"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Kelebihan Mencari Ilmu

*

Sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam maksudnya: "Siapa yang menjurusi satu jalan untuk mencari ilmu padanya nescaya Allah akan mudahkan padanya jalan ke syurga." (HR Muslim)

“Sesiapa sahaja yang melalui satu jalan demi menuntut ilmu , maka Allah nanti akan melalukan ( mempermudahkan laluan orang itu ) ke syurga . Dan sesungguhnya para malaikat rh sentiasa membuka sayap-sayap mereka kerana mengharapkan keredhaan ( Allah ) kepada para penuntut ilmu . Dan sesungguhnya orang ‘alim itu , sentiasa akan diminta ampun untuknya oleh setiap makhluk yang berada di langit dan di bumi , hinggakan ikan-ikan di dalam air . Dan sesungguhnya kelebihan orang ‘alim di atas seorang ‘abid ( orang yang suka beramal – ibadat ) adalah seumpama kelebihan ( kedudukan ) bulan di atas segala planet . Sesungguhnya para ulama’ itu adalah para pewaris Para Nabi ( a.s ) . ( Dan ) sesungguhnya Para Nabi ( a.s ) tidak pernah mewariskan ( meninggalkan ) sebarang dinar ( duit emas ) ataupun dirham ( duit perak ) melainkan mereka semua hanya meninggal ilmu semata-mata . Maka sesiapa sahaja yang mengambil warisan ( daripada Para Nabi a.s itu ) , maka sesungguhnya dia benar-benar telah mengambil keuntungan yang terlalu besar". (HR Al-Imam at-Tirmizi)

”Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.” (HR Ibnu Majah)


*

Ciri wanita solehah

*
Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habuan syurga yang penuh keni'matan dari Allah s.w.t. . Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat sahaja, iaitu:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1- Taat kepada Allah dan RasulNya

- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya mahramnya.
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa
- Berbuat baik kepada dua ibubapa
- Sentiasa bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki ajnabi
- Bersikap baik terhadap jiran tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah.
- Tidak cemberut di hadapan suami.
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami.
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1- Lupa mengingati Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan sahaja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakrah atau sebagainya.

2- Mudah tertipu dengan keindahan dunia

Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana keni'matan dunia yang terlalu sedikit.

Wallahu a'lam.





Link pilihan:

Sebab perempuan lebih ramai masuk neraka


*

Kelebihan Memberi Salam

*
“Manusia yang terdekat dengan Allah SWT ialah mereka yang memulakan memberi salam.” (HR. Ahmad, Abu Daud)

Nabi shollallahu 'alaihi wasallam ditanya apakah amalan yang terbaik dalam Islam. Baginda bersabda: “Memberi makan kepada yang lapar dan memberi salam kepada orang yang kamu kenali dan yang tidak kamu kenali.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pernah datang seorang lelaki kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam lalu mengucapkan kepadanya ‘Assalaamu’alaikum’. Salamnya dijawab dan dia pun duduk, lalu Rasulullah bersabda: ‘Sepuluh’. Sebentar kemudian, datang pula lelaki lain kepadanya lalu mengucapkan, ‘Assalaamu’alaikum warahmatullah’. Rasulullah menjawab salamnya itu sementara dia duduk, lalu Rasulullah bersabda: ‘Dua puluh’. Akhirnya, datang seorang lelaki sambil mengucapkan ‘Assalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh’, lalu Rasullullah menjawab salamnya, maka dia pun duduk. Rasulullah bersabda: ‘Tiga puluh kebajikan (pahala). (HR Abu Daud dan At Tirmidzi)

Marilah kita hidupkan semula amalan Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya yang mulia. Sebarkanlah salam. Seperti pesanan Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam: “Kamu tidak akan masuk Syurga selagi kamu tidak beriman, dan belumlah kamu beriman selagi kamu tidak menyayangi sesama sendiri. Apakah kamu ingin tahu sesuatu perkara yang dapat membuat kamu menyayangi sesama sendiri ? Sebarkanlah salam.” (HR. Muslim, Ahmad dan At Tirmidzi)



*

Nama anak & isteri Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam

*


Isteri-isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam :
1. Khadijah binti Khuwailid
2. Saudah binti Zum'ah
3. Aisyah binti Abu Bakar
4. Hafsah binti Omar Al-Khattab
5. Zainab binti Jahsyin
6. Zainab binti Khuzaimah
7. Ummu Salamah (Hindon binti Abi Umaiyah)
8. Ummu Habibah (Ramlah binti Abi Sufian)
9. Juwairiyah binti Al-Harith
10. Maimunah binti Al-Harith
11. Safiah binti Hoiyi bin Ahtab
12. Mariyah Al-Qibtiyah

Anak-anak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan Khadijah :
1. Al-Qasim
2. Abdullah
3. Zainab
4. Ruqaiyah
5. Ummu Kalthum
6. Fatimah

Anak Rasulullah dengan Mariyah Al-Qibtiyah :
1. Ibrahim

Dipetik dari buku soal jawab berkaitan Rasullulah oleh Hj Ahmad bin Haji Awang

Allah humma Solli Wa sollim 'ala Sayyidina Muhammad, Wa 'ala ali Sayyidina Muhammad.




Link pilihan:

Tarikh sebenar hari kelahiran Nabi Muhammad



*

Tasawuf

*

Sayyidina ali pernah berkata, ramai orang yang menyembah Allah kerana mengharapkan balasan. Ibadah dilakukan sebagai suatu perlaburan agar suatu masa nanti Tuhan membayar hasil ibadah itu kepada mereka. Imam Ali mangatakan ibadah orang yang mengharapkan pahala sebagai seorang pedagang.

Ada juga orang menyembah Tuhan kerana takut akan siksa-Nya. Menurut Sayyidina Ali, ibadah mereka ini seperti pengabdian seorang hamba kepada seorang tuannya.

Ibadah yang hakiki adalah ibadah kerana cinta. Itulah ibadah orang yang merdeka.

Tasawuf adalah ilmu cara menyembah Tuhan bukan kerana mengharapkan pahalaNya atau takut kerana siksaNya, melainkan kerana kecintaan kepadaNya.

*

Kisah khusyuk dalam solat

*

Telah diterima berita keterangan tentang Muslim ibn Yasaar Al-basri Al-umawi Al-makki mafhumnya "Apabila beliau telah memulakan solat, beliau telah tidak lagi mendengar desiran bunyi daripada suara dan tidak juga mendengar daripada perkara yang lainnya lantaran terikat, sibuk, bertawajjuh sepenuhnya dalam solatnya dan lantaran amat takutnya akan Allah 'Azza Wa Jalla".

Juga diterima khabar mengenai Sa'id Ibn Mu'az yang mengatakan "Tidak pernah aku bersolat di mana aku memikirkan sesuatu daripada urusan dunia di dalam solatku itu sampai aku selesai".



Link pilihan:

Hukum khusyuk dalam solat

Tips untuk khusyuk dalam solat




*

Kita hambaNya

*

Allah sangat suka bila kita memujiNya.
Allah sangat suka bila kita ingat kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita meminta minta kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita menyahut seruanNya.
Allah sangat suka bila kita menjauhi laranganNya.
Allah sangat suka bila kita menjunjung perintahNya.
Allah sangat suka bila kita menyembahNya.
Allah sangat suka bila kita sujud kepadaNya.
Allah sangat suka bila kita menyedari kita adalah hambaNya.


*

Syukurlah kepada Allah

*

Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa.

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yang bertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.

"Sesiapa tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak, sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala." (HR. Ahmad)

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Sesungguhnya Nabi shollallahu 'alaihi wasallam mengerjakan solat malam hingga kakinya bengkak-bengkak. Aisyah ra. bertanya kepada Baginda: Mengapa melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang ? Baginda menjawab: Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?” (HR Bukhari).

Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak tahu mengenang jasa.


*

Jihad wanita


*

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?" Rasulullah bersabda: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya." (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani)





Link pilihan:

Kelebihan Mati Syahid

Wanita Solehah


*

Aku sedang diperhatikan oleh Allah

*
Kita perlu SENTIASA SEDAR bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

SENTIASA INGAT bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Jangan lupa, leka, lalai bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Ini adalah antara cara asas untuk mendapat kekuatan iman.
Ini juga antara cara agar lebih khusyuk dalam ibadah.
Ini juga antara cara agar dapat hindari maksiat.

LATIHlah hati supaya selalu berkata , “Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.

“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.


"Iman paling afdhal ialah apabila kamu mengetahui bahwa Allah selalu menyertaimu di mana jua kamu berada". (HR Ath-Thobari)

*

Popular Posts