"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Krisis di Syria

*

1. Saya ke bumi Syria beberapa kali. Penduduk Syria bangga bila dipanggil Ahli Syam berbanding rakyat Syria. Kemungkinan kerana pujian-pujian yang terdapat di dalam Hadis Nabi dan tulisan para Ulama menjadikan mereka senang dipanggil Ahli Syam berbanding Syria.

2. Jika nak dikatakan buminya terlalu cantik, ada negara yang lebih cantik. Nak dikatakan punyai tinggalan sejarah hebat, negara lain juga ada. Nak dikatakan dipenuhi para kekasih Allah dan Ulama-ulama, negara lain juga tidak terkecuali. Tapi bumi Syam ini lain dari mana-mana bumi bagi yang pernah menjejakinya. Saya teringat seorang kenalan tokoh korporat bertanya kepada saya: Ustaz, aku pelik barat bersungguh nak mendapatkan bumi Syria dengan pelbagai cubaan dan dicetuskan banyak konflik, sedangkan negara mereka sendiri lebih cantik!!! kenapa ya? Saya tidak menjawab persoalannya tetapi berkata: Abang, saya nak kena pergi Syria, jom join sekali? Dia bersetuju.

3. Semasa di sana, ketika kami minum teh di tepi jalan di perkampungan Nawa (perkampungan Imam Nawawi dan tempat beliau dimaqamkan). Dia berkata: Ustaz Aidil, saya tak tau nak "describe" camna tapi ada satu perasaan yang istimewa bumi Syam ni sama perasaan apabila kita di Mekah dan Madinah. Tapi perasaan ini agak lain dan perasaannya yang tersendiri. Saya rasa inilah istimewanya bumi ini yang tidak ada di mana-mana bumi. Saya diam dan hanya membalas dengan senyuman.

4. Saya anak didik Al-Azhar dan berbangga dengan kehebatan Ulama Al-Azhar serta kebijaksanaan Al-Azhar. 10 tahun saya di bumi Al-Azhar mengutip kepingan hidangan ilmu dibumi tersebut tetapi apabila tiba di bumi Syria kali pertama, entah bagaimana perasaan kagum dan hebat itu beralih kepada Syria secara spontan. Manakan tidak, pernahkah tuan cik puan melihat kuliah pengajian hadis sahih Al-Bukhari yang dibuat satu jam sebelum subuh tetapi kehadiran seumpama rakyat Malaysia di shopping komplek di hari cuti dan baru mendapat gaji. Pandangan sebegini biasa di bumi Syam. Terdapat banyak kenangan dengan Ahli Syam yang saya nak kongsikan di sini;

5. Kisah pertama: ketika sampai kali pertama bersama rombongan kerajaan negeri kedah bersama exco-exco kerajaan negeri. Saya tidak ada pakaian kemeja lengan panjang rasmi untuk majlis yang bakal diadakan. Saya mohon teman saya Ustaz Izzam Khazar (ketika itu pelajar Master di Universiti Dimasy, sekarang top Banker di Bank Islam Dubai) untuk pergi ke kedai pakaian. Entah bagaimana di kedai pakaian milikan pemuda Syria dalam lingkungan umur 30an, saya menjadi sedikit cerewet yang hakikatnya bukan sifat saya. Berpuluh kotak pakaian dibuka hanya untuk mencari pakaian yang saya inginkan. Tiada tanda wajah kurang senang dari pekedai bahkan terus dilayan dengan bersungguh-sungguh. Setelah selesai saya ingin membayar, pekedai itu tidak mahu menerima wang. Jenaka tidak mahu menerima wang biasa dilakukan oleh pekedai Mesir tetapi jika tidak dibayar nescaya akan dikejar. Saya sambut jenaka pekedai Syria itu dengan kata: baiklah lalu mengacah mahu keluar kedai. Dia mempersilakan untuk saya keluar dengan dibungkus rapi barang yang dibeli. Saya terdiam. Saya kembali untuk memberikan wang. Dia katakan pada saya: "Engkau ahli ilmu kan? Pelajar jurusan agama? Saya seorang peniaga dan hanya tahu meniaga dan kurang masa untuk ilmu. Saya tidak mahu wang kamu tetapi doakanlah saya di dalam majlis- majlis ilmu yang engkau sertai". Demi Allah, sepanjang di Mesir bahkan di Malaysia, setiap kali saya bersila di dalam majlis ilmu atau menyampaikan ilmu wajah lelaki itu datang dalam memori umpama "notification" smart phone kita. Saya begitu percaya lelaki ini begitu Ikhlas walaupun hanya sekadar menghadiahkan sehelai baju, dia mendapat perhatian saya sepanjang hidup saya. Ini ahli Syam.

6. Kisah kedua: saya memulakan business Olive House apabila mendapat aspirasi dari Dr Faid berhubung pemakanan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Aspirasi bukan ala-ala jual ayam jampi atau kismis jampi dan seumpamanya yang lebih kepada memperkuda Agama untuk kepentingan perniagaan tetapi aspirasi bagaimana kajian Santifik hari ini berkenaan Nutrisi & kesihatan telah diterangkan Al-Quran dalam bahasa yang jelas. Bersungguh-sungguh saya ingin menjayakan perkara ini sehingga Allah hadirkan pembantu-pembantu yang hebat untuk membawa perjuangan yang sama. Rasulullah itu Ahli Nutrisi yang Agung.

7. Untuk memulakan langkah pertama diperingkat awal seorang lelaki bernama Samir Jazzar dari Aleppo (Halab), Syria membantu saya walaupun dengan modal kecil dan beliau berusaha memastikan business ini dapat dimulakan. Teringat kata-kata beliau bila saya menulis email panjang kepada beliau dan berkongsi sedikit kegusaran jika saya gagal sedangkan beliau seolah-olah begitu yakin saya akan berjaya. Terlalu banyak bantuan beliau berikan kepada saya agar melangkah berani. Ganjil bukan, kepercayaan dari orang lain lebih tinggi dari diri sendiri? Beliau membalas email saya dengan balasan pendek, ringkas, padat dan menyentap. : "Adikku Aidil, apa yang engkau cuba perjuangkan ini adalah makanan yang kekasih kita Rasulullah sebut sebagai pokok yang barakah. Semestinya gerak kerja engkau penuh keberkatan, fikiran engkau dengan keberkatan dan pasti berjayanya engkau dengan keberkatan". Mendidih semangat muda saya dengan ucapan tersebut dari seorang pemuda Syria.

8. Banyak kisah jika saya nak kongsikan berkenaan Ahli Syam ini. Mereka bangsa istimewa sebagaimana bangsa Palestin dan kerana itu mereka diuji dengan ujian istimewa. Jika tuan cik puan perasan, logo Olive House dahulu ada tulisan Aleppo, Syria. Sengaja diabadikan kenangan bermulanya di situ. Tetapi dibuang Aleppo, Syria selepas registrasi logo di "myIpo" tidak membenarkan nama tempat diletakkan pada logo.

9. Sekarang bumi Syria ditimpa fitnah tak berkesudahan, permainan konspirasi musuh Islam, umat Islam terpedaya, mereka yang ingin memgambil kesempatan dan yang benar-benar jujur dan ikhlas sudah tidak dapat dibezakan lagi. Fitnah yang berlaku yang disebut Al-Quran dengan bandingan lebih dahsyat dari pembunuhan itu sendiri sedang marak di sana. Menangis air mata darah sekalipun yang berlaku tetap berlaku. Di suasana fitnah ini, tidak ada jalan untuk menilai kebenaran kecuali dengan pandangan hati yang bersih dari mereka yang dekat kepada Allah. Akal sudah terbelenggu, logik sudah dikucar kacirkan, kelompok kebanyakan atau sedikit masing-masing hilang pedoman. Tetapi cahaya hati yang bersih kekal menyuluh untuk melihat kebenaran. Untuk mendapat pandangan hati yang tulus adalah bertaqwa kepada Allah dengan ketaqwaan yang sebenarnya. Ini formula rahsia dan template berkesan yang diberikan oleh Al-Quran. Firman Allah;

وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah nescaya Allah beri pengetahuan kepada kalian. Dan Allah Maha mengetahui atas setiap sesuatu. (Surah Al-Baqarah ayat 282).

10. Kemelut fitnah ini hanya dapat diketahui ianya fitnah apabila ianya telah berlaku akan tetapi seorang Alim yang penuh ketakwaan boleh mengetahui dengan cahaya petunjuk yang Allah limpahkan dalam hatinya. Benar ungkapan Hasan Al-Basri:

الفتن إذا أقبلت عرفها كل العالم وإذا أدبرت عرفها كل الجاهل

Maksud: Fitnah-fitnah, jika ia datang dapat diketahui oleh setiap Alim tetapi hanya diketahui setelah berlaku oleh yang Jahil.

Taqwa ini bukan sekadar ramuan penting untuk urusan akhirat tetapi rupa-rupanya ia ramuan utama untuk menjadi manusia berjaya di dunia dan akhirat. Bersama kita berusaha membantu saudara kita yang berpegang dengan akidah yang sama dimana sahaja, perbaiki diri kita menjadi hambaNya yang bertaqwa dan berjaya dunia akhirat.

Moga kita semua berusaha menjadi manusia paling bertaqwa demi kepentingan dunia dan akhirat kita...

Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=282112085459464&id=245987795738560



Link pilihan :

https://www.facebook.com/mirovsky.mirovsky/posts/597984413710629

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=617237378440508


*

Popular Posts