oleh Allah tetapi masih juga kerap lakukan maksiat.

Walaupun rasa takut azab Allah tetapi tetap juga selalu buat dosa.

Masih tinggalkan solat.
Masih tidak menutup aurat dengan sempurna.
Masih bercakap bohong.
Masih hasad dengki.
Masih suka cerita keburukan orang lain.
Dan banyak lagi...

Sepatutnya apa jua yang Allah suruh kita mesti taat dan amalkan sebab Allah adalah tuhan yang menciptakan kita.

Apabila kita tidak taat perintah Allah bermakna kita telah ikut kehendak musuh.

Musuh kita adalah iblis dan nafsu.

Musuh mesti dikalahkan, bukan diikut.

*

Cara lawan Nafsu

*


Menurut Imam al-Ghazali: Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa. Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang juga boleh membelenggunya sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan peranannya. Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang akan mendatangkan kecelakaan, ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan sekali-kali diberi muka dan dilayani keinginannya.

Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali telah menganjurkan cara untuk menjinakkan nafsu :

1) Setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan.

Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung atau ditambat, ia menjadi jinak juga akhirnya. Lemahkan tenaganya agar ia tidak liar. Amalan berpuasa akan membuatkan badan menjadi lemah dan sekaligus melemahkan keinginan nafsu. Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

2) Diberikan tekanan atau deraan yang berat ke atasnya.

Umpama kaldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya, nescaya ia menjadi lemah dan akan menurut perintah. Cara mendera nafsu ialah dengan banyak melakukan ibadah. Terus menerus melakukan ibadah dengan harapan kemanisan beribadah dapat menjinakkan keinginan nafsu.

3) Mohon bantuan Allah.

Hendaklah berdoa, perlindungan daripada Allah Taala agar terselamat daripada angkara nafsu jahat (nafsu ammaratun bil-su`). Sesungguhnya dengan pertolongan Allah jua, kita akan berjaya.



Nafsu adalah ibarat kuda liar, sukar dikawal, merbahaya dan boleh memudaratkan. Walau bagaimanapun dengan latihan yang betul, ia boleh dijinakkan, dikawal dan memberi banyak manfaat.

Seorang cendekiawan Islam berkata,"Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".

Imam Al-Ghazali mengatakan, "kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia itu lebih daripada haiwan dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia itu lebih daripada Malaikat."


Imam Al-Ghazali mengatakan, "antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."  


Wallahu a'lam.




Link pilihan :

Penyakit Nafsu dan Penawarnya

Genta Rasa - Lawan Hawa Nafsumu 


*

Wukuf di Arafah (9 Zulhijjah)

*

Salah satu rukun ibadah haji ialah wukuf. Wukuf bererti berada di Padang Arafah pada tarikh 9 Zulhijjah. Jika gagal untuk berada di Arafah pada 9 Zulhijjah maka ibadah haji tidak sah. Wukuf di Arafah hanya boleh dilakukan pada tarikh 9 Zulhijjah sahaja. Oleh itu tarikh 9 Zulhijjah dikenali sebagai  Hari Arafah.

- Hari Arafah hari istimewa.
Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda; "Tidak ada suatu hari dimana Allah Taala paling banyak membebaskan hambaNya dari Neraka selain dari hari Arafah (9 Zulhijjah)." (HR. Muslim)

- Pujian Allah bagi orang yang wukuf di Arafah.
“Sesungguhnya Allah SWT. memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penduduk langit dan berkata kepada mereka : “ Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.“.(HR. Ahmad)

- Digalakan berpuasa kepada yang tidak menunaikan haji.
Dari Abu Qatadah Al-Anshari -radhiallahu anhu- dia berkata:
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ , فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah)? maka Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab : Dikaffarah(diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (HR. Muslim no. 1162)

- Digalakan berdoa pada Hari Arafah.


Dari Amr bin Syuaib bahwa Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Doa terbaik adalah doa di hari Arafah. Dan ucapan terbaik yang saya dan para nabi sebelum ku ucapkan pada hari itu adalah Laa ilaha il lallah hu wah dahu laa syari kalah, lahul mul ku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syay`in qadir. (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa,Tiada sekutu bagi-Nya, Bagi-Nya kerajaan dan pujian, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu). (HR. At-Tirmizi)


Wallahu a'lam.






Link pilihan:

Keajaiban di Padang Arafah

Kelebihan Bulan Zulhijjah


Hari Raya 'idil Adha


Haji Mabrur





*

Allah Pemberi Rezeki

*

Diceritakan oleh Syeikh Malik bin Dinar bahawa ketika beliau sedang makan di dalam rumah, tiba-tiba beliau terpandang seekor kucing datang meluru ke arahnya. Lantas mengambil seketul daging dari pinggannya lalu melarikan diri.

Beliau terperanjat melihatkan yang demikian. Walau bagaimana pun beliau terus bangun lalu mengikut dari belakang ke manakah si kucing tadi membawa seketul daging tersebut. Rupa-rupanya si kucing berlari sambil menggigit seketul daging menuju ke sebuah lubang. Bila sampai di depan lubang tersebut si kucing pun mencampakkan daging yang digigitnya itu. Lalu berundur sedikit ke belakang. Tidak lama kemudian rupa-rupanya keluar seekor ular yang buta kedua matanya lalu memakan daging tersebut.

*

Baik Akhlak

*

“Aku diutus oleh Allah ialah untuk menyempurnakan akhlak.” (HR.Ahmad)

Anas bin Malik ra. mengatakan : "Selama sepuluh tahun saya melayani rasulullah, belum pernah saya ditegur : mengapa engkau berbuat ini ? atau mengapa engkau tidak mengerjakan itu ?” (HR. Bukhari dan Muslim).

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Tirmidzi)

“Sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dan yang paling dekat padaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR. Tirmidzi)

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Muslim)

“Bertaqwalah kepada Allah dimana jua engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik niscaya kebaikan itu akan menutupi keburukan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

"Sebab yang paling  banyak orang masuk syurga. ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

Yang paling memberatkan mizan (timbangan) pada hari kiamat adalah akhlak yang baik.” (HR. Ahmad)

"Aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya". (HR Abu Dawud)

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah: Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan. (Kitab: Min Adab al-Islam).

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Fathi: Ibnu Mubarak berkata: Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu. (Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).




*

Jangan Cerita Aib Orang

*

"Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi iman belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-intai cacat cela mereka, sesungguhnya sesiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah nescaya Allah akan bukakan pekungnya walaupun di tengah rumahnya sendiri. " (HR Abu Daud)

"Sesiapa menceritakan sesuatu tentang satu kaum, sedang mereka itu tidak suka, maka kelak di hari kiamat kedua telinganya akan dituangi cairan timah." (HR Bukhari)

"Sesiapa yang mendengar saudaranya diumpat tetapi dia tidak membelanya padahal dia mampu, maka dia ikut menanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat. (Hadith Asfahani)


Moga ada manfaat.



Link pilihan:

Tutup Aib Sesama Islam

Berbaik-baik Sesama Islam



*

Cerita keburukan orang

*

Jika kita cerita keburukan orang lain tetapi cerita tersebut tidak benar, ia dinamakan FITNAH. Membuat fitnah adalah berdosa.

Jika kita cerita keburukan orang lain dan cerita tersebut memang benar, ia dinamakan  GHIBAH(mengumpat). Mengumpat pun berdosa.

"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya." (HR. Muslim).

"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (HR. Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

*

Amar Makruf Nahi Mungkar

*



Dari Anas r.a, kami para sahabat r.a bertanya: Ya Rasullullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, kami tidak akan menyuruh orang untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan menjauhi semua kemungkaran. Maka Nabi bersabda: Tidak, bahkan serulah orang untuk berbuat baik, walaupun kalian belum mengamalkan semuanya. Dan cegahlah kemungkaran, walaupun kalian belum menghindari semuanya. (HR. Thabrani)

Saidatina 'Aishah r.ha. berkata : "Ada sekali Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam masuk ke rumah dan saya agak dari air mukanya bahawa sesuatu telah berlaku kepadanya. Baginda tidak bertutur kepada sesiapa pun, dan setelah berwudhu beliau masuk ke mesjid. Saya cuba dengar dari belakang dinding apa yang beliau bersabda. Beliau duduk di atas mimbar dan setelah memuji Allah s.w.t. beliau berkhutbah: " Hai manusia Allah telah memerintah kamu supaya menyuruh orang berbuat baik dan melarang mereka dari melakukan maksiat; kalau tidak, akan tiba satu masa manakala kamu berdoa kepadaNya, Dia tidak akan mendengari doa mu; kamu akan memohon keperluanmu dariNya tetapi Dia tidak akan memberinya; kamu akan memohon akan bantuanNya terhadap musuh-musuh kamu, tetapi Dia tidak akan membantu kamu." ( H.R. Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).



*

Apa itu Taqwa ?

*



Seorang lelaki bertanya kepada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu: "Apakah taqwa ?" Abu Hurairah menjawab: "Adakah engkau pernah melalui jalan yang mempunyai duri? Katanya: "Ya, pernah" Abu Hurairah berkata lagi: "Bagaimana engkau buat" Katanya: "Jika aku melihat duri, aku berpaling daripadanya, atau aku lepasinya, atau aku menahan diri daripadanya" Abu Hurairah berkata: "Itulah taqwa" (Ad Dur al Manthur 1/61. Kata As Suyuti: Diriwayatkan oleh Ibn Abi ad Dunya dalam kitab at Taqwa.)




Link pilihan:

Makna Taqwa



*


Popular Posts