"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Panduan tidak sombong

*

Nabisallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Dianggap sebagai takbur/sombong itu ialah menolak apa yang benar dan memandang hina kepada orang lain”. (HR Muslim).

Beberapa panduan daripada Imam Al- Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh.

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.

3. Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.

4. Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui..

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan didalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.


Wallahu a'lam.


Link pilihan :

Pengertian Takbur dan Tawaduk



*

Pujian kepada Allah dan Selawat sebelum berdoa

*

Dari Fadhalah bin Ubaid r.a. katanya: Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mendengar seorang yang berdoa, tetapi dia tidak mengucapkan puji-pujian kepada Allah Ta'ala dan tidak pula membaca selawat pada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, lalu Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: Tergesa-gesa sekali orang ini, kemudian orang itu dipanggilnya. Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu bersabda pada orang itu atau pada orang lain juga: Jikalau seseorang di antara engkau semua hendak berdoa, maka hendaklah memulai dengan mengucapkan puji-pujian kepada Tuhannya yang Maha Suci, selanjutnya membaca salawat kepada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seterusnya bolehlah dia berdoa dengan apa yang dikehendakinya. (HR Tirmidzi, sahih)


Allah humma Solli Wa sollim 'ala Sayyidina Muhammad, Wa 'ala ali Sayyidina Muhammad.

*

Jangan Masam Muka

*


Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu, "Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah,salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."

Lelaki itu tertunduk. Dia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.

Umar bin Khattab walaupun jawatannya kalifah, pakaiannya sangat sederhana dan bertampal-tampal. Tetapi sikapnya ramah, wajahnya sentiasa senyum. mukanya berseri. Tak hairan jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.


Oleh: Hasnita Mohd Leham


*

Bersin

*

“Apabila Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersin, baginda meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya untuk menutupnya sambil memperlahankan bunyi bersin itu.” (HR Abu Daud)

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, “Jika seseorang itu bersin, maka hendaklah dia memberi pujian kepada Allah dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ” [Alhamdulillah] (Segala puji untuk Allah). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin hendaklah mendoakannya dengan menyebut “يَرْحَمُكَ اللهُ” [Yarhamukallah] (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Dan jika orang yang bersin mendengar saudaranya menyebutkan “يَرْحَمُكَ اللهُ” [Yarhamukallah], maka hendaklah dia mengucapkan “يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” [Yahdikumullah wayus-lihu balakum] (Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu).” (HR al-Bukhari)

Wallahu a'lam.





Link pilihan :

Menguap


*

Menguap

*
Nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu." (HR Muslim)

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda: " Sesungguhnya Allah Ta'ala membenci orang yang menguap. Menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya semampunya. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya." (HR Bukhari)

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda : Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangan pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka). (HR Muslim)

“Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Oleh itu, apabila kamu terasa ingin menguap, maka hendaklah berusaha menahannya.” (HR At-Tirmizi).


Wallahu a'lam.




Link pilihan :

Bersin


*

Orang yang paling sabar

*

"Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (HR. Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)





Link pilihan:

Indahnya Sabar dan Syukur




*

Orang yang kuat

*


Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, "Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal diri daripada sifat marah." (HR Bukhari & Muslim)




Link pilihan:

Indahnya Sabar dan Syukur




*

Kelebihan Mencari Ilmu

*

Sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam maksudnya: "Siapa yang menjurusi satu jalan untuk mencari ilmu padanya nescaya Allah akan mudahkan padanya jalan ke syurga." (HR Muslim)

“Sesiapa sahaja yang melalui satu jalan demi menuntut ilmu , maka Allah nanti akan melalukan ( mempermudahkan laluan orang itu ) ke syurga . Dan sesungguhnya para malaikat rh sentiasa membuka sayap-sayap mereka kerana mengharapkan keredhaan ( Allah ) kepada para penuntut ilmu . Dan sesungguhnya orang ‘alim itu , sentiasa akan diminta ampun untuknya oleh setiap makhluk yang berada di langit dan di bumi , hinggakan ikan-ikan di dalam air . Dan sesungguhnya kelebihan orang ‘alim di atas seorang ‘abid ( orang yang suka beramal – ibadat ) adalah seumpama kelebihan ( kedudukan ) bulan di atas segala planet . Sesungguhnya para ulama’ itu adalah para pewaris Para Nabi ( a.s ) . ( Dan ) sesungguhnya Para Nabi ( a.s ) tidak pernah mewariskan ( meninggalkan ) sebarang dinar ( duit emas ) ataupun dirham ( duit perak ) melainkan mereka semua hanya meninggal ilmu semata-mata . Maka sesiapa sahaja yang mengambil warisan ( daripada Para Nabi a.s itu ) , maka sesungguhnya dia benar-benar telah mengambil keuntungan yang terlalu besar". (HR Al-Imam at-Tirmizi)

”Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.” (HR Ibnu Majah)


*

Ciri wanita solehah

*
Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habuan syurga yang penuh keni'matan dari Allah s.w.t. . Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat sahaja, iaitu:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1- Taat kepada Allah dan RasulNya

- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya mahramnya.
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa
- Berbuat baik kepada dua ibubapa
- Sentiasa bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki ajnabi
- Bersikap baik terhadap jiran tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah.
- Tidak cemberut di hadapan suami.
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami.
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1- Lupa mengingati Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan sahaja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakrah atau sebagainya.

2- Mudah tertipu dengan keindahan dunia

Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana keni'matan dunia yang terlalu sedikit.

Wallahu a'lam.





Link pilihan:

Sebab perempuan lebih ramai masuk neraka


*

Kelebihan Memberi Salam

*
“Manusia yang terdekat dengan Allah SWT ialah mereka yang memulakan memberi salam.” (HR. Ahmad, Abu Daud)

Nabi shollallahu 'alaihi wasallam ditanya apakah amalan yang terbaik dalam Islam. Baginda bersabda: “Memberi makan kepada yang lapar dan memberi salam kepada orang yang kamu kenali dan yang tidak kamu kenali.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pernah datang seorang lelaki kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam lalu mengucapkan kepadanya ‘Assalaamu’alaikum’. Salamnya dijawab dan dia pun duduk, lalu Rasulullah bersabda: ‘Sepuluh’. Sebentar kemudian, datang pula lelaki lain kepadanya lalu mengucapkan, ‘Assalaamu’alaikum warahmatullah’. Rasulullah menjawab salamnya itu sementara dia duduk, lalu Rasulullah bersabda: ‘Dua puluh’. Akhirnya, datang seorang lelaki sambil mengucapkan ‘Assalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh’, lalu Rasullullah menjawab salamnya, maka dia pun duduk. Rasulullah bersabda: ‘Tiga puluh kebajikan (pahala). (HR Abu Daud dan At Tirmidzi)

Marilah kita hidupkan semula amalan Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya yang mulia. Sebarkanlah salam. Seperti pesanan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam: “Kamu tidak akan masuk Syurga selagi kamu tidak beriman, dan belumlah kamu beriman selagi kamu tidak menyayangi sesama sendiri. Apakah kamu ingin tahu sesuatu perkara yang dapat membuat kamu menyayangi sesama sendiri ? Sebarkanlah salam.” (HR. Muslim, Ahmad dan At Tirmidzi)



*

Popular Posts